Menu

 

A+ A A-

MEMAHAMI BATAS PERGAULAN

ADAKAH boleh diadakan grup studi sekitar empat orang yang disertai oleh pelajar lelaki dan perempuan? Bolehkah kita berSMS tentang pelajaran dengan rakan yang bukan kaum sejenis? Apa hukum bercinta sedangkan kita masih lagi di alam persekolahan?

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Rasulullah dan para sahabat. Di sini saya dapat simpulkan semua jawapan dalam satu huraian. Kita boleh melihat daripada aspek adab pergaulan antara lelaki ajnabi dan perempuan ajnabiah.

Islam sebenarnya indah dan sempurna. Di dalamnya, telah digariskan syariat bagaimana cara-cara seorang lelaki mahupun seorang wanita berhubungan sesama sendiri. Islam tidak melarang umatnya berurusan sesama manusia, lelaki dan wanita. Namun perlu diingat bahawa ada garis panduan syarak dalam setiap perkara.

Aturan Pergaulan

1 - Menjaga pandangan dari kedua belah pihak.

Tidak boleh melihat aurat, tidak boleh memandang dengan syahwat, dan tidak memandang tanpa ada keperluan. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.` Katakanlah kepada wanita yang beriman, Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya.” (Surah al-Nur: 30-31)

2 - Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan.

Memakai pakaian yang menutup seluruh tubuh selain muka dan pergelangan tangan. Selain itu tidak boleh juga memakai pakaian yang nipis dan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh. Allah berfirman yang bermaksud: “...dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur: 31)

Menurut ulama kontemporari, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, yang dimaksudkan dengan ‘perhiasan perempuan’ dalam ayat ini ialah apa sahaja yang dipakai untuk berhias dan mencantikkan tubuh sama ada berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut, potongan badan ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan dan sebagainya.

3 - Mematuhi adab –adab Muslimah.

 < Dalam percakapan: menghindari perkataan yang merayu dan membangkitkan rangsangan.

< Ketika berjalan dan bergerak: tidak boleh memancing pandangan dengan lenggang-lenggoknya.

< Jangan sampai ber‘tabarruj’.

< Menjauhkan diri daripada bau-bauan yang harum dan warna-warna perhiasan yang seharusnya dipakai di rumah, bukan di jalan dan semasa pertemuan dengan kaum lelaki.

< Jangan berdua-duaan tanpa disertai mahram.

batas-pergaulan-1

Mari kita kaitkannya dengan soalan asal. Grup studi antara lelaki dan perempuan hanya dibolehkan apabila mengikut syarat-syarat di atas. Namun, adakah kita cukup kuat untuk menjamin yang kita boleh menghalang perkara yang dilarang?

Mungkin sukar jika dilihat situasi zaman kini. Namun begitu nasihat saya, tiada masalah bagi kita untuk buat grup studi bersama rakan sejantina. Keperluan adanya lelaki dalam grup bukanlah sampai ke tahap darurat kerana jika tidak faham sesuatu isu boleh ditanyakan kepada guru.

Berkaitan SMS dengan lelaki tentang pelajaran, saya nasihatkan kita lebih warak dan berjaga-jaga dalam mendidik hati kita. Nafsu, syahwat dan syaitan adalah ‘orang ketiga’ apabila lelaki dan wanita berdua-duaan. Walaupun sekadar SMS, tetapi perlakuan itu hanya mereka berdua sahaja, bukan? Kerap berlaku gejala tidak sihat muda mudi zaman sekarang adalah berpunca daripada SMS.

Mula-mula SMS, kemudian bercakap di talian, seterusnya berjumpa dan akhirnya berlakulah perkara yang tidak diingini. Sekiranya ada masalah pelajaran, ada baiknya bertanya terus kepada guru yang mengajar. Selain itu, boleh juga bertanya kepada rakan sejantina yang lebih memahami dan mahir.

Sekiranya memang tidak ada orang lain melainkan lelaki yang boleh membantu, bolehlah bertanya kepadanya pada ketika itu sahaja dan sekadar keperluan. Perlu diingat, lelaki dan wanita ibarat minyak dan api yang boleh membakar dengan cepat dan marak. Jadi berhati-hatilah.

Bercinta di alam persekolahan adalah satu perkara yang semakin menular di zaman kini. Cinta adalah anugerah Allah, namun janganlah mencemarkan cinta dengan syahwat dan nafsu. Bolehkah kita mengelakkan hati kita daripada syahwat kepada lelaki atau perempuan apabila kita sudah mengikat cinta? Adakah cinta kita boleh menambahkan kecintaan kita kepada Allah, atau lebih melalaikan kita dari-Nya? Bagaimana pula dengan pelajaran kita?

Banyak persoalan dan tanggungjawab yang perlu kita fikirkan. Nasihat saya, lebih baik fokuskan dahulu terhadap pelajaran dan pendidikan di sekolah yang lebih menjamin masa depan. Perjalanan anak-anak muda masih panjang dan penuh dengan pelbagai ranjau dan duri. Jangan lalaikan diri dengan cinta terlarang dan ‘cinta monyet’ yang tidak berkesudahan.

Bercintalah dengan ilmu, bertunanglah dengan buku dan berkahwinlah dengan kejayaan.

Wallahuaklam.

 

Rujukan:

1. Al-Mufassal Fi al-Ahkam al-Mar’ah – Syeikh Abd. Karim Zaidan.

2. Solusi: Persoalan Aurat Wanita – Ustazah Husna Hassan. Q

 

Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2

 


 

Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas