Menu

 

A+ A A-

SURVIVAL SEKOLAH ISLAM DI KEMBOJA

Jumaat, 5 Disember 2008, 3.15 petang:

Kami berangkat dari LCCT dengan AirAsia AK852 ke Phnom Penh. Inilah kali ketiga saya mengetuai Misi Kemanusiaan ke Kemboja.

Kali ini kami berempat. Matlamat kami ialah menyambut hari raya Aidil Adha di Kemboja serta membawa korban sebanyak 18 ekor lembu yang dikirim teman-teman.

Kemboja ialah negara yang terkenal dengan kemiskinan umat Islamnya. Dari tahun 1975 hingga 1979 Kemboja diperintah secara kuku besi oleh regim komunis diketuai Pol Pot yang dikenali sebagai “Raja Kekejaman”. Dia telah membunuh hampir dua juta rakyat Kemboja termasuk umat Islam bangsa Melayu Champa dan alim ulama dalam usahanya mendirikan sebuah negaranya sendiri dan mahukan rakyat  China menjadi rakyatnya. Akhirnya Polpot mati dalam pembuangan di tengah hutan belantara di pondok usangnya tanpa sebarang kejayaan.

Penerbangan berjalan lancar kecuali sedikit-sedikit gegaran apabila pesawat memasuki kawasan berawan. Ketibaan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh disambut oleh Ustaz Zainal Abidin Ab. Majid (nama Kemboja beliau, Zay Nuttin), sebagai Mudir dan pengasas Maahad el-Muhajirin, Kompong Som. Kami dibawa menyelusuri kota Phnom Penh yang sibuk ketika pekerja keluar pejabat dan murid pulang dari sekolah. Kenderaan simpang siur. Jalan berdebu.

Ramai penunggang motosikal yang menggunakan penutup muka seperti ketika jerebu melanda Malaysia. Kami menginap di Hotel Mekong, kawasan Bangkak semalaman.Inilah antara hotel Islam yang menyajikan makanan halal. Malamnya selepas solat kami dibawa makan di sebuah restoran Islam di tengah kota Phnom Penh menikmati hidangan sup Kemboja yang sungguh menyelerakan.

Esoknya jam 10 pagi kami bersiap untuk ke Kampung Som. Ustaz Zainal Abidin memandu sendiri keretanya kerana kami berempat. Mula-mulakami ke bank untuk menukar wang Kemboja untuk diagih-agihkansempena hari raya lusa. Perjalanan empat jam ke Kampung Som melalui kawasan perkampungan dan bandar-bandar kecil.

Kami sempat berhenti dua kali. Sekali singgah sebentar minum air kelapa muda di pinggir jalan kerana hari panas terik. Kali kedua berhenti minum teh-O di tempat perhentian lori-lori kontena kerana Ustaz Zainal Abidin letih sangat. Kreatifnya orang Kemboja ini, siap disediakan buaian gantung tempat rehat di tepi jalan. Kelihatan juga mekanik menukar tayar lori masih menggunakan teknik lama membakar tiub dan mengetuk tayar yang besar menggunakan tukul besi gergasi!

SOLUSI 8 - 60Akhirnya kami membelok masuk ke jalan tanah merah melalui bendang dan kawasan perkampungan yang padat dan miskin. KeretaToyota putih Ustaz Zainal Abidin melalui sebuah pekan kecil. Ramai orang Islam berjaja di tepi jalan.

Akhirnya kami sampai ke kompleks Maahad el-Muhajirin yang dikelilingi kebun kelapa di Kompong Ochrov, Pray Nup dalam negeri Kompong Som. Memasuki tembok perkampungan kelihatan ramai pelajar lelaki berbaris menyambut ketibaan kami dengan begitu meriah sekali. Semuanya memakai serban dan jubah putih.

Sebaik keluar dari kereta mereka menerkam untuk bersalaman dan berpelukan. Oh, inilah remaja yang bakal mempertahankan kecintaan mereka kepada agama, tana  air dan bangsa. Pelajar perempuan memakai jubah dan furdah hitam menampakkan biji mata sahaja menyambut anggota perempuan kami seperti menyambut kedatangan tuan puteri.

Di tengah-tengah kompleks maahad ini terdapat sebuah masjid besar dikelilingi bangunan sekolah dan asrama dua tingkat beratapkan hijau. Ada kedai koperasi, bilik kelas, bilik kemahiran menjahit, rumah tetamu dan rumah kediaman tenaga pengajar. Di sebelah belakang bangunan ini terdapat pondok-pondok kayu yang daif tempat tinggal pelajar lelaki dan perempuan. Sebahagian besar kawasan pondok lelaki telah terbakar beberapa bulan yang lalu.

Pelajar masak sendiri. Maahad menyediakan beras untuk mereka Meninjau dalam kawasan pondok saya dapati ramai pelajar yang sedang memasak nasi dan menggoreng ikan. Ada juga yang cuma menggoreng satu kuali bawang putih untuk lauk malam itu. Itu pun menggoreng tanpa minyak!

Di tengah-tengah kompleks terdapat sebuah padang tempat pelajar bermain pada waktu petang. Di keliling kompleks ditanam dengan pokok gaharu yang akan mengeluarkan hasil beberapa tahun lagi. Di sebelah kawasan pondok terdapat beberapa buah kolam ikan besar yang diusahakan oleh pelajar.

Misi kami disediakan sebuah rumah tetamu yang selesa. Elektrik menggunakan generator dari jam 6 petang hingga 7 pagi sahaja. Air menggunakan pam elektrik dan pam manual.

Terdapat hampir 600 orang pelajar di Maahad el-Muhajirin yang berusia daripada 11 hingga 25 tahun. Mereka datang dari segenap pelusuk Kemboja, antaranya dari 370 buah perkampungan Islam yang terdapat dalam 17 buah negeri daripada kesemua 24 buah negeri di Kingdom of Cambodia. Mereka belajar menggunakan kitab Melayu jawi, kitab kuning dan kitab Arab. Dahulu belajar tidak dikenakan yuran tetapi mulai tahun lepas dikenakan yuran tahunan RM40 dan yuran bulanan RM2. Buku teks difotostat. Kelas mengikut lima tahap:

Tahap 1: Diajar fardu ain kitab bahasa Melayu tulisan jawi.

Tahap 2: Kitab Pelita Penuntut, Penawar Bagi Hati dan bahasa Arab.

Tahap 3: Matan Nahu, Matan Bina (Saraf) dan Fiqah (Sabilul Muhtadin).

Tahap 4: Kitab Qisasul Anbia, Matan Ilmiah Bina dan al-Lughah.

Tahap 5: Syarah bagi Nahu, Saraf, Feqah dan Muzakarah.

Di samping itu pelajar dkehendaki menghafal al-Quran mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Mata pelajaran Bahasa Inggeris juga diajarkan.

SOLUSI 8 - 61 SOLUSI 8 - 62

Untuk latihan kemahiran pelajar lelaki diberi latihan membina rumah, pertanian dan penternakan. Pelajar yang mahir mampu membina bangunan sekolah dan masjid di kampung-kampung berhampiran.

Pelajar yang mampu berdakwah diberi latihan keluar selama 3 hingga 40 hari. Pelajar yang berminat berniaga pula diberi latihan aktiviti koperasi pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Pelajar perempuan dilatih menjahit dan memasak. Pelajar perempuan belajar dalam 4 kelas yang berasingan diajar oleh guru lelaki menggunakan kitab bahasa Melayu tulisan jawi. Di samping beberapa orang guru yang terlatih, Ustaz Zainal Abidin sendiri mengajar setiap lepas Subuh, Zohor, Maghrib dan Isyak.

Kami dijamu makan tengahari dengan penuh mesra. Pelajar-pelajar melayan kami makan. Sebelah petangnya Ustaz Zainal Abidin membawa kami menziarahi masjid dan beberapa buah madrasah berhampiran.

Kami juga masuk ke kampung-kampung orang Islam yang daif dan miskin sambil menyampaikan bantuan pakaian dan kewangan dari rumah ke rumah.

Malamnya kami dijamu roti cicah sardin dan telur itik.

Hari kedua di Kompong Som kami dibawa menziarahi kampung-kampung berhampiran menaiki lori menyusuri jalan tanah merah yang berdebu. Sawah padi luas terbentang. Kami menziarahi beberapa buah masjid yang daif, madrasah yang terbiar kerana tiada perbelanjaan mengurus dan rumah orang Islam sambil menyampaikan sumbangan berupa kain, baju, naskhah al-Quran dan wang
SOLUSI 8 - 63

Malam kedua merupakan malam raya di Kemboja. Pelajar bertakbir beramai-ramai.

Kami teringat kepada ibu dan anak-anak yang ditinggalkan di Malaysia. Paginya solat sunat hari raya Aidil Adha. Khutbah disampaikan oleh Ustaz Zainal Abidin dalam bahasa Kemboja.

Orang-orang kampung yang berhampiran turut sama solat sunat. Selepas solat semua orang bersalaman dengan begitu mesra sekali. Jemaah wanita juga ramai. Kami membahagikan sumbangan duit raya kepada semua pelajar lelaki dan perempuan. Kueh raya Kemboja dihidangkan.

Ibadah Korban Bermula

Acara korban dimulakan. Sebenarnya semalam lagi beberapa ekor lembu sudah disembelih untuk dihadiahkan kepada jiran-jiran yang bukan beragama Islam untuk membezakan daripada daging korban. Begitu prihatin Ustaz Zainal Abidin kepada hak jiran-jirannya yang bukan Islam. Sebab itu tidak hairanlah apabila pondok Maahad el- Muhajirin terbakar beberapa bulan yang lepas, jiran-jiran yang bukan Islamlah yang paling gigih bertungkus-lumus memadamkan api dan menyelamatkan barangan.

Ustaz Zainal menyembelih lembu korban menggunakan pedang yang tajam. Wakil dari kampung-kampung yang daging korban hendak diagihkan dipanggil untuk melapah daging. Daging dibawa balik kekampung masing-masing menaiki kereta kuda.

Senario ini mengingatkan saya kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan berkorbanlah.”(Surah al-Kauthar: 2)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Aidil Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah.  Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Pada hemah saya ibadah korban ini lebih utama (afdal) dilaksanakan di tempat-tempat berikut:

- Penempatan penduduk miskin, seperti di Kemboja.

- Lokasi bencana alam seperti tsunami dan gempa bumi.

- Di rumah anak-anak yatim.

- Di pondok-pondok pengajian.

Di Kemboja misalnya, masyarakat Melayu Campa yang miskin melampau dengan tahap pendidikan yang rendah sejak 1,000 tahun yang lampau berjumlah 500,000 orang daripada 13 juta rakyat Kemboja.

Setakat ini majoriti korban di Kemboja datang dari rakyat Malaysia yang prihatin. Setiap cebis daging korban dibahagikan kepada beberapa buah masjid kariah. Pihak masjid pula akan membahagikan kepada madrasah dan surau dalam kawasannya. Setiap surau akan seterusnya membahagikan kepada ahli kariahnya.

Akhirnya setiap rumah hanya mendapat antara 300 hingga 500 gram daging sahaja walaupun isi rumah 8 atau 12 orang. Inilah daging yang menjadi santapan setiap keluarga setahun sekali. Bagaimana dengan kita? Apakah kita melahap daging setiap kali hidangan!

Siapa Ustaz Zainal Abidin?

Sesusuk watak Ustaz Zainal Abidin sungguh membuat saya teruja. Beliau ialah seorang pendakwah,mubaligh dan pengasas madrasah yang gigih.

Kesedaran beliau untuk berjuang bermula berputik ketika Khmer Rouge pimpinan Polpot sedang mengganas di Kemboja antara tahun 1975 hingga 1979. Beliau baru berusia 15 tahun ketika itu. Selama tiga tahun 8 bulan beliau turut lari ke dalam hutan.

Beliau pernah terserempak gajah dan harimau. Kakaknya bersalin dalam hutan tanpa bidan kerana bidan tidak sanggup datang. Beliau juga pernah tidur di perdu pokok Tualang yang menampung lebih 50 buah sarang lebah yang besar-besar di dahannya. Hari-hari umat Islam dibunuh. Makanan susah didapati. Kebuluran dan kematian disebabkan penyakit semakin menular.

