Menu

 

A+ A A-

BENARKAH RASULULLAH MENJAMAK SOLAT DI MADINAH?

ADAKAH terdapat hadis yang menceritakan Nabi s.a.w. menjamak solat tanpa keuzuran di Madinah yang mempunyai sanadnya sahih? Jika ia sahih, apa maksud sebenar kandungan hadis tersebut?

Hadis yang dimaksudkan diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin Abbas: “Rasulullah s.a.w. pernah menjamak solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak, di Madinah bukan kerana takut, ataupun dalam permusafiran (safar).” Dalam riwayat yang lain:  “Bukan kerana takut dan hujan.”

Hadis ini mengandungi permasalahan yang sangat halus sehingga sukar difahami bagi orang yang tidak memiliki asas ilmu hadis. Namun begitu, saya akan cuba meringkaskan perbincangan ini agar mudah difahami semua pembaca.

Sanad Hadis

Imam Muslim meletakkan hadis ini dalam bahagian Solat al-Musafirin wa Qasruha dalam kumpulan hadis yang diberi tajuk; bab jamak solat dalam negeri.

Beliau membuka bab ini dengan riwayat Malik bin Anas, daripada Abu al-Zubair, daripada Said bin Jubair, daripada Ibn ‘Abbas r.huma: “Rasulullah s.a.w. menjamakkan solat Zuhur  dan Asar, Maghrib dan Isyak, bukan kerana takut dan safar.” (Bab jamak solat untuk mukim, no.1628)

Hadis ini milik ahli Hijaz. Riwayat ini dirakam oleh seorang yang diperakui sebagai tokoh yang paling menguasai hadis-hadis Hijaz, iaitu Malik bin Anas. “Jika bukan kerana Malik dan Sufyan, pupuslah ilmu di Hijaz,” kata Imam al-Syafi‘i r.a.

Itu sebabnya Imam Muslim meriwayatkan hadis ini di awal bab. Sebab beliau menyusun hadis-hadis sesuai dengan kesahihannya. Yang paling sahih selalu diletakkan di permulaan.

Riwayat ini disokong oleh Zuhair bin Mu‘awiyah dari Kufah. Seperti Malik, beliau juga meriwayatkan daripada Abu al-Zubair dengan lafaz: “Rasulullah s.a.w. menjamakkan solat Zuhur dan Asar di Madinah bukan kerana takut dan safar.” (Riwayat Muslim) Riwayat ini membuktikan kesahihan riwayat Malik.

Imam Muslim lalu meriwayatkan daripada seorang ahli hadis di Iraq, iaitu Habib bin Abi  Thabit, daripada Said bin Jubair, daripada Ibn Abbas dengan lafaz yang berbeza. Beliau berkata:
“Rasulullah s.a.w. pernah menjamak Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak, di Madinah bukan kerana takut dan hujan.” (Riwayat Muslim)

Meskipun semua perawi dalam sanad ini dipercayai (thiqah), namun perbezaan lafaz ini bukan ringan bagi ahli hadis. Logik mereka segera mengajukan soalan: “Riwayat manakah yang benar, bukan kerana takut dan safar atau bukan kerana takut dan hujan?” Salah  satunya mestilah keliru.

Pakar hadis daripada kalangan mutakaddimin (antaranya Ibn Khuzaimah, Ibn Abd al-Bar dan al-Baihaqi) segera mentarjih riwayat Malik. Sebab beliau lebih hafal hadis-hadis ahli Hijaz daripada orang lain. Dan mereka menilai keliru riwayat Habib bin Abi Thabit.

Imam Muslim meriwayatkan hadis ini bukan untuk menyahihkannya, akan tetapi untuk menunjukkan kekeliruan yang terdapat di dalamnya. Sebagaimana yang beliau katakan sendiri di mukadimah kitab sahihnya, beliau sesekali akan menjelaskan “illat” yang terdapat
dalam sebahagian hadis yang beliau riwayatkan.

Beberapa tokoh hadis muta’akhkhirin mencuba mensahihkan hadis ini. Namun kajian ulama mutakaddimin jauh lebih tepat dan lebih teliti.

Kandungan Matan

Setelah kita mengetahui perkara di atas, maka kita mesti menjelaskan hukum fiqah berdasarkan hadis yang sahih. Dan dalam kes ini, hadis tersebut merupakan riwayat Malik dan Zuhair. Melihat kandungan matannya, kita boleh menyimpulkan dua perkara.

1. Menjamak solat diharuskan selagi ditemui sebab-sebab yang membolehkannya. Hanya mazhab Hanafi yang melarang menjamak solat selain jamak di Arafah sebagai bahagian daripada manasik haji.

2. Motif (sebab) menjamak solat yang Nabi s.a.w. lakukan tersebut bukan kerana melakukan perjalanan (safar),  bukan pula kerana takut musuh. Lalu apa motif tersebut?

Imam Malik berkata:
“Saya berpendapat bahawa sebabnya adalah hujan.” Imam Malik adalah perawi hadis ini. Dan perawi hadis lebih mengetahui kandungan hadis daripada orang lain. Oleh itu, Imam al-Syafi‘i setuju dengan pendapat ini. Begitu juga Imam Ahmad, namun beliau membatalkan hanya bagi solat Maghrib dan Isyak sahaja.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa motifnya adalah sakit yang memberatkan. Pendapat ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh riwayat Habib bin Abi Thabit di atas. Ibn Qudamah berkata: “Jika bukan kerana safar, takut dan hujan, maka jamak itu tentulah kerana sakit.” Bagi orang yang  melemahkan hadis Habib bin Abi Thabit, pendapat ini terbuka untuk dibahaskan lebih lanjut.

Bagaimanapun, pendapat ini pilihan ulama mazhab Hanbali. Dan mereka memiliki pelbagai alasan lain yang menyokong kesimpulan ini. Mazhab Hanbali memang paling luas dalam bab ini. Mereka bahkan membolehkan jamak kerana hajat-hajat tertentu yang memberatkan  pelakunya. Perincian perkara ini dapat dirujuk di kitab-kitab muktabar mazhab Hanbali.

Menjamak Solat tanpa Sebab

Segelintir ulama melangkah lebih jauh. Mereka berpendapat bahawa jamak solat diharuskan meskipun tanpa sebab, asalkan tidak dijadikan kebiasaan. Pendapat ini dinisbahkan kepada sebahagian ulama salaf seperti Ibn Sirin, Rabi‘ah, dan Ibn al- Munzir.

Saya melihat pendapat ini sangat lemah. Ia bercanggah dengan banyak nas-nas qat‘iy. Salah satunya ayat Allah s.w.t.: “Sesungguhnya solat adalah kewajiban yang telah ditentukan masa-masanya.” (Surah al-Nisa’ 4: 103)

Ayat ini merupakan hukum asal dalam masalah ini. Solat mesti dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Mazhab Hanafi berpegang kuat dengan ayat ini sehingga mereka melarang semua bentuk jamak solat kecuali di Arafah sebagai bahagian daripada manasik. Mereka terkenal menolak takhsis al-Quran kecuali dengan hadis mutawatir. Dan para ulama  yang membolehkan jamak mentakhsis ayat ini dengan hadis-hadis sahih meskipun tidak mencapai darjat mutawatir.

Adapun pendapat yang membolehkan jamak tanpa sebab, maka ia tidak memiliki dalil selain hadis Habib bin Abi Thabit. Dan, berdasarkan kajian di atas, hadis ini tidak cukup kuat untuk mentakhsis ayat yang qat‘iy thubut dan dilalah ini.

Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 01

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas