Menu

 

A+ A A-

PERTUTURAN ADALAH LUKISAN HATIMU

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak akan lurus iman seorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya.” (Riwayat Ahmad)

Ini menjelaskan bahawa pertuturan adalah gambaran pemikiran seseorang. Malah, pertuturan yang baik merupakan syarat untuk mendapat syurga Allah s.w.t. Tetapi realitinya, masih ramai yang tidak memberi penekanan dalam aspek pertuturan.

Akan Dihisab

1Pernah, ketika berjalan di sebuah pasar raya, saya sempat singgah di salah sebuah medan selera. Kelihatan golongan muda sedang rancak berbual-bual. Seketika kedengaran mereka mengilai dan menyebut perkataan:“Gila kau! Tolol kau!” dan ketawa lagi. Mereka berbual dan seketika pecah ketawa hilai antara mereka dan menyebut: “Hoi beruk! Engkau bengap!” dan banyak lagi perkataan sumpah seranah yang dihamburkan.

Semuanya berlaku dalam keadaan mereka ketawa terbahak-bahak, seolah-olah mereka bahagia mengucapkan perkataan tersebut. Mungkin remaja tadi merasakan hubungan mereka sangat begitu mesra sehingga merasakan perkataan kesat itu gula-gula yang menambahkan manisnya perbualan mereka. Hakikatnya, mereka tidak sedar ucapan yang dituturkan itu akan dihisab oleh Allah. Mereka berfikir, seandainya rakan mereka yang disumpah seranah itu tidak ambil hati dengan perkataan itu, maka Allah juga tidak akan peduli.

Tetapi bukankah Allah ada mengingatkan kita menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan melainkan di sisinya ada malaikat Raqib dan Atid (yang sentiasa mencatat dan mengawasinya)” (Surah Qaaf 46: 18)

Keimanan Terkikis?

Mengapa hal ini boleh berlaku? Barangkali ada sesuatu yang perlu kita lihat dengan lebih jauh. Sebenarnya ia berkaitan isu keimanan yang semakin rapuh dan semestinya keimanan itu sangat berhubung rapat dengan solat. Ya, berapa ramaikah yang solatnya mampu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar?

Saya berasa aneh apabila mendengar seorang ustaz memanggil muridnya dengan nama binatang seperti beruk, anjing dan keldai! Saya juga terperanjat apabila terserempak dengan seorang ibu yang memarahi anaknya di depan pasar raya dengan perkataan “bodoh dan celaka!” Sering kali kita menemui orang yang celopar lidahnya sedangkan dia seorang pendidik dan penjaga. Malah ada juga yang menghina mahupun berbohong padahal dia masih berada di depan pintu masjid. Aneh sekali!

Betapa Rasulullah s.a.w. sangat menekankan ucapan yang baik seperti sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dalam hadis yang lain, maksudnya: “Sesiapa yang dapat menjamin untukku apa-apa yang ada di antara dua dagunya (lisan) dan apa-apa yang ada di antara kedua-dua kakinya, (kemaluan) maka aku menjamin untuknya syurga.”

(Riwayat al-Bukhari)

2Hati Nilaian Allah

Terbukti bahawa pertuturan adalah cerminan diri. Seseorang yang menjaga kesucian hatinya, tidak akan membiarkan lidahnya daripada mengucapkan kata-kata yang kotor dan lucah. Mereka juga tidak akan berdusta, mengadu domba dan sentiasa berhati-hati agar hati sentiasa terjaga kerana hatilah tempat yang dinilai Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang buruk akhlaknya serta kotor lidahnya.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Begitu juga, Rasulullah s.a.w.mengingatkan menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada menuturkan kata-kata yang keji,  kerana Allah tidak suka kata-kata yang keji dan perbuatan menyebarkan kekejian” (Riwayatal-Hakim dan Ibn Hibban)

Kejujuran itu sebahagian daripada keindahan pertuturan. Untuk mencapai martabat jujur, lidah perlu tahu apakah kesopanan dan kesantunan. Adalah suatu yang pelik jika seseorang mampu berkata jujur, sedangkan tabiat lidahnya mengeji, menghina dan berkata lucah. Sungguh benarlah mafhum sabda Nabi s.a.w. bahawa tidak beriman seseorang itu selagi dia belum berupaya menuturkan kata-kata yang baik sahaja.

 

A. Ubaidillah Alias

Sumber artikel daripada QEN-Q 10


 

A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas