Menu

 

A+ A A-

MIMPI SEBAHAGIAN DARIPADA KENABIAN

SOALAN : Saya ada membaca sebuah hadis yang mengatakan bahawa mimpi itu sebahagian daripada kenabian. Apakah maksud hadis sebenar ini? Bukankah tiada lagi kenabian selepas Rasulullah? Ataupun hadis ini tidak sahih?

JAWAPAN : Hadis yang saudara tanyakan ini sahih. Ia diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ubadah bin al-Samit daripada Nabi, maksudnya: “Mimpi seorang Mukmin itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.” Hadis ini juga diriwayatkan dengan sanad yang sahih hingga kepada Abu Hurairah dengan lafaz yang sama.

Hadis ini menjelaskan bahawa mimpi seorang Mukmin yang soleh itu memang bermakna. Dalam mimpi, seseorang boleh melihat perkara-perkara ghaib seperti berjumpa dengan malaikat,memberitakan apa yang akan terjadi pada masa hadapan dan lain-lain. Itu sebabnya mimpi Mukmin disebut sebagai salah satu bahagian daripada kenabian.

Namun Mukmin di sini bukanlah bermaksud orang yang beragama Islam yang sembarangan sahaja. Dia ialah orang yang berakidah kuat, warak dan bersih hatinya. Rasulullah bersabda dengan maksudnya: “Orang yang paling benar mimpinya ialah sesiapa yang paling benar ucapannya.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Qurtubi berkata: “Muslim yang jujur dan soleh menyerupai keadaan para nabi. Oleh sebab itu, mereka dianugerahi sebahagian daripada apa yang diberikan kepada para nabi iaitu melihat alam ghaib.”

Seperkara lagi, lafaz “46 bahagian daripada kenabian” dalam hadis di atas ialah riwayat yang paling masyhur. Kita tidak menafikan bahawa ada riwayat lain menyebutkan 45 bahagian, 70 bahagian dan lain-lain. Isu perbezaan lafaz ini telah dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathal-Bari.

Ibn al-Arabi berkata: “Perincian bahagian kenabian ini tidak ada yang mengetahui hakikatnya melainkan malaikat atau nabi. Apa yang Baginda maksudkan dalam hadis ini hanya untuk menunjukkan bahawa mimpi ialah sebahagian daripada kenabian secara mutlak. Sebabnya, mimpi itu satu saluran untuk melihat alam ghaib. Adapun perinciannya hanya diketahui oleh nabi.”

mimpi1Jangan Sembarangan Tafsir

SOALAN :

Bagaimana kita boleh mengetahui bahawa mimpi yang kita lihat ketika tidur bermakna atau tidak? Siapakah yang boleh mentafsir mimpi?

JAWAPAN :

Tidak semua mimpi ada hukum dan aturannya. Apalagi kelompok seperti kita yang belum termasuk dalam kategori solihin. Kebanyakan mimpi kita tidak mengandungi makna yang boleh ditafsirkan.

Dalam hadis Ibn Hibban daripada Auf bin Malik, Rasulullah bersabda yang bemaksud: “Mimpi itu ada  tiga jenis:

  1. Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam.
  2. Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur.
  3. Mimpi yang yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Hanya kategori ketiga yang membawa makna dan boleh diketahui melalui takwil mimpi. Adapun kategori pertama dan kedua, ia hanya bunga-bunga tidur. Justeru, mimpi seperti ini tidak berguna untuk diceritakan kepada orang lain.

Nabi mengajarkan kepada kita,apabila melihat sesuatu yang tidak disukai dalam mimpi, maka bacalah taawuz iaitu lafaz “auzu billah minassyaitanirrajim”. Kemudian, kita meludah ke kiri tiga sebanyak tiga kali dan berpindah tempat tidur. Lagi bagus kalau boleh bangun solat. Usah pedulikan mimpi itu,apalagi menceritakannya kepada orang lain. Mimpi itu tidak lain hanya tipu daya syaitan untuk merunsingkan fikiran manusia.

Sehubungan dengan isu ini juga, kita dinasihatkan untuk tidak sembarangan mentafsirkan mimpi sama ada mimpi kita ataupun orang lain.

Imam Malik pernah ditanya: “Bolehkah seseorang itu mentafsirkan mimpi secara sembarangan sahaja?”

Beliau menjawab: “Adakah diahendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi itu satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian! ”

Selain itu, kita jangan mudah bertanya makna mimpi kepada seseorang. Kalau ada orang yang mentafsirkan mimpi kita, jangan pula mudah percaya. Zaman ini zaman fitnah. Terlalu ramai orang yang mendakwa menguasai sesuatu ilmu padahal sebenarnya dia tidak tahu apa-apa tentang perkara itu.

Buku Tafsir Mimpi Ibn Sirin

SOALAN :

Di kedai-kedai buku ada dijual terjemahan buku tafsir mimpi karangan Imam Ibn Sirin. Katanya beliau ialah seorang ulama silam yang pakar tafsir mimpi. Bolehkah kita mentafsir mimpi berpandukan kitab ini?

JAWAPAN :

Imam Muhammad bin Sirin ialah seorang ulama tabiin di Basrah. Beliau sangat alim, warak, jujur dan tekun beribadah. Beliau mengamalkan puasa nabi Daud iaitu berpuasa selang sehari sepanjang hidupnya.

Ibn Sirin memang terkenal sebagai seorang yang pandai mentakwil mimpi. Mimpi-mimpi yang beliau tafsirkan itu benar-benar berlaku sepertimana yang dikatakan. Imam al-Zahabi mengulas: “Diriwayatkan tentang keupayaan Ibn Sirin dalam mentafsir mimpi yang sangat menakjubkan. Tidak cukup kitab untuk menghuraikannya. Seolah-olahnya beliau mendapat sokongan Ilahi dalam bidang ini.”

Namun hakikatnya, Ibn Sirin tidak pernah menulis buku tafsir mimpi. Maka buku yang saudara temui di pasaran itu sama sekali bukan karangan Ibn Sirin. Menisbahkan buku ini kepada Ibn Sirini salah satu kesalahan. Ini sebagaimana hasil kajian Syeikh Masyhur Hassan Salman, Ibrahim Soleh dan ramai lagi pengkaji moden yang lain.

Tambahan pula, kebolehan mentafsir mimpi ialah kelebihan yang Allah berikan kepada hati-hati yang bersih daripada dosa dan noda. Kebolehan ini lebih dekat kepada ilham dan bukan satu cabang ilmu yang boleh dipelajari. Justeru, sekadar membaca buku-buku tafsir mimpi belum melayakkan kita untuk mentafsirkan mimpi.

Nasihat saya, elakkan membaca buku itu. Usah melakukan sesuatu yang di luar kemampuan. Wallahu a‘lam.

mimpi

Ustaz Umar Muhammad Noor 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas