Menu

 

A+ A A-

TEORI BIG BANG DALAM AL-QURAN

Permulaan Kejadian Alam Semesta

SAINTIS Barat menggagas satu teori yang dinamakan Teori Big Bang dalam kajian mereka tentang asal kejadian alam semesta ini. Saya dimaklumkan bahawa teori mereka itu disebutkan di dalam al-Quran. Benarkah? Bolehkan ustaz ceritakan dengan lebih lanjut?

Sepintas lalu tentang Teori Big Bang. Ia satu model kosmologi yang menerangkan tentang permulaan alam semesta (universe). Menurut teori ini, alam semesta dahulunya adalah dalam keadaan yang sangat panas dan tumpat. Akibat daripada ketumpatan dan kepanasan yang sangat tinggi, berlakunya cosmic explotion, satu letupan yang kuat dengan nama terkenalnya Big Bang.

Ia dianggarkan berlaku sekitar 13.75 bilion tahun dahulu. Bermula dengan satu ledakan dahsyat tunggal itu, alam semesta mula berkembang sehingga menjadi cakerawala yang wujud sekarang. Pendek cerita, seluruh astronomi menerima teori ini kerana ia dilihat memberikan penerangan yang paling tepat dan lengkap berkaitan kejadian alam.

Sebenarnya, Allah telah berfirman tentang fenomena ini dalam al-Quran iaitu dalam surah al-Anbiya’, ayat 30 yang bermaksud: “Dan apakah orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara kedua-duanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman?”

Kalimah Arab teori-big-bang-1a diterjemahkan sebagai satu benda yang padu dan terhimpun. Ini menggambarkan bahawa alam semesta ini berasal daripada suatu titik yang tunggal. Kalimah teori-big-bang-1b pula membawa maksud terbuka dan terungkai. Ia menggambarkan ledakan dahsyat yang menyebabkan alam semesta terpisah sesama mereka.

Imam Said bin Jubair, seorang ulama tabiin mentafsirkan ayat al-Quran di atas seperti berikut: “Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan, zahirlah bumi. Maka berlakulah pemisahan antara mereka dan itulah yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini.”

Berdasarkan kenyataan di atas, Allah telah menceritakan tentang kejadian Big Bang ini dalam al-Quran sejak dahulu lagi. Namun, kita hanya menjumpainya kini kerana adanya peralatan-peralatan yang canggih.

teori-big-bang-3

Planet Dahulunya Asap

Teori Big Bang juga mendakwa bahawa planet, galaksi dan bintang terbentuk daripada asap? Adakah hal ini juga disebut dalam al-Quran?

Menurut sains kosmologi moden pada suatu ketika dahulu, seluruh alam semesta ini tiada apa-apa melainkan kepulan-kepulan asap yang legap, sangat tebal dan mengandungi gas-gas yang panas. Pada tahun 2011, ahli astronomi telah menjumpai “awan asli” (pristine clouds) daripada “gas asli” (primordial gas) yang terjadi selepas beberapa minit Big Bang berlaku. Ini memberikan bukti yang kukuh tentang kewujudan kepulan asap yang dinyatakan oleh sains kosmologi moden.

Sebenarnya hal ini juga dirakamkan dalam al-Quran dalam surah al-Fussilat, ayat 1 yang bermaksud: “Kemudian Dia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap. Lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: ‘Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!’ Kedua-duanya menjawab: ‘Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela.’”

Dalam ayat ini, Allah menerangkan tentang kejadian langit dan bumi ini daripada asap. Di sini, dapat kita lihat bahawa semua fakta saintifik yang dikemukakan oleh sains kosmologi moden selari dengan al-Quran dan tidak bercanggah walaupun sedikit. Ini membuktikan bahawa al-Quran itu benar.

Alam Semesta Sentiasa Berkembang

Teori itu juga turut mendakwa bahawa alam semesta ini masih sedang berkembang. Betulkah dakwaan tersebut?

Pada tahun 1922, Alexandra Friedman telah mendakwa bahawa alam semesta sedang mengembang. Friedman menggunakan Teori Relatif Einstein untuk membuktikan bahawa alam semesta sedang mengembang dan meluas. Pada tahun 1929, Edwin Hubble pula telah menemukan sesuatu melalui teleskopnya. Hubble menyatakan bahawa cahaya-cahaya bintang bergeser ke arah hujung spektrum merah. Hal ini menunjukkan bahawa bintang-bintang itu sedang bergerak dan semakin menjauh. Bukan sahaja bergerak menjauhi daripada bumi tetapi bergerak menjauhi sesama mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa alam semesta sedang berkembang secara konsisten.

Pada tahun 1964 pula, Robert Wilson and Arno Penzias telah menemukan gelombang-gelombang yang dinamakan “Cosmic Background Radiation”. Gelombang- gelombang ini bukannya terpancarkan daripada sumber yang tertentu, tetapi ia memenuhi seluruh ruang angkasa.

Gelombang ini sebenarnya sisa daripada letupan awal Big Bang yang masih ada. Cosmic Background Explorer Satellite (COBE) yang dilancarkan oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) juga telah membuktikan kebenaran kenyataan kedua-dua ahli astronomi itu.

Dan yang paling menarik, Allah telah mengisyaratkan hal tersebut dalam firman-Nya dalam Surah al-Dhariyat, ayat 47 yang bermaksud: “Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.”

teori-big-bang-2

Kesimpulannya, penemuan-penemuan saintifik ini telah membuktikan kebenaran al-Quran. Hal ini menunjukkan bahawa Islam itu agama yang benar dan Allah ialah Pencipta langit dan bumi. Sepertimana firman-Nya dalam surah al-An‘am, ayat 101 yang bermaksud: “(Dialah) yang menciptakan langit dan bumi…”

Wallahu a‘lam.

Fauzi Abdul Hamid
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid

Lulusan B.A dalam Usuluddin dan M.A dalam Ulum Hadis di Universiti Faisalabad, Pakistan. Kini bertugas sebagai editor syariah di jabatan penerbitan Telaga Biru Sdn.Bhd. Aktif dalam berdakwah di masjid dan surau. Antara guru beliau Syeikh Tariq Jamil iaitu ulama besar Pakistan dan Syeikh Ubaidillah (mufti). 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas