Menu

 

A+ A A-

KEKELIRUAN TENTANG WUDUK DAN HAID

Seluar Dalam Terkena Darah Haid

SAYA diberitahu oleh rakan sepejabat saya bahawa seluar dalam yang terkena darah haid tidak boleh dipakai lagi buat selama-lamanya ketika solat walaupun ia telah dibasuh bersih. Betulkah begitu ustaz?

RINGKASNYA: Tidak benar sama sekali. Penentuan hukum berhubung isu ini memerlukan kepada penjelasan yang betul dan terperinci.

HURAIAN: Secara asasnya, darah haid merupakan najis. Jika ia terkena pada pakaian, maka kita tidak boleh memakainya untuk solat. Justeru, seluar dalam wanita yang terkena darah haid tidak boleh digunakan untuk solat sekiranya ia belum dibasuh dengan betul. Sebaliknya, sekiranya ia telah dibasuh dengan betul, maka seluar dalam berkenaan sudah boleh dibuat solat walaupun ada kalanya warna darah tersebut masih kekal di situ kerana kesukarannya untuk hilang.

HUJAH: Seorang perempuan telah datang bertemu dengan Baginda lalu bertanya: “Ya Rasulullah, baju salah seorang daripada kami telah terkena darah haid. Bagaimanakah caranya untuk dia membersihkan baju berkenaan?” Jawab Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Pertama sekali, kikislah kesan darah kering yang terdapat pada bajunya itu. Kemudian basuhlah (pakaian itu) dengan air (di samping dia menggosokkannya dengan jari jemarinya). Setelah itu gunakanlah ia untuk solat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini sangat jelas menunjukkan bahawa pakaian wanita yang terkena darah haid setelah dibasuh dengan betul boleh digunakan kembali untuk solat tanpa was-was.

Bersentuhan Membatalkan Wuduk

Mohon jasa baik ustaz untuk memperjelaskan hukum bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan berbeza mahram. Adakah ia membatalkan wuduk atau tidak? Pelbagai pendapat yang saya dengar.

RINGKASNYA: Memang benar terdapat beberapa pandangan daripada ulama. Kesemuanya kita rai dan hormati.

HURAIAN:

1. Mazhab Hanbali dan sebahagian Hanafi:

Bersentuhan antara lelaki dan wanita tidak membatalkan wuduk selagi ia tidak menyebabkan nafsu seseorang itu terangsang sama ada daripada pihak lelaki ataupun perempuan. Jika nafsu syahwat telah terangsang akibat daripada sentuhan tersebut, maka wuduk mereka terbatal. Mazhab Hanbali turut menambah, biarpun ia berlaku antara mahram.

2. Mazhab Maliki:

Wuduk hanya terbatal akibat bersentuhan yang memenuhi syarat-syarat berikut:

[a] Lelaki atau perempuan itu baligh. Ini bermaksud menyentuh anak kecil yang belum baligh tidak akan membatalkan wuduk.

[b] Bersentuhan itu secara sengaja atau menyebabkan nafsu terangsang.

[c] Mestilah bersentuhan kulit dengan kulit tanpa sebarang alas.

3. Mazhab Syafi‘i:

Asalkan sahaja berlaku sentuhan, maka wuduk terbatal. Hukum ini umum untuk semua keadaan sama ada antara orang tua atau muda, hidup atau mati, sengaja atau kebetulan, membangkitkan nafsu atau tidak.

RUMUSAN: Kesemua penjelasan di atas membuktikan bahawa terdapat pelbagai pandangan dalam isu ini. Walau bagaimanapun, kita perlu mengambil pendapat mazhab Syafi‘i memandangkan ia mazhab rasmi di Malaysia. Namun bukan satu dosa jika tidak berpegang padanya.

kekeliruan-tentang-wuduk-haid-1

Bersentuhan dengan Non-Muslim Sama Jantina

Saya seorang pegawai di sebuah syarikat swasta. Kebanyakan klien saya terdiri daripada orang bukan Islam. Persoalannya, adakah wuduk saya akan terbatal jika bersalaman dengan mereka walaupun sama jantina?

MUKADDIMAH: Islam tidak pernah melarang umatnya bersahabat atau bersalaman dengan orang bukan Islam. Bahkan Nabi s.a.w. sangat menghormati mereka sebagai manusia yang bermasyarakat walaupun agama mereka tidak diiktiraf oleh Islam.

RINGKASNYA: Tidak batal.

HURAIAN: Para ulama telah menegaskan bahawa wuduk seseorang itu tidak akan terbatal sekiranya mereka bersalaman dengan golongan bukan Islam yang sama jantina. Jadi seorang lelaki Muslim dibenarkan untuk bersalaman dengan lelaki kafir dan begitulah juga perempuan Muslim boleh bersalaman dengan perempuan kafir.

 

Wallahu a‘lam.

Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, UKM. Kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam isu fiqah makanan dan kepenggunaan semasa bagi produk halal. Pernah menetap di Syiria antara tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh itu, beliau sempat berguru dengan ramai ulama Syiria antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty dan Dr. Mustafa al-Bugha. Kini
pensyarah UKM.

Kembali ke atas