Menu

 

A+ A A-

CAHAYA YANG BELUM TERPADAM

DI SATU SUDUT RUMAH, BETUL-BETUL TERLEKAT PADA DINDING DI RUANG TAMU, DI SITULAH AKU MENGHABISKAN HARI-HARIKU. SELAGI MASIH ADA YANG SUDI MENERIMA BAKTI, SELAGI ITU AKU MENABUR BAKTI. WALAUPUN LAMPU ELEKTRIK SEMAKIN BERLELUASA PENGGUNAANNYA, LAMPU MINYAK TANAH MASIH TIDAK DIANGGAP LAPUK BAGI YANG MENYUKAI CARA TRADISIONAL.

Walau bagaimanapun, pergantungan hidupku kepada minyak tanah. Tanpanya, aku akan terpadam tanpa memberi isyarat terlebih dahulu.

Radio yang terletak di sudut yang sama berlagu mengingatkan:
Hidup ini bagai lampu dinding, Yang dinyalakan di malam hari, Apabila minyak sudah kering, Ia kan pasti padam sendiri.

Takut mati
CAHAYA2Daripada lampu dinding, ada pengajaran yang berharga buat manusia. Cukup sahaja masa, manusia pasti meninggalkan dunia; meneruskan kembara di alam-alam yang lain pula. Kematian itu pasti. Ya, pasti dan amat ditakuti oleh semua manusia. Mengapa takut? Kerana kematian itu memisahkan manusia daripada dunia yang dilihat terlalu seronok, asyik dan indah.

Di kubur yang sunyi, gelap dan jauh daripada orang lain, kita akan bersendiri. Kerisauan semakin bertambah saat-saat menanti ketibaan Munkar dan Nakir. Mampukah kita menjawab segala pertanyaan mereka? Jawapannya sudah sedia ada dan sudah dihafal barangkali. Tunggu masa sahaja untuk menjawab, dengan keimanan dan amalan soleh yang menjadi pembantu talian hayat!

Imam al-Ghazali pernah berkata:
“Pertama telah kupandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikan bahawa setiap
mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampinginya sampai pada sakit yang membawa maut dan yang sebahagian hanya sampai ke tepi liang kubur. setelah itu, kesemuanya pulang dan meninggalkannya terbaring seorang diri. Tidak seorang pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburkannya di dalam kubur. Yang demikian tidakku dapati selain daripada amal yang soleh. Sebab itu, maka kuambillah ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kuburku, menghiburkan dan tidak meninggalkan daku seorang diri.”

Tidak salah mempunyai rasa takut. Cuma hanya segelintir sahaja yang menggabungkan perasaan takut itu dengan rasa mengharap kepada Tuhan-nya. Benarlah kata bijak pandai, takut tanpa rasa mengharap menjadikan manusia bersangka buruk dengan Allah. Tetapi takut dengan rasa sambil lewa Allah mengampunkan semua dosanya, seolah-olah dia beranganangan memiliki syurga. Khauf (takut) dan raja’ (mengharap) perlu diseimbangkan bagi mendorong kita terus menjadi hamba bertuhankan Allah.

Muda hanya sekali
Ungkapan zaman remaja hanya sekali bukanlah tiket untuk kita terus memburu keseronokan dunia semata. Tetapi ia harus dilihat sebagai kehidupan di dunia sebagai orang muda terlalu singkat. Dan kadang kala, tidak sampai menginjak remaja pun, nyawa boleh hilang kerana telah dijemput Tuhan.

Zaman remaja, sangat bernilai. Tidak terbayar dengan emas permata. Bayangkan pada zaman remaja, kudrat lebih kuat, idea lebih bernas dan masa lebih banyak berbanding mereka yang sudah separuh abad umurnya. Masa berlama-lama berhibur seharusnya dikurangkan sedikit demi sedikit. Masa yang dihabiskan dengan kawankawan yang mengajak membuang masa juga harus diperhati semula. Bimbang, masa yang ada itu tidak cukup untuk diisi dengan membantu ibu bapa dan menyumbang untuk agama dan negara.

Apabila berada di bumi ciptaan Allah, maka tiada daya dan kekuatan bagi melarikan diri daripada mati. ini kehendak Allah dan ini juga hakikat. Bukan sahaja untuk melarikan diri, mahu beramal ibadat juga tidak dapat dilakukan andai tiada izin-Nya. Allah bersifat dengan keadilan, maka diberinya kita waktu dan kesempatan sebagai tetamu senja di dunia. senja menanti malam, sudah pasti masanya tidak lama. Itulah dunia yang bersifat sementara. Kita menanam dan menyubur buah pahala di sini agar nanti kita boleh memakannya di sana. Betapa adilnya Allah menetapkan itu kepada manusia.

Dan alunan nasyid itu bermain lagi:
Setelah kita tinggalkan dunia,
Alam yang lain pula menanti,
Apakah kita dapat kurnia,
Itu melihat amal dan bakti.

CAHAYA

 

Oleh Nurul Amirah Abdul Rahim

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Nurul Amirah Abdul Rahim

Lulusan Universiti Teknologi Mara

Artikel berkaitan: « ZAKAT RAHSIA KE MASJID »
Kembali ke atas