Menu

 

A+ A A-

STRATEGI UNTUK JUJUR

1. Jujur lisan atau perkataan

Istilah janji Melayu begitu sinonim dengan umat Islam. Ya, apabila berbangsa Melayu, sudah pasti dia beragama Islam. Tidak menepati janji bercanggah dengan nilai murni Islam. Apabila sudah berjanji sedaya upaya kita perlu laksanakan. Jangan berjanji jika kita yakin tidak boleh ditepati. Begitu juga berbohong apabila berbicara. Hati-hati! Lawan bagi sifat jujur ialah khianat, sementara sifat khianat itu sinonim dengan orang munafik. Nauzubillah.

strategi1

2.Jujur niat dan kehendak

Kata orang, kejujuran dan keikhlasan seperti semut hitam yang berjalan pada malam yang pekat. Sukar untuk menilai tahap kejujuran seseorang. Tetapi kebiasaannya keikhlasan niat akan mencetus keinginan untuk beramal semata-mata kerana Allah s.w.t. Dia tidak terkesan dengan orang yang melihat dan menilai dirinya kerana mengerti penilai sebenar amal perbuatannya ialah Allah s.w.t

3. Jujur keazaman dalam melaksanakan sesuatu kerana Allah

Setelah memasang niat, maka teruskan perjalanan dalam sebuah amal perbuatan. Dengan niat yang tulus, bersemangat kerana Allah akan datang selepasnya. Semangat mahu belajar kerana mahukan kerjaya yang profesional tidak menjamin rasa semangat yang berterusan. Jika kita sudah mencapai cita-cita yang dihajati, kemudian apa lagi yang ingin dicapai? Kita terasa kosong kerana tiada keterikatan pergantungan dengan Allah s.w.t.Ya, jika kita bersemangat kerana Allah, Allah itu kekal dan selama-lamanya menjadi motivasi untuk menambah baik sepanjang kita hidup di dunia.

strategi4. Jujur dalam melaksanakan apa yang diazamkan

Baik, kita sudah menetapkan matlamat, yakni berbuat sesuatu yang benar dengan jalan yang benar, maka teruskan dan istiqamah dalam melakukannya. Sebagai contoh, sebagai seorang pelajar atau mahasiswa, kadangkala kita tidak lari daripada bergaul dengan rakan ataupun terlibat dalam penggunaan teknologi secara tidak sihat.

Ketika ini, jiwa remaja meronta-ronta untuk menurut kehendak nafsu. Jujurlah dengan apa yang telah diazamkan iaitu untuk menjadi pelajar Muslim yang berjaya. Usah takut pada celaan, usikan atau sindiran mereka yang hanya akan membantutkan jalan kejayaan kita. Begitu juga dengan teknologi, biar teknologi menjadi hamba, bukannya kita menjadi hamba teknologi.

5. Jujur dalam beramal itu sendiri

Sepanjang melakukan amalan kebaikan, moga-moga perbuatan zahir yang dilakukan tidak bercanggah dengan amalan batin yang sedang dilakukan. Tidak dinafikan syaitan dan nafsu bersungguh-sungguh mengganggu binaan iman di hati kita. Tepis rasa hipokrit dan berpura-pura dengan memperbanyakkan program hati mengingati Allah s.w.t. Dengan kejujuran yang sudah diterapkan dalam hati, hampir pasti kita akan dihormati walaupun dalam kalangan musuh sendiri.

NURUL AMIRAH BINTI ABDUL RAHIM

Sumber artikel daripada GEN-Q 10


 

Nurul Amirah Abdul Rahim

Lulusan Universiti Teknologi Mara

Kembali ke atas