Menu

 

A+ A A-

APABILA ILMU DIANGKAT, KIAMAT SEMAKIN DEKAT

Berdasarkan apa yang saya tahu, antara tanda-tanda kiamat ialah ilmu akan dicabut dan diangkat. Boleh ustaz jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ilmu dicabut atau diangkat?

RINGKASNYA: Yang dimaksudkan dengan “ilmu dicabut” ialah dengan mematikan ulama.

HURAIAN: Terdapat beberapa pandangan ulama dalam persoalan ini. Terlebih dahulu dinyatakan bahawa tidak dinafikan bahawa Rasulullah s.a.w. ada menyatakan bahawa antara tanda-tanda kiamat ialah ilmu diangkat. Anas bin Malik meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Antara tanda-tanda kiamat ialah diangkatnya ilmu dan berleluasanya kejahilan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: “Hadis tersebut ingin menegaskan bahawa keadaan sebaliknya (iaitu semaraknya keilmuan dan ulama) tidak akan kekal lama kecuali ia menjadi begitu asing sekali. Perkara inilah yang diisyaratkan dengan ungkapan ‘ilmu dicabut’.

Maka pada masa itu tidak wujud lagi melainkan kejahilan yang sebenar-benarnya. Walau bagaimanapun ia tidak menghalang akan tetap wujudnya sekumpulan ulama, namun kedudukan mereka pada waktu itu sudah tidak dikenali lagi.” Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. menjelaskan maksud itu dengan kematian para ulama. Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As meriwayatkan: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mencabut ilmu itu secara sekali gus dengan mencabutnya daripada para hambanya. Tetapi Allah s.w.t. mencabut ilmu dengan mematikan ulama, sehingga tidak tinggal lagi ulama.

Maka manusia menjadikan golongan yang jahil sebagai pemimpin. Manusia bertanya kepadanya, maka pemimpin tersebut memberi pendapat atau fatwa tanpa berlandaskan ilmu. Natijahnya, mereka semua sesat dan menyesatkan orang lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Imam al-Nawawi dalam kitab Sharah Muslim mengulas: “Hadis ini menerangkan makna ‘mencabut ilmu’ dalam hadis yang disebutkan lalu, bukanlah dengan cara memadamkannya daripada dada-dada penghafaznya, tetapi maknanya adalah dengan cara Allah s.w.t. mematikan para ulama. Manusia menjadikan orang jahil yang akan membuat keputusan dengan kejahilan mereka.

Akibatnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

Apakah ilmu yang akan dicabut pada akhir zaman nanti? Adakah semua jenis ilmu akan hilang atau hanya ilmu-ilmu tertentu sahaja?

RINGKASNYA: Ilmu agama, yang bersumberkan al-Quran dan sunnah sahaja.

HURAIAN: Ilmu yang akan dicabut pada akhir zaman sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ilmu al-Quran dan sunnah. Iaitu ilmu yang diwarisi daripada para nabi a.s. Setelah para nabi a.s. wafat, tugas ini dipikul oleh para ulama’ selaku pewaris para nabi. Namun bersama kematian para ulama, ilmu bersama mereka juga turut pergi (lenyap). Waktu itu matilah segala sunnah dan suburlah perkara bidaah. Ini semua berlaku akibat kejahilan yang berleluasa. Adapun ilmu dunia, ia sentiasa bertambah dari semasa ke semasa dan ia bukanlah ilmu yang dimaksudkan dalam hadis tersebut.

Hal ini dapat dirumuskan daripada sabda Baginda yang bermaksud: “Pemimpin tersebut memberi pendapat tanpa berlandaskan ilmu, maka mereka semua sesat dan menyesatkan orang lain.” Sesungguhnya kesesatan hanyaberlaku dalam soal agama sahaja.

TAMBAHAN: Ulama yang sebenar ialah mereka yang mengamalkan ilmu mereka, bersemuka dengan (permasalahan) umat dan membimbing umat atas jalan kebenaran dan petunjuk (Islam). Sesungguhnya ilmu tanpa amalan tidak berfaedah, bahkan ia menjadi musibah ke atas pemiliknya. Perkara ini disebut oleh Dr. Yusuf bin Abdullah al-Wabil dalam kitab Ashrath al-Sa‘ah.

ilmu diangkat

Daripada huraian ustaz, saya memahami bahawa ulama ialah golongan yang sangat penting dan mulia. Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk berinteraksi dengan para ilmuwan dan ulama?

PRINSIPNYA: Kita perlu terlebih dahulu mengenali kedudukan ulama. Saya akan jelaskan secara ringkas. Allah s.w.t. berfirman yang  bermaksud: “Sebenarnya orang yang takutkan Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu.” (Surah Fatir 35: 28) Rasulullah s.aw. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang di langit yang menjadi pedoman dalam kegelapan di daratan dan di lautann, apabila bintang telah malap maka hampirlah juru petunjuk itu kepada kesesatan” (Riwayat Ahmad). Imam Malik menyatakan: “Ulama ialah pelita zamannya.”

RINGKASNYA: Menyedari hakikat ini dan hakikat ilmu akan dicabut dengan kematian ulama, maka kita perlu berinteraksi dengan para ulama dengan cara yang selayaknya antaranya: Memuliakannya dengan memberikan penghormatan yang selayaknya kerana keilmuannya. Menjadikan para ulama sebagai model ikutan dan tempat rujukan. Mengikuti bimbingannya dengan cara menghadiri majlis ilmunya, membeli dan membaca hasil tulisannya, mendengar nasihatnya dan sebagainya. Membantu, menyokong dan seterusnya mendokong perjuangan ulama dalam menegakkan Islam di tanah air. Menjaga adab dan akhlak semasa berinteraksi dengan ulama. Jangan sesekali mencerca dan menghina, apatah lagi memfitnah ulama. Samaada yang masih hidup atau yantelah meninggal dunia. Wallahu a ‘lam.

Mohd Solleh Abd Razak

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 3

 


 

Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

wasiat 280 x 393 TBBK1275  TBBK1259

TBBK1283

Kembali ke atas