Menu

 

A+ A A-

RAHSIA KE MASJID

DIALOG di bawah adalah dialog yang selalu kita dengar. Bahkan kita juga sering mengambil tindakan yang sama seperti Anas. Kita berasa sangat berat hati dan juga kaki untuk menunaikan solat berjemaah terutamanya berjemaah di masjid. Hati dan kaki kita seolah-olah diikat kemas oleh rantai besi sehingga tidak mampu lagi untuk dibuka.

rahsia ke masjid1

Sebenarnya, Nabi Muhammad s.a.w. sering menyebut tentang kelebihan bersolat secara berjemaah. Guru-guru agama juga selalu membacakan hadis Nabi s.a.w. seperti ini kepada kita semua. Abdullah bin Umar telah menyampaikan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda: “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat secara bersendirian (seorang diri) sebanyak 27 darjat.” (Riwayat al-Bukhari, no. 609) Berpandukan kepada hadis sahih ini, dapatlah kita fahami bahawa solat berjemaah sangat besar ganjaran pahalanya. Sebagaimana yang disebutkan, Allah menawarkan pahala yang tinggi kepada kita. Seluruh umat Islam tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, semuanya dianjurkan untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Jadi, kenapa kita mensia-siakan peluang keemasan ini? Kenapa tidak direbut sahaja pahala berharga yang disediakan ini? Sebagai contoh, apabila ayah atau ibu memberi kita pilihan untuk memilih sendiri hadiah sempena sambutan hari lahir, sudah tentu kita akan memilih barangan yang agak mahal dan bernilai harganya. Begitulah juga dalam hal ibadah solat, adalah menjadi satu kerugian yang amat besar jika kita mensia- siakan “hadiah besar” yang telah Allah sediakan.

Di mana yang sesuai untuk solat berjemaah? Tidak lain dan tidak bukan adalah di masjid dan surau. Ini disebabkan kelebihan dan pahala bersolat fardu di masjid menyamai pahala orang mengerjakan haji. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadis yang disampaikan oleh Abi Umamah: “Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan suci untuk menunaikan solat fardu, pahala yang diperolehinya ibarat pahala orang yang melaksanakan haji dengan ihramnya.

Sesiapa yang keluar semata-mata untuk menunaikan solat Dhuha, pahala yang diperolehinya ibarat pahala orang yang mengerjakan umrah. Solat yang diikuti solat tanpa sebarang amalan sia-sia di antaranya adalah merupakan catatan di dalam golongan tertinggi.” (Riwayat Abu Daud, no. 471) Selain itu, Allah juga akan menyediakan tempat persinggahan di syurga sebagai ganjaran kepada hambanya yang pergi ke masjid.

rahsia ke masjid3

Abu Hurairah r.a. menyampaikan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang pergi masjid pada waktu pagi dan petang, Allah akan menyediakan kepadanya tempat singgah di syurga setiap kali dia pergi di waktu pagi dan petang itu.” (Riwayat al- Bukhari, no. 622) Jika diperhatikan makna yang terkandung dalam hadis-hadis sahih ini, ganjaran dan fadilat sangatlah besar serta mahal harganya yang hanya disediakan kepada seluruh pencinta rumah-rumah Allah Yang Maha Agung.

Tidakkah kita berasa teruja untuk memeriahkan masjid-masjid kita dengan ibadah solat jamaah? Jadi, bermula pada hari ini, kita perlu menanamkan azam yang tinggi untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau. Di samping itu, kita juga boleh menjadikan masjid dan surau sebagai tempat melakukan amalan lain contohnya membaca al-Quran, qiamullail dan sebagainya.

rahsia ke masjid2

Malah, pihak pengurusan masjid pada hari ini juga telah menyediakan banyak kemudahan lain yang boleh dimanfaatkan contohnya gelanggang permainan, pusat tuisyen, program-program ceramah agama dan motivasi, perpustakaan, kemudahan akses internet dan lain-lain kemudahan. Akhirnya, mari bersama-sama memeriahkan masjid-masjid dan surau-surau dengan ibadah solat jemaah dan lain-lain program. Jadi, kenapa tunggu lagi? Jom kita ke masjid! Ayuh merebut pahala berganda ¤

 

 Ustaz Mohamad Zarifi Hj. Mohamad Daud

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana

 


 

Ustaz Mohamad Zarifi Hj. Mohamad Daud

Lahir di Kelantan pada 31 Ogos 1982. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Fiqh dan Usul Fiqh) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2006. Mendapat Sijil Pengurusan Fatwa dan Dakwah, al-Azhar al-Syarif, Kaherah Mesir pada tahun 2010 dari kursus tajaan JPA dan JAKIM. Beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana (Fiqh dan Usul Fiqh) secara disertasi penuh dengan tajuk kajian ‘Judi Dalam Peraduan”. Menyertai JAKIM bermula pada 2 Oktober 2006. Beliau juga banyak menulis dan membentangkan kertas kerja dalam seminar, simposium, dan bengkel di peringkat kebangsaan.

Terkini daripada Ustaz Mohamad Zarifi Hj. Mohamad Daud

Kembali ke atas