Menu

 

A+ A A-

AKHIR ZAMAN HADIS PALSU BERTEBARAN

PENYEBARAN hadis palsu pada akhir zaman merupakan satu perkara yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Bahkan golongan yang menyebarkan perkara ini digelar sebagai dajal yang penipu. Rasulullah bersabda maksudnya: “Pada akhir zaman nanti, terdapat dajal-dajal yang penipu. Mereka membawa (menyebarkan) kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah didengari oleh kamu dan bapa-bapa kamu. Maka berhati-hatilah. Berhati-hatilah dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan tidak memfitnah kamu (sehingga mereka menipu kamu dan kamu mempercayai penipuan mereka).” (Riwayat Muslim).

Oleh yang demikian, seluruh umat Islam harus berhati-hati terhadap penyebaran hadis palsu yang melanda umat Islam. Keadaan ini telah, sedang dan akan terus melanda sehingga ke hari akhirat. Untuk itu, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang mampu mengenal pasti hadis sahih dan hadis palsu.

Definisi
Apakah yang dimaksudkan dengan hadis palsu?

Jawapan :
Imam Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dalam Qawa‘id al- Tahdith menyatakan bahawa hadis palsu ialah hadis dusta atau yang direka oleh seseorang perawi secara sengaja atau tersalah lalu disandarkan hadis tersebut kepada Rasulullah. Sekalipun ia dikenali sebagai hadis namun ia sama sekali bukan ucapan Rasulullah. Sandaran “hadis” yang diberikan, bukan bermakna ia diiktiraf sebagai hadis Rasulullah. Bahkan ia merupakan satu istilah dalam disiplin ilmu hadis yang mengisyaratkan bahawa ia bukanlah hadis Rasulullah.

Hukum Sebar
Apakah hukum menyebarkan hadis palsu?

Jawapan :
Penyebaran hadis palsu bermaksud menyampaikan hadis ini agar didengari atau dibaca oleh orang lain. Para ulama bersepakat menetapkan bahawa bukan sahaja mereka-reka hadis hukumnya haram, bahkan menyebarkan hadis ini tanpa diterangkan bahawa ia hadis palsu juga adalah haram.

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya di dalam neraka!” (Riwayat al-Bukhari) Imam Ibn al-Solah dalam ‘Ulum al-Hadith menegaskan: “Tidak halal bagi sesiapa yang mengetahui sesebuah hadis itu palsu, lalu dia menyebarkannya dalam apa bentuk sekalipun. Melainkan dinyatakan kepalsuan hadis tersebut.”

Formula
Bagaimana cara untuk kita menentukan bahawa sesuatu yang didakwa sebagai hadis itu sebenarnya hadis palsu?

Jawapan :
1. Formula mengenali melalui kajian sanad:

a. Perawi seorang pendusta.
b. Pengakuan daripada pemalsu hadis.
c. Kenyataan secara tidak langsung daripada perawi yang boleh difahami sebagai pengakuan mendustakan hadis.

2. Formula mengenali melalui kajian matan:

a. Matan bercanggah dengan nas al- Quran.
b. Matan bercanggah dengan nas hadis yang sahih.
c. Matan mengandungi sesuatu yang mustahil dan ditolak oleh akal yang waras.
d. Terdapat unsur-unsur yang janggal atau keterlaluan yang membuktikan ia bukannya hadis Rasulullah.
e. Matan mengandungi perkara buruk dan bahan ketawa.
f. Matan tidak menyerupai gaya pertuturan biasa Nabi.
g. Matan yang bermaksud menuduh Nabi melakukan sesuatu perkara di hadapan sahabat dan sahabat bersetuju untuk merahsiakannya.
h. Matan menyebut tarikh-tarikh tertentu bagi peristiwa yang berlaku.
i. Matan lebih mirip kepada nasihat dan pandangan tabib atau doktor.
j. Bagi penjelasan lanjut, kita boleh merujuk kajian ulama antaranya al-Manar al-Munif karangan Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyah dan Nuzhah al-Nazar oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.

Impak Negatif
Boleh ustaz bawakan kesan-kesan negatif yang berlaku akibat penyebaran hadis palsu.

Jawapan :
Terdapat banyak kesan negatif yang ditimbulkan akibat pendustaan dan penyebaran hadis palsu sama ada pada Islam atau orang Islam sendiri antaranya:
1. Merosakkan akidah Islam. Contoh: “Jika seseorang bersangka baik dengan batu, nescaya ia akan memberi manfaat kepadanya.”
2. Menjatuhkan kewibawaan agama Islam. Contoh: “Sesiapa yang solat Dhuha dengan sedemikian rakaat, diberi kepadanya pahala 70 para nabi.”
3. Menjadikan nas-nas Islam saling bercanggah. Contoh: “Anak zina tidak akan masuk syurga”.
4. Menjadikan hadis bercanggah dengan realiti dan akal manusia.
Contoh: “Sesungguhnya bahtera Nuh telah tawaf di Kaabah sebanyak 70 kali dan solat dua rakaat di Maqam Ibrahim.”
5. Menjadi punca percambahan ajaran sesat. Contoh umumnya, terdapat banyak hadis yang direka oleh golongan Syiah yang sesat dengan mereka-reka hadis kelebihan Sayidina Ali dan ahli bait.
6. Memundurkan dan menyusahkan urusan umat Islam. Contoh: “Hari Rabu terakhir pada setiap bulan ialah hari celaka yang berterusan.”
7. Menjatuhkan imej ulama. Contoh: “Akan datang daripada kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (Imam al-Syafi‘i). Dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis!”
8. Memalingkan manusia daripada sunnah yang sahih. Contoh: Hadis solat al-Raghaib iaitu solat yang dilakukan pada malam Jumaat pertama pada bulan Rejab.
9. Menghilangkan ketulenan agama. Contohnya hadis palsu yang menyaran agar memakai pakaian yang terkoyak.

Wallahu a‘lam.

Mohd Solleh Abd. Razak
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

wasiat 280 x 393 TBBK1275  TBBK1259

TBBK1283

Kembali ke atas