Pada tahun 1979, di penghujung kegawatan pemerintan zalim Polpot beliau melarikan diri ke Terengganu. Beliau mengurangkan umurnya 5 tahun daripada tarikh lahirnya 17.8.1964 supaya dapat belajar di Sekolah Agama Arab Durian Guling, Terengganu hingga SRP. Seterusnya beliau masuk kelas Sanawi di Sekolah Sultan Zainal Abdin (Atas) selama dua tahun. Kemudian masuk Pondok Pasir Tumbuh setengah tahun dalam bidang alim.

Tahun 1986 beliau menyambung pelajaran ke Pattani hingga 1991 dalam bidang Pengajian Am. Kemudian beliau balik ke Jertih selama duatahun di Pondok Paku. Seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir selama enam tahun dalam bidang Bahasa Arab. Beliau berkahwin di Mesir.

Balik dari Mesir beliau berdakwah setahun di Kelantan sebelum pulang ke Kemboja dan mengajar di sekolah agama selama dua tahun sebagai guru biasa tanpa gaji. Kemudian beliau membuka Maahad al- Hidayah al-Islamiah kepunyaan Haji Sulaiman. Pelajar paling ramai 300 orang ketika itu. Beliau turut mengasah ilmu dalam bahasa Inggeris dan komputer.

Sejarah Maahad el-Muhajirin

Tapak Maahad el-Muhajirin dibuka oleh Ustaz Mohd. Isa dari Johor yang belajar di Syria. Beliau membeli tanah pada tahun 1999 dengan keluasan 150m x 65m sebagai tapak permulaan. Isteri Ustaz Mohd. Isa tidak mampu berada di perantauan. Ustaz Zainal Abidin mengambil alih dengan bermodalkan USD2,000. Ketika itu cuma ada sebuah surau yang usang. Kelas dimulakan dengan dua orang guru mengajar di bawah surau dan di pangkal pokok kayu.

Orang kampung hendak mengutip zakat, tapi Ustaz Zainal Abidin tidak mahu menyusahkan mereka. Modal USD2,000 itu cuma mampu bertahan lima bulan. Yuran RM10 sebulan per pelajar. Akhirnya pelajar bertambah menjadi 100 orang. Ini ialah generasi kedua. Sekarang mereka telah menjadi guru.

SOLUSI 8 - 64 SOLUSI 8 - 65

Abang Ustaz Zainal Abidin yang berniaga kain di Terengganu memberi sokongan kewangan yang kuat. Kakaknya juga begitu. Mereka menghulurkan USD30,000 dan bangunan sekolah siap dibina dalam masa tiga bulan.

Orang kampung banyak memberi sokongan moral dan melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong. Ketua Kampung sebagai Penasihat. Setelah bangunan sekolah siap, dibina pula masjid dengan sumbangan seorang hamba Allah bernama Mat Macang sebanyak USD31,000.

Pembinaan dibuat dalam tiga peringkat, dan siap pada tahun 2002.

Selepas masjid, dibina pula bangunan asrama perempuan 2 tingkat berharga USD15,000. Ustaz Zainal Abidin terpaksa mengeluarkan semua simpanannya di Malaysia untuk menyiapkan asrama. Simpanan padi pun turut habis dijual. Ada sumbangan daripada umat Islam di Perancis.

Maahad menerima sumbangan 10 buah mesin jahit. Pelajar perempuan men jalankan projek jahitan 3 sesi setiap hari. Melihat kemajuan yang dicapai, Kedutaan Amerika menambah 50 unit mesin jahit lagi. Kelas jahitan diadakan setiap hari jam 1.30 hingga 3.00 petang. “Orang perempuan kena ada kemahiran untuk menjamin masa depan mereka,” kata Ustaz Zainal Abidin. Bagaimana pun mesin jahit selalu rosak. Wakil Kedutaan Amerika mewajibkan tukang baiki mengajar pelajar membaiki mesin jahit sendiri.

Pondok-pondok kecil dibina pada tahun 2003 selepas masjid siap. Semuanya ada 35 buah. Satu pondok untuk 4 hingga 6 orang. Kemuncak pelajar teramai ialah pada tahun 2008, sebelum kawasan pondok terbakar.

Apabila saya bertanya apakah hasrat ustaz yang belum tercapai, Ustaz Zainal Abidin merenung jauh dan berkata:

“Saya bercita-cita untuk menubuhkan sebuah klinik perbidanan supaya isteri-isteri dan anak-anak kita tidak dirawat oleh orang kafir atau orang lelaki dan bayi yang lahir disambut oleh tangan-tangan orang Islam.”

“Di samping itu saya berhasrat untuk membuka cawangan sekolah baru kerana tanah di sini terlalu sempit. Kalau boleh biar sebuah sekolah setiap negeri,” sambung Ustaz Zainal Abidin.

“Ada wakil rakyat Muslim yang hendak memberi kemudahan 50 hektar tanah untuk pertanian, ladang dan sawah. Sepuluh hektar lagi untuk tapak kampus baru. Syaratnya mesti ada modal untuk membangun tanah tersebut. Modal asas ialah USD100,000 tetapi modal sebenar mungkin lebih kecil. Sekarang bukan saya nak minta modal tapi nak bawa semua orang datang tengok,” kata Ustaz Zainal Abidin.

Dalam bidang kemahiran pertanian 60 orang pelajar lelaki ditugaskan untuk mengusahakan tanah seluas 4 hektar. Mereka diajar menanam pokok kayu gaharu, padi dan jagung. Untuk kemahiran membela lembu sahaja 20 orang dilatih.

“Apabila saya berjumpa dengan pegawai MARA di Kuala Lumpur mereka angkat tangan kerana MARA sendiri telah menutup institute kemahirannya di Phnom Penh. Saya tetap tidak putus asa. Saya sering belajar dari ekonomi orang Jepun,” sambung Ustaz Zainal Abidin.

Untuk pendedahan, pengalaman dan mencari pemimpin masa depan, pelajar dihantar ke pelbagai institusi tahfiz di Malaysia. Antaranya lima orang generasi pertama ke Sri Petaling, empat orang ke Sabak Bernam, lima orang ke Pasir Tumbuh, Kelantan, seorang ke Hulu Langat, seorang ke Penanti dan dua orang ke Indonesia. 32 orang lagi akan dihantar dalam masa terdekat. Pembiayaan untuk sponsor perbelanjaan pelajar diproses di Malaysia dan diuruskan oleh maahad.

Kemasukan pelajar daripada kalangan anak Islam Kemboja yang miskin dan serba kekurangan dialu-alukan. Yang penting kesungguhan mereka untuk belajar. Maahad akan beri beras dan kebajikan mereka dijaga sepenuhnya. Maahad sentiasa mencari sumbangan dari luar untuk membiayai mereka.

Apabila yuran tahunan RM40 mula dikenakan pada tahun ini bagi keluarga yang mampu, 100% membayar. Malah ada penjaga yang membayar hingga RM200 sebulan. Ada penjaga yang menjual tanah bendang dengan harga USD7,000 dan menyumbang kepada sekolah USD3,000!

Harapan

Sekolah merupakan tapak asas untuk membentuk generasi masa akan datang. Ke atas bahu mereka diletakkan kesinambungan roh dan nyawa umat Islam. Harapan untuk sekolah pendidikan Islam terus bernafas, malah mempunyai potensi untuk berkembang di Kemboja bergantung kepada beberapa faktor utama:

-Mudir atau pemimpin yang berwawasan jauh.

-Kurikulum yang mantap.

-Guru-guru yang sanggup untuk membakar diri menjadi lilin.

-Pelajar yang berasa terjamin masa depan mereka.

-Ibu bapa yang sanggup berkorban harta dan jiwa raga.

-Sokongan umat Islam dari dalam dan luar Kemboja.

 

 

 

Hj. Muhammad Zakaria

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Haji Muhammad Zakaria

Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Artikel berkaitan: « DISERANG SALJI
Kembali ke atas