Menu

 

A+ A A-

BIDAYAH AL-MUJTAHID, PANDUAN BAKAL MUJTAHID

Pengarang

Al-Imam al-Qadi Abi al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad Ibn Rusyd al-Qurtubi (520H – 595H).

Kandungan Kitab

Judul penuh karya hebat ini ialah Bidayah al-Mujtahidwa Nihayah al-Muqtasid yang bermaksud: Permulaan buat mujtahid dan akhir buat muqtasid (pelajar fiqah tahap pertengahan).

Sebagaimana yang dapat ditelah daripada judulnya, kitab ini dimaksudkan untuk menjadi rujukan asas bagi sesiapa yang hendak mengorak langkah sebagai mujtahid dalam bidang fiqah.

Buku ini berisi perbincangan kepelbagaian masalah fiqah dengan mengemukakan pandangan fuqaha muktabar seperti Abu Hanifah, Malik, al-Syafi‘i, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih, al-Hasanal-Basri, Sufyan al-Thawri, Daud al Zahiri,al-Awza‘i dan lain-lain.

Persoalan-persoalan fiqah dibincangkan secara menyeluruh meliputi semua pandangan sama ada pro dan kontra. Setiap perbincangan turut disertai dengan analisis tentang asas perbezaan pendapat sama ada berkaitan dalil al-Quran, hadis, ijmak atau pun qiyas.

Metodologi Penulisan

Secara keseluruhannya, Ibn Rusyd menerapkan metode analisis logik dalam penulisan kitab ini. Beliau menyelami setiap permasalahan dengan memfokuskan kepada aspek kekhilafan dan sebab-sebabnya. Justeru, beliau berusaha menjelaskan alasan semua pendapat.

Beliau juga mengaplikasikan metode taklim iaitu pendekatan pengajaran sebagaimana yang dapat diamati pada gaya penulisannya. Kebiasaannya beliau memulakan penulisan dengan persoalan yang mudah dan umum, kemudian disusuli dengan persoalan yang semakin sukar dan lebih terperinci. 

Keistimewaan

bidayahAsas keistimewaan karya IbnRusyd ini pada matlamatnya yang berusaha membuka pintu ijtihad dalam menjawab persoalan hokum melalui penguasaan masalah-masalah khilaf para ulama terlebih dahulu. Beliau begitu maklum bahawa suatu ijtihad baru tidak boleh lahir tanpa mengambil kira perbahasan para ulama terdahulu.

Kemudiannya, apa yang lebih membuatkan kitab ini bernilai adalah pada kecerdikan ijtihad Ibn Rusyd itu sendiri. Beliau memanfaatkan cabang ilmu lain dalam masalah fiqah, contohnya ilmu perubatan dan falak. Di tambah pula dengan keupayaan beliau merumuskan bahasan-bahasan yang berat menjadi mudah difahami.

Selain itu, setiap hadis yang dibawa selalu dijelaskan kekuatan dan kelemahannya berpandukan penilaian al-Hafiz Ibn Abdil Bar yang ditulis sebagai Abu Umar dalam kitabnya. Agaknya, Ibn Rusyd menjadikan buku al-Istizkar dan al-Tamhid karangan Ibn Abdil Bar sebagai rujukan utamanya.

Keistimewaan kitab bertambah sempurna dengan sikap rendah diri pengarangnya. Apabila beliau tidak mengetahui sesuatu perkara tentang pendapat fuqaha, mazhab atau dalil, beliau akan mengakuinya.

Rekomendasi

Bidayah al-Mujtahid ialah kitab yang “mesti dibaca” bagi sesiapa yang berminat mendalami perbahasan khilaf fuqaha secara jitu. Maka tidak hairan apabila buku ini menjadi salah satu rujukan penting dalam kajian perbandingan mazhab di universiti-universiti dunia pada saat ini.

 

Prof. Dr. Ashraf Md Hashim 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas