Menu

 

A+ A A-

IMAM ABU HANIFAH

Nama: Nama lengkap beliau ialah Nu‘man bin Thabit bin Zuta al-Taimi al-Kufi. Abu Hanifah ialah kuniyah (gelaran kehormat) untuk beliau.

Kelahiran : Abu Hanifah dilahirkan pada tahun 80 H. Pada saat itu ada beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. yang masih hidup. Bahkan beliau pernah berjumpa dengan Anas bin Malik semasa sahabat Nabi ini berkunjung ke Kufah.

Guru-guru : Abu Hanifah menimba hadis daripada ramai guru di pelbagai negeri. Di Kufah, beliau menerima hadis daripada ulama-ulama besar seperti Abu Ishaq al-Sabi‘i, ‘Amir al-Sya‘bi, Sulaiman al- A‘masy dan lain-lain.

Selain itu, beliau juga menuntut dengan Ata’ bin Yasar di Makkah, Abu Jaafar al-Baqir dan Ibn Munkadir di Madinah, Ibn Syihab al-Zuhri di Syam dan lain-lain. Dalam ilmu fiqah dan fatwa pula, Abu Hanifah mempelajarinya daripada Hammad bin Abi Sulaiman yang merupakan murid kepada Ibrahim al-Nakha‘i yang paling terkemuka.

Keunikan Majlis Ilmu Abu Hanifah

Abu Hanifah melazimi majlis ilmu Hammad lebih daripada 10 tahun. Selepas Hammad wafat, Abu Hanifah mengganti beliau mengajar di majlis tersebut.

Majlis ilmu yang dijalankan oleh Abu Hanifah sangat unik. Majlis tersebut bukan berbentuk ceramah tetapi diskusi ilmiah antara guru dengan murid-muridnya. Setiap orang berhak mengemukakan pendapat dan hujahnya. Kerap juga berlaku perdebatan sehingga ada yang meninggi suara. Namun di akhir majlis, selalu mereka akan tunduk kepada hujah Abu Hanifah.

Abdullah bin al-Mubarak Imam Abu Hanifah pernah berkata: “Aku tidak pernah berasa rendah diri sepertimana yang aku rasakan semasa berada dalam majlis Abu Hanifah.”

Pendekatan beliau ini terbukti berjaya melahirkan ulama-ulama fiqah yang kritis dan pandai berhujah. Selama beratus-ratus tahun pengikut mazhab Hanafi terkenal dengan aliran fiqah rasionalis (ahli ra’y).

ABU1

Petah Berhujah

Kejaguhan Imam Abu Hanifah dalam fiqah diiktiraf semua ulama. Bahkan beliau diakui sebagai orang pertama yang mengasaskan kaedah-kaedah istinbat iaitu pengeluaran hukum daripada al-Quran dan sunnah. Imam al-Syafi‘i berkata: “Semua orang yang berbicara tentang fiqah itu ‘berhutang’ dengan Abu Hanifah.”

Yahya bin Said al-Qattan, seorang tokoh ahli hadis di Basrah turut mengulas: “Kami tidak pernah mendengar pendapat yang lebih baik daripada pendapat Abu Hanifah. Kami banyak mengambil pendapat-pendapatnya.”

Bahkan Imam Malik bin Anas di Madinah mengakui kecerdasan dan kepetahan Abu Hanifah dalam berhujah. Imam Malik ditanya: “Engkau pernah berjumpa dengan Abu Hanifah?” Beliau menjawab: “Ya. Aku melihatnya seseorang yang seandainya dia mendakwa bahawa tiang kayu ini dibuat daripada emas, nescaya ia dapat membuktikannya dengan hujah-hujahnya.”

Menolak Jawatan Kadi

Kufah pada masa Abu Hanifah merupakan pusat operasi ramai pemberontak Syiah. Oleh sebab itu, kerajaan Bani Abbasiyyah di Baghdad menyimpan curiga kepada para ulama yang berasal dari negeri ini termasuklah beliau sendiri.

Khalifah al-Mansur berniat menguji kesetiaan Abu Hanifah dengan menawarkan kepadanya jawatan kadi negara. Namun, Abu Hanifah menolak jawatan tersebut karena tidak ingin bersubahat dengan kezaliman Bani Abbasiah.

Beliau berkata: “Aku tidak layak untuk jawatan itu.

Al-Mansur berkata: “Engkau berdusta. Sebenarnya engkau layak untuk jawatan ini.”

Abu Hanifah berkata: “Jika aku berdusta, mengapa engkau ingin memberikan jawatan itu kepada seorang pendusta?”

Hilang Berganti

Imam Abu Hanifah wafat pada tahun 150 H. Diriwayatkan bahawa punca kematiannya ialah kerana racun yang diletakkan di dalam minumannya. Jutaan manusia mengiringi jenazahnya ke kubur. Pada tahun yang sama, lahir Imam al-Syafi‘i di Gaza yang kelak mengembangkan ilmu fiqah yang telah dirintis oleh Abu Hanifah.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas