Menu

 

A+ A A-

AWAS MAKLUMAT PALSU

DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah bahawa Baginda bersabda: “Akan berlaku pada akhir umatku nanti sekumpulan manusia yang membawa berita-berita kepada kamu yang tidak pernah kamu dengar, begitu juga dengan bapa-bapa kamu tidak pernah mendengarnya (hadis-hadis palsu, perundangan yang bidaah dan akidah yang menyeleweng). Maka hendaklah kamu berhati-hati dan jauhilah mereka.” (Riwayat Muslim)

 

 

Amaran Nabi

SOALAN: Hadis yang ustaz sebutkan ini seolah-olah menggambarkan ada sesuatu yang ingin Nabi ingatkan kepada umatnya. Mengapa begitu sekali amaran daripada Nabi dalam hal menerima sesuatu berita baru?

JAWAPAN: Berita bukan sekadar kata-kata yang disampaikan. Ia berpotensi menyebabkan berlakunya perselisihan dan perbalahan yang serius. Terutamanya berita yang sumbernya yang tidak jelas. Boleh jadi ia datang daripada syaitan.

Situasi yang digambarkan ini telah dikhabarkan oleh sahabat Rasulullah iaitu Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As. Beliau berkata: “Sesungguhnya di dalam laut terdapat syaitan-syaitan yang dipenjarakan. Ia telah diikat oleh Nabi Sulaiman namun ia hampir keluar daripada penjara itu, lalu membacakan al-Quran kepada manusia.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata: “Mereka membacakan sesuatu yang bukan al-Quran. Tetapi mereka menyatakan bahawa itu ialah al-Quran untuk menipu orang awam daripada kalangan manusia. Maka hendaklah mereka supaya tidak tertipu.” Oleh yang demikian, Islam mengarahkan setiap Muslim agar menyelidiki setiap berita yang disampaikan kepadanya. Islam sama sekali melarang kita mempercayai setiap berita yang diterima bulat-bulat. Sekiranya kita mempercayainya tanpa melakukan soal siasat, kita sekurang-kurangnya dikira sebagai pendusta.

Rasulullah bersabda: “Cukuplah seseorang itu dikira berdusta apabila ia menceritakan setiap perkara yang ia dengari.” (Riwayat Muslim)

Daya Tarikan

SOALAN: Ada juga ahli motivasi yang menyatakan bahawa untuk menarik para pendengar terhadap kata-kata kita, maka kita perlu menyatakan ia adalah daripada hadis Rasulullah. Adakah ini dibolehkan?

JAWAPAN: Kenyataan ini sangat berbahaya. Menisbahkan sesuatu kepada Nabi sedangkan ia bukan hadis Nabi merupakan satu pendustaan terhadap Baginda. Baginda telah memberi amaran kepada kita: “Sesungguhnya pendustaan terhadapku bukanlah sebagaimana pendustaan terhadap orang lain. Sesiapa yang berdusta terhadapku secara sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sekalipun kita ingin memotivasikan seseorang untuk melakukan kebaikan, hadis-hadis yang sahih sudah mencukupi untuk menjadi pemangkin kepada kebaikan. Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan hadis palsu dan motivasi dusta.

Sebar Keaiban

SOALAN: Kini keaiban dan kejahatan seseorang amat mudah dan pantas tersebar di media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Kadang-kadang jika saya merasa cerita-cerita itu seolah-olah benar, saya akan share dan retweet kepada kawan-kawan lain. Salahkah perbuatan saya ini, ustaz?

JAWAPAN: Rasulullah berpesan kepada kita: “Sesiapa yang menyembunyikan
keburukan seseorang Muslim, Allah pasti menyembunyikan keburukannya di dunia dan di akhirat.” (Riwayat Muslim)

Dr. Mustafa al-Bugha menyatakan: “Apabila seseorang Muslim melihat keburukan Muslim yang lain, maka keperluan menyembunyikan atau menghebahkan keburukan itu berbeza berdasarkan kelakuan manusia.”

Dalam hal ini, manusia dibahagikan kepada dua golongan:

1. Seseorang yang tidak dikenali sebagai ahli maksiat.

Apabila ia melakukan sesuatu kesalahan atau keaiban, maka kita diwajibkan untuk menutup kesalahan itu. Kita tidak boleh menyebarkan keburukannya. Sekiranya kita menyebarkannya, kita dikira telah melakukan dosa iaitu mengumpat dan menyebarkan perkara yang buruk.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin perbuatan keji (berita bohong) tersebar dalam kalangan orang-orang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nur: 19)

Namun ini tidak bermakna kita tidak perlu menasihati dan mendorongnya untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Kita bertanggungjawab menggalakkannya agar istiqamah dalam melakukan kebaikan dan menjauhi kemaksiatan. Kesemua ini adalah hak seorang Muslim atas Muslim yang lain.

2. Seseorang yang terkenal dengan maksiat dan menceritakannya kepada orang lain.

Ia dikira orang jahat yang bermegah-megah dengan maksiatnya. Orang lain yang menceritakan kejahatan itu tidak dikira sebagai mengumpat, bahkan digalakkan menyebarkannya kepada orang lain. Malah dalam keadaan tertentu ia wajib menceritakannya supaya orang lain berwaspada dengan kejahatannya.

Jika kejahatan itu sesuatu yang berat dan tidak mampu dicegah oleh orang ramai, maka ia wajib dilaporkan kepada pihak berkuasa sehingga pelakunya dihukum atas kesalahannya. Ini kerana sekiranya kita menutup kesalahannya, dia akan melakukan kejahatan secara berleluasa dan mengganggu ketenteraman masyarakat.

Sebagai rumusan, janganlah kita terlalu suka dan ghairah menyebarkan keaiban orang. Mungkin pendosa itu telah bertaubat dan Allah telah menerima taubatnya, sedangkan kita penyebar dosa tersebut terus melakukan dosa tanpa menyedarinya. Tidak mustahil dosa kita lebih besar daripada dosa pendosa yang kita sebarkan. Mahukah kita “dosa percuma” ?

Wallahu a‘lam.

awas-maklumat-palsu-1

Ustaz Mohd Solleh Abd. Razak
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

wasiat 280 x 393 TBBK1275  TBBK1259

TBBK1283

Kembali ke atas