Menu

 

A+ A A-

ZAKAT

Qada Zakat
 
Apa hukumnya orang yang sengaja tidak membayar zakat selama bertahun-tahun? Apa yang perlu dilakukan sekiranya dia sudah insaf?
 

Jawapan:

Berdosa hukumnya sesiapa yang sengaja menangguhkan membayar zakat. Zakat wajib ditunaikan ketika tiba masanya dan tidak boleh ditangguhkan. Dia wajib segera bertaubat kepada Allah dan menunaikan zakatnya (qada) yang telah berlalu selama tempoh tersebut tanpa dikurangi walau sedikit pun dari nilainya.

zakat2

Helah Elak Zakat

Saya ada kenalan yang berkecimpung dalam perniagaan jual beli tanah. Dia pernah mengatakan kepada saya bahawa dia akan pastikan tanah yang dibelinya akan dijual sebelum tiba haul (genap setahun) supaya dia tidak perlu mengeluarkan zakat. Kemudiannya dia akan membeli terus tanah lain. Apa hukum perbuatannya itu?

Jawapan:

Tidak boleh lari daripada kewajipan berzakat. Sekiranya dia membeli tanah dengan tujuan memperoleh keuntungan, maka wajib zakat ke atasnya. Jadi sekiranya tanah tersebut kekal dalam milikannya selama setengah tahun. Kemudian dia menjual tanah tersebut dan membeli tanah yang lain pula dengan nilaian yang sama dengan harga jualan tanah yang pertama tadi. Maka, apabila tiba haul, dia perlu mengeluarkan zakat atas nilai tanah yang baru walaupun ia belum terjual. Namun jika dia membeli tanah bukan dengan tujuan jual beli untuk mendapat keuntungan, sebaliknya dibiarkan begitu sahaja atau disimpan untuk kegunaan peribadi, maka tidak diwajibkan zakat ke atas tanah tersebut.

Status Wang KWSP Mualaf yang meninggal dunia.

Adakah ibunya yang menjadi penama masih berhak atas wang tersebut?

Jawapan:

Bagi menjawab kes ini, saya bawakan keputusan yang telah difatwakan sebagaimana berikut: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-61 yang bersidang pada 27 Jan 2004 telah membincangkan hokum pembayaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi ahli yang memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Mengikut hukum syarak, orang bukan Islam tidak berhak mewarisi harta orang Islam dan begitulah sebaliknya.

2. Jika seseorang bukan Islam memeluk Islam dan mempunyai simpanan KWSP serta telah menamakan penama orang bukan Islam, maka hendaklah menukar penama tersebut kepada orang Islam. Jika tiada penama orang Islam dan tiada waris Islam yang berhak ke atas harta tersebut setelah beliau meninggal dunia, maka harta itu tidak menjadi hak penama yang bukan Islam, sebaliknya hendaklah diserahkan kepada Baitumal.

3. Orang Islam boleh membuat wasiat kepada orang bukan Islam tidak melebihi 1/3 daripada hartanya. (http://muamalat.islam.gov. my/fatwa-kebangsaan)

ZAKAT FITRAH

Takrifan

Bahasa: Bermaksud bersih, suci, subur dan berkembang.

Zakat Fitrah: Zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu Muslim lelaki dan perempuan pada bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Fadhilat

1 Menampung kekurangan ibadah puasa.

2 Membantu fakir dan miskin pada Hari Raya. Ibn Abbas r.a. berkata: “Rasulullah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyucian buat orang berpuasa daripada perbuatannya yang sia-sia dan kata-kata keji dan sebagai makanan buat orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat (hari raya) maka ia merupakan zakat yang makbul. Sesiapa yang menunaikan selepas solat, maka ia dikira sedekah.” (Riwayat Abu Daud) Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kayakanlah mereka (fakir miskin) daripada meminta-minta pada hari ini (Hari Raya).” (Riwayat al-Daruqutni)

Siapa yang diwajibkan

Setiap Muslim baik merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kecil atau besar. Penjaga wajib mengeluarkan zakat bagi orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri, anak-anak kecil dan hambanya.

Kadar

Segantang makanan ruji tempatan (boleh jadi beras, gandum, jagung dan sebagainya) dengan kiraan hari ini bersamaan timbangan metrik 2.60 kilogram (2600 gram).

Waktu

Waktu mula diwajibkan ialah sebaik sahaja malam pertama.

Waktu menunaikan:

i Waktu afdal: sebaik sahaja terbitnya matahari 1 Syawal hingga sebelum solat ‘Eid (hari raya) hendak didirikan.

iv Waktu harus: sepanjang bulan Ramadan.

iv Waktu Makruh: Selepas solat ‘Eid hingga sebelum terbenam matahari 1 Syawal.

iv Waktu Haram: Selepas terbenam matahari 1 Syawal.

Penerima

Mana-mana asnaf yang lapan: Fakir, miskin, amil pemungut orang berhutang, hamba, fisabilillah dan ibn sabil.

zakat

 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas