Menu

 

A+ A A-

HIDUPLAH SEPERTI PUTARAN JAM

KRING! Bunyiku seawal jam 6.00 pagi mengejutkan manusia daripada lena yang panjang. Rutinku tidak lain daripada terus berdetik mengikut perubahan waktu. Yang pasti jarum jam, minit dan saat sentiasa bergerak mengikut arah jam, tidak sekali-kali melawan arah. Berdisiplin. Kelihatan detikan itu perlahan dan lambat, tetapi bagimereka yang melalui tempoh masa selama 24 jam, kerap beralasan tidak cukup masa.

Sentiasa Mengingatkan

Apabila badanku dikunci pada waktu tertentu, maka tepat masanya aku akan berdering. Secara tidak langsung aku turut membantu mereka yang mahu bangun awal pagi untuk belajar, bersiap ke tempat kerja, qiamullail dan pelbagai lagi urusan penting yang lain.

jam1Aku sebuah jam loceng. Penggunaku pelbagai latar belakang; pelajar, guru bahkan ada juga dalam kalangan pemimpin. Saling mengingatkan atau menasihati resmi orang Muslim dan Mukmin. Aplikasinya, bukan memilih untuk menerima nasihat dan memberi teguran. Orang berpangkat dihormati, sedangkan nasihat daripada orang miskin dan yang orang yang lebih muda ditolak tepi. Kononnya orang kelas bawahan dan kurang makan garam.

Pernah berlaku sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, ketika beliau terlalu letih daripada menjalankan tugasan sebagai pemimpin, beliau meminta izin untuk berehat. Seketika kemudian, anaknya; Abdul Malik datang lalu bertanya kepada si ayah: “Adakah ayah akan berasa aman apabila kematian menjemput, sedangkan rakyat menunggu di depan pintu kerana mahu berurusan?” Teguran itu membuatkan Khalifah Umar bingkas bangun dan bersemangat untuk meneruskan tugasnya.

Itu kisah teguran daripada anak kepada ayahnya yang merupakan pemimpin. Ternyata, manusia sentiasa memerlukan ingatan dan teguran supaya timbul kesedaran dan boleh membetulkan kesilapan yang sedang dilakukan. Lebih-lebih lagi apabila mereka tidak sedar, kesilapan tersebut ialah kesilapan! Sikap berlapang dada tanpa memilih siapa yang menegur seharusnya menjadi ikutan.

Zon-zon Jam

Tempoh masa 24 jam menyebabkan aku berputar sebanyak 24 pusingan sehari. Pusingan tersebut melalui angka-angka ganjil dan genap dalam susunan nombor. Enam angka ganjil dan enam lagi angka gelap. Angka genap seperti zon kebahagiaan sementara angka ganjil seperti zon kesusahan. Ketika berada pada angka 12, seharusnya aku tidak lupa bahawa aku juga akan sampai pada angka 1.  

Seperti juga dalam kehidupan manusia, tidak lari daripada bertemu dengan pelbagai cabaran dan hambatan. Tetapi ia tidak lama kerana Allah pasti akan menghadiahkan dengan kemudahan setelah kesulitan. Menepati piawaian seorang Muslim dan Mukmin, jika bahagia maka dipanjatkan rasa syukur. Tetapi sekiranya diuji dengan kesusahan, dia bersabar dan itu baik baginya. Sememangnya perjalanan kehidupan manusia itu bagaikan putaran jam.

jam

Dalam tempoh berada di zon selesa, suburkan rasa kesyukuran. Itulah sebenarnya fittrah hati yang jika tidak disuburkan lebih awal, kemungkinan ia akan mati. Moga-moga air dan baja kesuburan yang ditanam ke dalam diri memutikkan tunas dan buah penuh reda apabila kesulitan pula bertandang ketika kemudahan kelihatan beransur hilang.

Setiap hari berputar, sampai masa detikan jarum jam akan berhenti kerana kehabisan bateri. Begitu juga perjalanan hidup manusia, sampai masanya manusia akan meninggalkan dunia. Bagi jam loceng, setelah diganti dengan bateri yang baru, dapatlah berfungsi kembali, tetapi bagi manusia penghidupan dan pertemuan semula hanya di akhirat. Beramallah selagi diberi tempoh waktu.

NURUL AMIRAH ABDUL RAHIM

Sumber artikel daripada GEN-Q 10


 

Nurul Amirah Abdul Rahim

Lulusan Universiti Teknologi Mara

Kembali ke atas