Menu

 

A+ A A-

KIAMAT SEMAKIN DEKAT, WAKTU SEMAKIN SINGKAT

Benarkah semakin dekatnya kiamat, waktu akan menjadi semakin singkat?

BENAR. Apabila masa seharian kita dirasakan semakin singkat berbanding sebelum ini, maka itu antara tanda-tanda akan datangnya hari kiamat. Rasulullah s.a.w. sendiri mendedahkan hakikat ini dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah masa semakin mendekati (masa semakin singkat), amalan baik berkurangan, kebakhilan bermaharajalela, fitnah dilakukan secara terang-terangan dan banyaknya pembunuhan.” (Riwayat al-Bukhari)

Malah, realiti ini diperincikan lagi melalui riwayat lain yang bermaksud: “Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah waktu akan menjadi semakin singkat. Maka jadilah masa setahun itu seumpama satu Jumaat (seminggu). Masa satu Jumaat (seminggu) itu seumpama satu hari. Masa sehari itu seumpama satu jam dan masa satu jam itu seumpama nyalanya bara api.” (Riwayat al-Tirmizi)

Mungkin di sana maksud lain berkenaan “waktu akan menjadi semakin singkat”?

Para ulama telah memberikan maksud yang berbeza-beza tentang perkara ini. Sekurang-kurangnya terdapat lima tafsiran terhadap maksud yang dikehendaki dalam hadis tersebut:

1. Sedikitnya keberkatan masa. Imam Ibn Hajar berkata: “Perkara ini telah kita dapati pada zaman kita ini. Kita dapati masa seharian berlalu dengan cepat sekali, sedangkan ia tidak didapati pada masa sebelum dari masa kita ini.”

2. Merujuk kepada masa ketika zaman al-Mahdi dan Nabi Isa a.s. Pada saat itu, manusia asyik menikmati keindahan hidup, dilimpahi dengan keamanan dan tertegaknya keadilan. Oleh itu, manusia merasakan betapa singkatnya masa-masa yang penuh kemakmuran itu, sekalipun ia merupakan masa yang panjang. Sebaliknya mereka merasakan betapa panjangnya detik-detik kesusahan dan penderitaan, sedangkan masa tersebut ia hanyalah seketika sahaja. (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

3. Merujuk kepada zaman yang mana manusia ketika itu sedikit ilmu agamanya. Sehinggakan pada saat itu tidak terdapat daripada kalangan mereka yang menyuruh perkara makruf dan mencegah perkara mungkar. Dek kerana kefasiqan telah mendominasi keadaan dan orang fasiq melakukan kefasiqan secara terang-terangan. Puncanya mereka meninggalkan usaha menuntut ilmu dan berasa selesa dengan kejahilan mereka terhadap agama.

4. Merujuk kepada zaman yang mana manusia pada masa tersebut dikurniakan dengan pelbagai sarana kemudahan perhubungan dan kenderaan darat dan udara yang cepat. Hasilnya ia mampu mendekatkan yang jauh dalam masa yang singkat. (Sayyid Sabiq, al-‘Aqaid al-Islamiyyah

5. Singkatnya masa dan cepatnya masa berlalu. Ia sesuatu hakikat yang akan berlaku secara realiti.

Adakah tanda “waktu menjadi singkat” itu boleh dirasai secara realiti atau ia sekadar maknawinya sahaja?

Berhubung soalan ini, Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan pendapat Imam Ibn Abi Jamrah. Masa yang singkat ini berkemungkinan secara (dapat dirasai oleh) pancaindera dan kemungkinan secara maknawi:

¤ Secara pancaindera, ia sama sekali tidak berlaku lagi. Kemungkinan besar akan berlaku apabila hampirnya hari kiamat nanti.

¤ Secara maknawi pula, maka perkara ini telah berlalu sejak sekian lama. Hal demikian dirasai oleh para ulama. Mereka menyedari betapa diri mereka tidak berdaya untuk sampai  ke tahap amalan atau hasil kerja yang pernah dicapai oleh golongan sebelum daripada mereka. Mereka mengeluh dengan keadaan ini dan mereka tidak mengetahui penyebab permasalahan ini.

Bagaimanakah cara untuk memanfaatkan masa yang singkat ini?

Satu hakikat yang tidak dinafikan dalam hidup kita bahawa setiap manusia mempunyai masa 24 jam sehari. Pada masa yang sama juga, kita berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab. Justeru, kita perlu memanfaatkan masa sebaiknya. Antara caranya adalah dengan menyelesaikan tugasan segera. Imam Hasan al-Banna berkata: “Tanggungjawab lebih banyak berbanding waktu (yang ada). Maka bantulah orang lain supaya waktu mereka dapat dimanfaatkan. Sekiranya kamu mempunyai tugasan penting, maka segerakanlah menyelesaikannya.”

Selain itu, kita perlu fokus terhadap sesuatu pekerjaan. Al-Ustaz Umar al-Tilmisani pernah berpesan kepada para pendokong Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin: “Waktu dakwah adalah untuk dakwah, bukan untuk selain daripadanya. Maka biarkanlah (fokuskan) masa itu untuk dakwah.”

Akhir sekali, ingatlah pesanan Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah sesiapa yang panjang umurnya dan baik amalannya. Seburuk-buruk manusia ialah sesiapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Wallahu a‘lam.

Mohd Solleh Abd. Razak

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

wasiat 280 x 393 TBBK1275  TBBK1259

TBBK1283

Kembali ke atas