Menu

 

A+ A A-

NIKMAT SAKIT!

"ADUH, sakitnya! Anda pasti menjerit begini apabila tangan atau mana-mana anggota badan terkena api atau ditusuk objek tajam. Anda juga segera mengelak dan menjauhkan diri daripada sumber kesakitan ini.

Kesakitan ialah perasaan subjektif yang dirasai berbeza oleh setiap individu. Tetapi dari segi perubatan, kesakitan diistilahkan sebagai “mengalami ketidakselesaan deria dan rasa yang disertai oleh kerosakan pada tubuh.”

Diagnosis Kesihatan

Walaupun mengalami kesakitan sangat menyeksa, namun ia memainkan peranan besar menentukan keadaan kesihatan seseorang. Sungguhpun, ia menjadi gangguan utama dalam kehidupan berkualiti, kesakitan sebenarnya symptom utama dalam banyak keadaan perubatan. Oleh sebab itu, apabila anda mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, perkara pertama yang ditanya oleh doktor ialah, “Anda sakit di mana?” atau “Anda sakit apa?” atau “Sejak bila anda mengalami kesakitan ini?”

Jelasnya, kesakitan berperanan besar sebagai penunjuk aras keadaan fizikal anda. Ia bertindak sebagai lampu kecemasan yang memberitahu, “Anda perlu berjumpa doktor.” Ia isyarat awal wujudnya kegagalan fungsi dalam mana-mana bahagian tubuh yang jika diabaikan boleh menjejaskan operasi sebahagian atau keseluruhan tubuh.

Bayangkan, sekiranya anda tidak berasa sebarang kesakitan. Pasti anda tidak dapat mengesan masalah teknikal yang berlaku di dalam tubuh. Lalu kerosakan ini tidak dipulihkan, menyebabkan beberapa masalah lain pula berlaku. Akhirnya anda mungkin tidak dapat menggerakkan anggota-anggota tertentu sehingga tidak dapat melakukan kerja-kerja harian. Pada peringkat ini, bertemu dengan doktor mungkin sudah terlambat kerana “kerosakan” yang berlaku sudah terlalu kritikal.

Alhamdulillah, dengan kesakitan yang Allah kurniakan, kita dapat menjaga dan memelihara tubuh kita dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila berlaku “kerosakan”.

Kulit Perisai Tubuh

Sebelum penemuan reseptor kesakitan, saintis beranggapan kesakitan hanya berpunca daripada otak. Hakikatnya, otak tidak mempunyai sebarang tisu nosiseptif (nociceptive) yang membolehkannya menerima isyarat kesakitan. Malah sakit kepala yang sering kita alami juga bukan berpunca daripada otak. Tetapi membran di sekeliling otak dan saraf tunjung yang mempunyai reseptor kesakitan adalah puncanya.

Kulit yang membalut tubuh manusia ialah reseptor kesakitan paling besar. Oleh itu, ia memainkan peranan penting melindungi kita daripada bahaya yang memudaratkan tubuh.

Ia merupakan sebahagian daripada system pertahanan luar tubuh yang menghasilkan tindak balas refleks akibat rangsang kesakitan dan serta merta bertindak mengarahkan anggota-anggota lain bergerak menjauhi punca kesakitan.

Oleh sebab itu, apabila jari anda tercucuk jarum atau terkena air panas, secara automatic anda menarik tangan ke belakang. Tindakan refleks ini menyelamatkan jari anda daripada terus terbakar sehingga melecur atau tercucuk lebih banyak jarum.

Kulit Penghuni Neraka

Bagi mereka yang tidak mempunyai asas dalam dermatologi, fakta tentang kulit dan kesakitan di atas pasti menakjubkan. Setelah seumur hidup berasa kesakitan, kini kita tahu punca dan manfaatnya. Tetapi fakta yang akan anda baca nanti lebih menakjubkan malah mengejutkan pakar dermatologi sendiri.

Allah s.w.t. menjanjikan pelbagai azab seksa kepada mereka yang kufur dengan perintahNya ketika di dunia. Seksaan paling utama dan paling pedih bagi pendosa-pendosa ini ialah dibakar dengan api neraka. Ini menimbulkan persoalan, apakah orang yang dibakar ini akan menderita kesakitan apabila reseptor kesakitannya, kulit, hangus terbakar?

Oleh sebab itu, apabila merawat mangsa yang melecur kulitnya, doktor mencucuk bahagian terbakat dengan jarum. Jika pesakit berasa sakit, bererti tahap lecurnya tidak serius, begitu pula sebaliknya. Bererti apabila kulit seorang itu musnah, dia tidak lagi berasa kepanasan dan kesakitan api.

Oleh sebab itu, Allah s.w.t. menjelas kan bahawa mereka yang dibakar dengan api neraka ini sehingga hancur kulit, akan diganti semula kulit mereka supaya mereka terpaksa menanggung kepedihan dan kesakitan api neraka berulangulang kali!

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka di dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’ 4: 56)

resakit1

Sains Dermatologi dalam al-Quran

Paling menakjubkan ialah hakikat kesakitan dan kewujudan reseptor kesakitan yang hanya ditemui pada zaman teknologi ini diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. 1400 tahun dahulu!

Profesor Tagatat Tejasen, Pengerusi Fakulti Anatomi di Universiti Chiang Mai, Thailand, melakukan banyak kajian tentang reseptor kesakitan. Oleh sebab itu, apabila dikemukakan terjemahan ayat di atas, beliau terperanjat, bagaimana fakta tentang reseptor kesakitan ini disebutkan dalam al-Quran.

sakit1

 

Profesor Tejasen berasa sangat kagum dengan persamaan al-Quran dengan sains moden ini sehingga mengisytiharkan di hadapan khalayak ramai: “There is no God but Allah and Muhammad (pbuh) is His Messenger.” ¤

 

Rohidzir Rais

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas