Menu

 

A+ A A-

ILMU SAMPAI MATI & HUKUM BERTAHAP

ILMU SAMPAI MATI

Abu Yusuf ialah seorang ahli fiqah yang terkenal. Beliau merupakan murid Imam Abu Hanifah yang terulung. Cintanya kepada ilmu sentiasa membara walaupun sedang sakit tenat dan hampir meninggal dunia. Ibrahim bin al-Jarrah berkata: Aku mengunjungi Abu Yusuf yang sedang tenat. Berkali-kali beliau pengsan. Setelah sedar, beliau berkata kepadaku: “Wahai Ibrahim, apa kata kita berbincang tentang ilmu?”

ilmu-sampai-mati-1

Aku membalas: “Pada masa begini?” Ya. Kita berbincang tentang ilmu. Siapa tahu ia dapat menyelamatkan seseorang suatu hari nanti.” Lalu beliau berkata: “Yang mana lebih afdal, melontar jamrah sambil berkenderaan atau tidak berkenderaan?” Aku menjawab: “Sambil berkenderaan.” Salah.”

“Tidak berkenderaan.” “Juga salah,” kata Abu Yusuf lagi. “Yang betul adalah di tempat-tempat jamrah yang disunatkan berdoa, lebih afdal tidak berkenderaan. Manakala di tempat-tempat yang tidak disunatkan berdoa, maka lebih afdal dilakukan sambil berkenderaan.”

Ibrahim berkata: “Tidak lama selepas itu, aku bangun meninggalkannya. Sebelum aku sampai di muka pintu, aku terdengar jeritan ahli keluarganya. Rupa-rupanya beliau telah meninggal dunia.” (Qimat al-Zaman ‘inda al-Ulama)

Pengajaran

Beginilah sikap para ulama yang sangat mencintai ilmu. Perbincangan ilmiah mereka tidak terhenti walaupun berada di ambang maut. Mereka benar-benar menuntut ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.

HUKUM BERTAHAP

Khalifah Umar bin Abdul Aziz masyhur sebagai raja yang sangat cerdas dan lemah lembut. Beliau tidak pernah menerapkan sesuatu hukum kepada rakyatnya secara paksaan. Sebaliknya, beliau selalu berusaha menjalankan hukum Allah secara bertahap mengikut kesediaan rakyatnya.

ilmu-sampai-mati-2

Suatu hari, anaknya yang bernama Abdul Aziz datang bertemunya. Dia tidak bersetuju dengan sikap ayahnya yang terlalu lembut dalam menyatakan kebenaran. Abdul Aziz berkata: “Mengapa ayah takut menegakkan kebenaran? Demi Allah, aku tidak takut hidup dalam kelaparan asalkan ayah tegas menegakkan hukum Allah!”

Khalifah yang bijak ini menjawab: “Jangan terburu-buru wahai anakku. Sesungguhnya Allah mencela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali, kemudian mengharamkannya pada kali ketiga. Aku bimbang jika rakyat dipaksa melakukan kebaikan secara serta-merta, mereka akan terus menolaknya. Ini akan menimbulkan fitnah.” (Muwafaqat Imam al-Syatibi)

Pengajaran

Pemimpin yang baik tidak akan menerapkan hukum secara sekali gus. Sebaliknya, ia akan melakukannya secara bertahap sebagaimana ajaran al-Quran. Ini kerana keupayaan rakyat berbeza-beza. Memaksa mereka mengamalkan hukum baru secara sekali gus akan membuatkan mereka serta-merta menolaknya.

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Al-Ustaz

Majalah yang dilahirkan untuk merungkai segala persoalan feqah, akidah dan lain-lain perihal agama dalam kalangan masyarakat. Diwakili oleh pelbagai kolumnis pakar dalam pelbagai bidang. Majalah yang padat serta dikukuhkan berdasarkan Al-Quran & Hadis. Sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan kepada persoalan-persoalan dan menjawab segala kekeliruan permasalahan di kalangan umat islam.

 

Dapatkan majalah Al-Ustaz keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas