Menu

 

A+ A A-

CINTA YANG TULUS

Sebagai seorang Muslim, kita memiliki kuasa motivasi yang sangat unggul. Setiap perkara yang kita lakukan mendapat kekuatan dan dorongan motivasi daripada kuasa yang satu ini. Walaupun kuasa ini disedut dan diambil oleh seisi makhluk dunia, namun kuasa yang maha hebat ini tidak pernah kehabisan. Malah ia terus-menerus mampu memberikan bekalan tanpa putus. Allah ialah sumber inspirasi setiap Muslim dan pencetus rasa kepuasan dalam diri Mukmin.

 

 

Tidak dapat dinafikan hidup di dunia ini penuh dengan ujian dan keletihan. Sememangnya itulah hakikat diri kita dijadikan iaitu untuk diuji dengan kebenaran dan keikhlasan iman. Tika diuji, tiada siapa yang lebih memahami diri kita melainkan Allah. Dia jualah yang lebih memahami diri kita kerana Dialah pencipta kita.

Biarpun kita bercerita dan mengadu perasaan dan gelodak jiwa kepada manusia, namun jiwa kita tidak pernah berasa puas dan lega berbanding kita bercakap dan mengadu kepada Allah. Kita tidak dapat melihat Allah namun iman yang tertanam di jiwa merasakan Allah itu dekat.

Hakikatnya Allah lebih dekat dengan kita berbanding urat leher kita sendiri. Kehadiran-Nya amat dirasai menguasai setiap inci tubuh yang dipinjamkan kepada kita. Bahang cinta-Nya, mengawal segenap sendi dan pergerakan.

Memang indah bercinta dengan Allah kerana cinta ini akan menemani kita tanpa jemu. Cinta ini juga yang mengawal gerak laku kita kerana kita sedar Allah sentiasa ada dan bersama-sama kita setiap saat dan ketika.

Namun apabila Allah tidak di hati, ramai insan yang melakukan perkara terlarang tanpa segan silu kerana mereka tidak sedar kehadiran Allah dan tidak malu terhadap Allah. Andai kita sedar diri ini hanya pinjaman pasti kita malu untuk bertindak di luar kawalan.

Umpama kita meminjam barang daripada orang. Barang tersebut bukannya milik kita. Apabila kita menyedari hakikat tersebut, adakah kita akan merosakkannya? Sudah tentu tidak kerana pemiliknya pasti marah. Bagaimana pula kita dengan Allah?

Allah tetap memberikan kita peluang walau sejahat dan sekeji mana perlakuan kita terhadap-Nya yang Maha Agung. Usah salah dalam menilai pemberian Allah. Segala yang kita miliki adalah untuk kita syukuri sebagai tanda cinta kita kepada-Nya. Segala yang diberikan adalah untuk kita selalu mengingati-Nya.

Wallahu a‘lam.

 

Noorjehan Baharudin

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Noorjehan binti Baharudin

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang kepimpinan dan perguruan. Pernah terlibat dalam penulisan majalah. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Nurul Iman di Selangor.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas