Menu

 

A+ A A-

JIWA TENANG VS JIWA KACAU

APABILA seorang yang sedang berada dalam kemaruk cinta, maka dia akan dilabelkan sebagai ‘jiwa kacau’. Setiap perkara dan urusan yang dilakukannya serba tak kena. Bak kata-kata orang, “makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena”. Itulah jiwa kacau. Jiwa yang diganggu oleh perasaan cinta kepada pasangannya.

Sebenarnya, bukan soal cinta dan perasaan sahaja yang boleh membuatkan manusia menjadi ‘jiwa kacau’, malah setiap perkara yang menghalang tumpuan atau fokus manusia sebagai hamba Allah s.w.t. penyumbang kepada masalah jiwa kacau. Maka masalah jiwa kacau boleh berlaku kepada semua individu, bukan sahaja kepada pasangan yang bercinta.

Siapa yang Kacau Jiwanya?

Bagi seorang pelajar, apabila tekanan untuk berjaya dalam pelajaran wujud dan ditambah pula dengan tanggungjawab lain yang wajib digalas, maka ia akan mengganggu tumpuannya dalam beberapa aspek kehidupan harian. Ada yang belajar sehingga lewat malam, sehingga tertinggal solat subuh. Maka jelas, sebenarnya dia mengalami masalah jiwa kacau. Ada remaja yang studi sehingga tidak peduli ahli serumah yang lain dan ada juga yang buat tidak tahu dengan pelajaran dan peperiksaannya. Maka, jiwanya juga kacau!

Tidak kurang juga ada segelintir yang nampak gembira dalam kehidupan, namun sebaliknya berlaku pada hakikatnya. Ramai yang gembira apabila banyak harta, tetapi tidak pernah sedikit pun memberi kepada yang papa. Sebenarnya jiwanya kacau. Agak ramai juga yang suka melepaskan lelah di rumah tatkala pulang bekerja, sehinggakan tidak sempat untuk berjemaah di masjid dan mendengar kuliah agama. Jiwanya juga kacau.

Era akhir zaman kini, sebenarnya ramai yang ber ‘jiwa kacau’. Keduniaan telah mengacau hati dan jiwa manusia sehingga dunia kian kacau-bilau. Saban hari ada sahaja masalah yang dipaparkan di dada-dada akhbar yang menceritakan perangai manusia berjiwa kacau. Nauzubillah.

jiwa kacau1

Pembahagian Jiwa

Jiwa yang tenang adalah jiwa yang dapat dikecap oleh orang beriman yang sentiasa menyerahkan urusannya kepada pentadbir sebenar kehidupan iaitu Allah s.w.t. Apabila diserahkan semuanya kepada dan kerana Allah s.w.t., lantas kehidupannya menjadi mudah dan tenang. Jiwanya tidak kacau dengan keserabutan dunia. Sekalipun hidupnya penuh ujian dan ranjau kehidupan, ia tidak menggoyahkan hubungannya dengan Allah s.w.t.

Justeru, sekiranya kita dilanda masalah, marilah bersama kita berdoa seperti doa para pemuda al-Kahfi tatkala mereka dihimpit masalah, doa yang terakam dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Kurniakan kepada kami rahmat dari sisi-Mu, serta berikan kepada kami petunjuk dalam urusan kami.” (Surah al-Kahfi 18: 10)

jiwa kacauJiwa yang mencela kesilapan diri merupakan jiwa orang beriman yang semakin hampir kepada jiwa yang tenang. Jiwa sebegini adalah jiwa yang sensitif dengan kesalahan diri sendiri, lantas mencela diri sendiri hingga membawa keinsafan. Lama kelamaan, jiwa yang dididik dengan muhasabah dan peringatan akan menjadi tenang.

Inilah sifat jiwa seorang Mukmin yang perlu dilatih dalam diri kita. Sebagai anak Adam, sudah tentu kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan.

Jiwa yang ketiga adalah jiwa yang mendorong ke arah keburukan. Inilah jiwa kacau yang sebenarnya. Kadang-kadang manusia tidak sedar yang dirinya didorong oleh nafsu ke arah keburukan sehingga sudah tidak mengenal erti iman dan takwa. Setiap kehidupannya hanya untuk kesedapan di perut dan di mulut, tidak lebih daripada itu.

Jangan mudah mengalah wahai orang beriman. Allah s.w.t. Maha Merahmati hamba-hamba-Nya yang berusaha ke arah jiwa yang tenang. Tenangkan jiwa anda daripada keduniaan, ‘kacau’ lah jiwa dengan akhirat yang mendekat.

 

                           Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas