Menu

 

A+ A A-

CINTA MUKA BUKU VS ISI BUKU

IMAM Ibnu Qayyim al-Jauziah rhm. bercerita, pernah satu hari gurunya; Ibnu Taimiyah rhm. ditimpa sakit sehingga beliau terlantar.

Tabib bertanya kepada Ibnu Qayyim: “Sikap tuan yang suka membaca sehingga mengabaikan perkara lain akan menambahkan kesakitan.” Ibn Taimiyah rhm. menjawab: “Aku tidak mampu bersabar. Apabila melihat kitab, pasti aku ingin membacanya. Adakah benar apabila hati itu berasa gembira, ia akan membantu memulihkan kesakitan?”

Jawab tabib itu: “Benar sekali wahai tuan.” Ibnu Taimiyyah rhm berkata: “Aku berasa senang dan gembira ketika aku membaca.” Imam Ibnu Qayyim rhm. Bercerita lagi: “Aku mengingati ketika guruku; Ibnu Taimiyyah rhm. ditimpa sakit kepala, pasti akan ada kitab di sebelah kepalanya. Apabila terjaga, beliau akan mengambil kitab tersebut dan membacanya. Apabila sudah tidak berdaya, beliau akan meletakkannya di sisi semula.”

Singkatkan masa makan

Dalam kitab ‘al-Funun’ karangan al-‘Allamah ibn Aqil, beliau menceritakan perihal dirinya sendiri: “Aku akan berusaha sedaya upaya untuk memendekkan masa makanku, sehingga aku hanya memakan roti kering sahaja. Dan aku sengaja melembutkan roti itu dengan air untuk memendekkan masa kunyahanku. Aku berasa senang dapat memanfaatkan masa yang panjang untuk pembacaanku.”

Tekun dalam majlis ilmu

Al-Hafiz al-Imam al-Sakhawi rhm. menceritakan dalam kitabnya ‘al-Jawahir wa al-Durar’: “Sesungguhnya al-Hafiz al-Imam ibn Hajar al-Asqalani membacakan keseluruhan kitab ‘sahih Bukhari’ kepada muridnya di dalam 10 kali majlis ilmu. Setiap majlis berlangsung selama 4 jam.

Al-Hafiz ibn Hajar Al-Asqalani pula berkata: “Aku telah membaca kitab ‘sahih Muslim’ kepada guruku; al-Imam Muhammad bin Muhammad bin Abdul Latif al-Kuwaik dalam tempoh 5 majlis ilmu sahaja.

Al-Hafiz al-imam ibn Hajar al-Asqalani menceritakan dalam kitabnya ‘al-Majma’ al-Muassis li al-Mu’jam al-Mufahris’: “Aku telah menyempurnakan pembacaan hadis daripada kitab ‘al-Musnad’ dengan mengambil masa sebanyak 53 majlis ilmu dan aku berjaya menghabiskan bacaan kitab ‘al-Mu’jam alsaghir’ oleh imam al-Tabarani dalam tempoh masa satu majlis sahaja.”

Cinta Isi Buku

Musim pengajian sesi baru pasti masih lagi “panas” buat adik-adik remaja dan sahabat-sahabat mahasiswa di luar sana. Sesuatu yang baru dan awal selalunya masih tinggi tahap semangat dan keazamannya. Namun apabila berada di pertengahan jalan, biasanya hampir luntur dan lesu semangat itu. Saya hanya ingin menyentuh satu perkara sahaja yang agak sinonim dengan dunia pembelajaran. Membaca.

Kecemerlangan dan kegemilangan umat islam terdahulu disebabkan kehendak dan kesedaran mereka akan peri pentingnya membaca dalam kehidupan. Paparan beberapa kisah pada awal catatan ini diabadikan buat para pembaca, terutamanya para remaja di luar sana agar tidak sewenang-wenangnya membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Tingkatkan pembacaan bahan-bahan yang memberi tunas idea dan maklumat yang berguna. Nabi Muhammad s.a.w. ketika menerima wahyu yang pertama, diturunkan saranan daripada Allah s.w.t. agar membaca dan mengenal. Apabila ada usaha ke arah itu, maka Allah s.w.t. akan memberikan kepada kita ilmu dan kefahaman. Semuanya termaktub dalam surah al-‘Alaq ayat 1 sehingga 5.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Justeru, jangan melengahkan pembacaan sehingga hampir ke waktu peperiksaan. Bahkan, jadikan buku sebagai “kegilaan” baru buat anda. Jangan lalai dengan asyik ber“muka buku” tetapi dalamilah setiap sisi buku-buku ilmiah anda. ‘Reader is leader’! Membaca gaya sebenar umat islam!

Ust Mohd Azrul Ismail

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu No.7


Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas