Menu

 

A+ A A-

MENEROKA ALAM MIMPI : ALAM AKHIRAT ITULAH REALITI

Ekoran tulisan saya dalam ruangan ini keluaran lepas tentang dunia matriks dan pancaindera, ramai memberikan respons. Sebahagiannya mengakui tidak pernah mengetahui mengenai fakta saintifik ini dan yang lain pula tidak dapat memahaminya.

Terdapat juga dalam kalangan pembaca yang mencabar hujah-hujah yang dibentangkan dalam artikel tersebut. Mereka memberikan pelbagai logik serta fakta untuk membuktikan dunia ini adalah dunia sebenar, bukan dunia matriks seperti yang didakwa. Ada yang menyatakan, sekiranya dunia ini hanya himpunan persepsi, mengapa kita merasa kenyang selepas makan nasi berlaukkan masak lemak tempoyak? Jika benar dunia ini hanya ilusi semata-mata mengapa kita perlu berhati-hati di jalan raya.

Bukankah kereta-kereta ini hanya persepsi sahaja, sudah tentu ia tidak melanggar kita. Ada juga pembaca yang lebih kasar menghubungi saya dan mengatakan jika benar saya percaya dunia ini adalah khayalan, biar dia menampar saya! Kalau saya merasa sakit itu bererti dunia ini adalah dunia sebenar, sama seperti kesakitan yang saya alami. Para pembaca yang membaca pandangan-pandangan ini mungkin bersetuju dengan pendapat mereka.

Menariknya hujah yang mereka kemukakan ini bukan baru, malah telah lama diutarakan oleh ramai saintis dalam menafikan kewujudan dunia matriks atau dahulunya disebut juga sebagai dunia hologram.

Antaranya ialah George Politzer (1903-1942), seorang ahli falsafah Perancis yang menulis dalam bukunya, Principes Fondamentaux de Philosophie, contoh “bas” sebagai bukti kebenaran dunia ini. Menurutnya jika benar dunia ini hanya persepsi, mengapa mereka yang berpegang kepada fakta ini melarikan diri daripada dilanggar oleh bas? Ahli sains sosial dan falsafah Jerman, Friedrich Engels (1820-1895), juga menggunakan logik yang menarik dalam isu ini.

Menurutnya sekiranya semua benda yang ada di dalam dunia ini tidak benar, mengapa kita merasa kenyang selepas memakan sepotong kek? Lebih menarik lagi, kedua-dua pakar yang mengeluarkan hujah ini adalah tokoh-tokoh hebat materialisme! Friedrich Engels adalah pengasas teori Komunisme bersama dengan Karl Marx. George Politzer pula adalah ahli falsafah dan pensyarah yang sangat taasub dengan Marxisme dan komunisme.

Dunia Mimpi

akhiratPernahkah anda bermimpi sesuatu yang indah atau menakutkan? Sudah tentu pernah. Anda tentu masih ingat betapa nikmatnya anda menikmati makanan kegemaran anda. Atau anda tentu masih merasai ketakutan dan kesakitan yang anda alami ketika dilanggar bas. Anda merasai semua situasi ini walau pun ia hanya mimpi. Ketika itu anda berasa kenyang selepas memakan makanan tersebut, dan anda juga meraung kesakitan kerana luka parah akibat dilanggar bas.

Di dalam mimpi, anda dapat merasai semua tindak balas dan rangsangan daripada dunia mimpi sama seperti dunia “sebenar.” Ketika bermimpi juga, kita tidak mungkin sedar bahawa segala peristiwa yang berlaku, harta kekayaan yang kita peroleh, rupa paras yang kita miliki dan kedudukan yang kita ada, hanyalah khayalan yang kita namakan mimpi. Tetapi semua khayalan ini kelihatan betul kerana ia berlaku di dalam otak, sama seperti aktiviti “dunia luar” yang kita terima melalui pancaindera (lihat Solusi Isu 9). Jadi apa bezanya di antara “dunia sebenar” dan mimpi?

Kita Hidup di Alam Mimpi

Penjelasan World Book Multimedia Encyclopedia, tentang mimpi secara saintifik mungkin dapat memahamkan kita persamaan antara “dunia sebenar” dan mimpi:

Mimpi adalah sama dengan semua proses otak yang lain, ia dihasilkan oleh otak dan aktiviti-aktivitinya. Sama ada seorang itu sedang jaga atau tidur, otak berterusan mengeluarkan gelombang elektrik. Saintis mengukur gelombang ini menggunakan alat yang dinamakan elektroensefalograf.

Sepanjang masa ketika tidur, gelombang otak menjadi besar dan perlahan. Tetapi kadang kala, ia menjadi lebih kecil dan pantas. Ketika gelombang otak pantas, mata bergerak cepat seolah-olah sedang menyaksikan peristiwa tertentu. Pada tahap tidur ini yang dinamakantidur REM (Rapid Eye Movement), mimpi biasanya berlaku. Jika terbangun pada waktu ini, biasanya seorang itu dapat mengingat dengan terperinci mimpi yang dialaminya. Ketika tidur REM, laluan yang membawa impuls nadi dari otak kepada otot-otot disekat. Kerana itu, tubuh tidak bergerak ketika bermimpi. Korteks serebrum, yang terlibat dalam koordinasi aktiviti saraf yang tinggi, juga didapati lebih aktif ketika tidur REM daripada ketika tidur tanpa mimpi.

Jelaslah kepada kita bahawa kedua-dua aktiviti, “dunia luar” dan mimpi, terbentuk oleh rangsangan deria yang terdapat di dalam otak. Bagaimanapun, rangsanganyang diperoleh dalam mimpi tidak melibatkan pancaindera luar. Ia juga tidak dapat mengawal tubuh kerana laluan impuls dari otak ke anggota-anggota tubuh disekat ketika tidur. Ini menjelaskan mengapa kita kenyang selepas makan dan merasa sakit apabila ditampar. Kenyang dan sakit juga adalah ilusi sebagaimana makanan yang kita makan dan tangan yang menampar.

Kita menerima mimpi sebagai khayalan dan dunia ini sebagai benar kerana kebiasaan dan prejudis. Kita mungkin akan bangun daripada tidur dan mendapati semua kemewahan, kemasyhuran dan kenikmatan yang dikecap selama ini hanyalah mimpi  Ketika membaca artikel “Meroboh Dunia Matriks” ini, bolehkah anda pastikan sama ada anda sedang membacanya di dalam mimpi atau tidak?

Sains Fizik Menemui ROH

Jika semua material yang kita lihat adalah persepsi di dalam otak, jadi manusia ini hanya terdiri daripada otak semata-mata?
Sekiranya kita sedang bermimpi melihat seekor burung, kita akan katakan bahawa kita melihat burung itu di dalam otak kita. Sudah tentu otak yang kita miliki di dalam mimpi adalah ilusi. Demikian juga otak yang sedang membaca artikel ini sekarang, ia juga ilusi.

Persoalan siapa yang sebenarnya menerima semua persepsi ini telah dibahaskan sejak zaman Yunani. Ahli falsafah cuba memikirkan siapakah “hantu di dalam mesin,” “manusia kecil di dalam manusia kecil” dan sebagainya.

Memikirkan persoalan ini, kita pasti sedar bahawa “kewujudan” yang melihat, mendengar, merasa dan menyentuh ini melampaui kebendaan, ia pastinya bukan benda atau imej. Kewujudan ini adalah ROH!

Agregat persepsi-persepsi yang kita lihat sebagai “dunia sebenar” adalah mimpi yang dialami oleh roh. Kewujudan bijak yang sedang membaca majalah SOLUSI ini bukan himpunan atom-atom dan molekul-molekul dan reaksi kimia, tetapi ia adalah satu ROH.

Fakta yang dibentangkan kepada anda di dalam artikel ini bukan penemuan baru. Para ulama dan cendekiawan Islam telah mencapai realiti ini. Berdasarkan petanda yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis, mereka Berjaya memahami kepalsuan dunia matriks ini. Imam Rabbani mencatatkan di dalam bukunya, Maktubat, seluruh alam material ini hanya ilusi dan persepsi. Kewujudan yang mutlak ialah Allah.

Tinggalkan Ilusi yang Menipu

Adalah terlalu bodoh untuk mengejar “dunia mimpi” di hadapan kita hingga meninggalkan ganjaran syurga sebenar yang dijanjikan. Kepalsuan dunia matriks yang dihiaskan Allah begitu “benar” adalah sebagai ujian kepada manusia. Firman Allah:

“Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah al-Hadid 57: 20).

“Mimpi” ini Allah jadikan untuk menguji siapakah di antara hamba-hambanya yang patuh dengan syariatnya dan siapa ingkar, firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Kahfi 18: 7)

Kerana percaya kepada ketulenan dunia yang kita huni ini, sebahagian manusia hidup untuk mengejar kemewahan dan kesenangan yang mereka kecapi di dunia ini. Lalu, kerana terlalu haloba dengan apa yang mereka lihat, sentuh dan nikmati, mereka melanggar larangan-larangan Allah semata-mata untuk mendapatkan material yang kelihatan terlalu  “benar” kepada mereka. Tanpa mereka sedari apa yang mereka kejar di dunia “mimpi” ini tidak mungkin membantu mereka di akhirat.

Firman Allah:

“Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi); harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikit pun; kuat kuasaku (dan hujah-hujahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku.” (Surah al- Haqqah 69: 27-29)

Allah sendiri menjelaskan bahawa dunia ini dan segala isinya adalah khayalan sematamata Namun bagi mereka yang gagal memahami realiti ini, mereka menghabiskan seluruh hidup ini bagi menghambat ilusi ini, mereka pasti kerugian:

“Dan orang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.” (Surah al-Nur 24: 39)

Bangun dari Mimpi yang Panjang

Artikel ini tidak bertujuan menyatakan kepada pembaca, apa yang diusahakan di dunia ini langsung tidak berguna, lalu jangan  berusaha apa-apa. Sebaliknya penulis sekadar mahu membangunkan pembaca dan diri penulis sendiri agar tidak terus hanyut di alam mimpi hingga melupakan alam yang lebih benar, akhirat. Penulis berharap bukti saintifik yang mendedahkan kepalsuan dunia ini menyedarkan kita dengan kebenaran al-Quran yang menyatakan hakikat yang sama.

Seorang kaya yang sedar harta miliknya hanya ilusi, tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan zakat dan menggunakannya ke jalan kebajikan. Tidak ada anak muda yang tergamak melakukan maksiat kerana sedar nikmat yang dapatinya hanya mimpi.

Pasti pemimpin yang diamanahkan mentadbir rakyat tidak tergamak untuk membina mahligai mewah kerana sedar kuasa yang ada hanya sementara.

Menyedari semua hakikat ini, kita sebenarnya menjana kemantapan iman yang lebih utuh. ¤

kiamat1


Oleh Rohidzir Rais
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas