Menu

 

A+ A A-

MENCARI MODEL SISTEM POLITIK ISLAM

Model Tertentu

Adakah sistem politik Islam mempunyai modelnya yang tertentu?

Politik ialah ruang umum yang tidak mempunyai model tertentu ataupun susunan mekanikal terperinci dalam nas-nas al-Quran dan sunnah. Syariat Islam menyediakan kerangka ijtihad yang amat luas untuk umat Islam berijtihad berdasarkan prinsip-prinsip yang tetap dan qat‘iyy untuk mereka menentukan corak politik mereka.

Prinsip-prinsip tetap inilah yang bersifat sebagai tapak epistemology demi menjadikan penglibatan politik Muslim itu sebagai bercirikan Islam berbanding dengan politik bukan Islam. Keterlibatan politik umat Islam juga mempunyai akar ontologinya, iaitu pandangan dunia (worldview) tauhid dalam jiwa setiap umat Islam.

Berteraskan pandangan dunia inilah politik umat Islam akan sentiasa menjadi islamik dan bukannya dengan sekadar jenama-jenama ataupun model-model khusus.

model-sistem-politik-islam-1

Model Sistem Politik Islam Silam

Bagaimana pula dengan gagasan-gagasan model politik dan pemerintahan negara yang dijelaskan oleh ulama-ulama dahulu?

Kebanyakan fuqaha klasik menghasilkan karya-karya mereka berdasarkan konteks zaman mereka hidup dan juga tuntutan kehidupan masyarakat Muslim pada waktu tersebut. Seperti lazimnya, ijtihad fuqaha merupakan penyelesaian kepada permasalahan semasa yang dihadapi oleh masyarakat. Maka, faktor realiti setempat, konteks budaya dan juga fenomena global pada waktu karya-karya tersebut dihasilkan perlulah diambil kira secara kritikal ketika membacanya.

Kegagalan meneliti karya-karya tersebut secara menyeluruh akan membawa kepada kefahaman untuk menerapkan secara harfiah pendapat-pendapat ulama berkenaan dalam realiti masa kini yang jauh berbeza dengan situasi ia dihasilkan. Ini akan menjadikan Islam kelihatan canggung dan kekok lantas mengeruhkan imej indah Islam sebagai syariat sepanjang zaman.

Justeru, isu kedudukan dan hubungan antara politik dan Islam memerlukan metode yang baru dan lebih harmoni dengan Maqasid al-Shari’ah. Ramai ulama dan pemikir Muslim kontemporari berkongsi pendapat ini antaranya Rashid al-Ghannouche, Azzam Tamimi, Yusuf al-Qaradawi, Muhammad Salem al-Ewwa, Abdel Wahab el-Messiri, Abdel Wahab el-Affendi dan Sa‘dedin Uthmani.

Bertitik tolak dengan rasional ini, perlulah kita fahami bahawa walaupun politik adalah sebahagian daripada syariah Islam tetapi ia terletak dalam kerangka muamalat, bukannya aqidah ataupun ibadat.

Merangka Sistem Politik Islam Masa Kini

Jadi bagaimana cara berfikir yang sebenar dalam usaha menggagaskan model sistem politik Islam yang sesuai dengan zaman ini?

Kita telah katakan bahawa politik adalah dalam ruangan muamalat. Prinsip asas dalam isu muamalat pula ialah “hukum asal sesuatu perbuatan adalah harus”. Berdasarkan prinsip asas ini kita dapat simpulkan bahawa hukum asas bagi segala aktiviti politik adalah harus kecuali ada dalil yang mengharamkannya.

Al-Ghannouche menyifatkan bahawa isu politik termasuk dalam ruang ijtihad yang amat luas bagi kita untuk menghasilkan pendapat-pendapat yang baru berpandukan Maqasid al-Shari’ah. Ia ialah ruang vakum (faraghaat) yang telah ditinggalkan oleh Allah agar manusia bersikap kreatif dalam mencapai maslahat umum yang menjadi tema utama syariat Islam itu sendiri.

Hasilnya, politik berada dalam ruang ijtihad yang luas yang memerlukan kepada input kontemporari dengan meraikan faktor konteks, tempatan, masa, zeitgeist (semangat zaman), budaya dan perbezaan akal manusia. Kayu ukur bagi ijtihad politik ialah “keadilan sejagat”.

Pendapatnya ini selaras dengan ungkapan Ibn al-Qayyim dalam al-Turuq al-Hukmiyyah: “Sesungguhnya syariat Islam itu, binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat.

“Maka setiap perkara yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, rahmat kepada yang berlawanan dengannya, kebaikan kepada kerosakan, hikmat kepada sia-sia, maka ia bukan syariat Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya!”

Apa yang penting, umat Islam terdahulu sama ada para fuqaha, pemimpin atau rakyat jelata menjadikan matlamat tertinggi berpolitik adalah untuk mencapai falah (kejayaan) di dunia dan akhirat berdasarkan perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

Semua pihak menjadi ejen rahmat kepada sekalian alam dengan memanifestasikan usaha memaksimumkan penjagaan kepentingan umum dan mengelakkan kerosakan.

Sejarah Silam Sebagai Teladan

Jadi kita tidak perlulah mengambil kira amalan, praktik politik dan sejarah kerajaan umat Islam terdahulu. Begitu ustaz?

model-sistem-politik-islam-2

Tidak benar sama sekali. Para fuqaha zaman moden hendaklah melihat fiqah silam dalam bidang politik sebagai ijtihad para fuqaha pada zaman tersebut berdasarkan tuntutan zaman mereka. Justeru ia bersifat relatif dan percubaan berterusan sepanjang zaman. Apa yang lebih penting, fuqaha moden sepatutnya mengambil iktibar daripada metode istinbat mereka dalam mengeluarkan hukum dan keupayaan mereka berinteraksi dengan konteks sehingga terhasilnya hukum-hakam berkenaan.

Dalam erti kata yang lain, umat Islam terkemudian tidak patut menjadikan pengalaman dan pengamalan umat terdahulu sebagai sesuatu yang maksum ataupun teks kudus. Segala pengamalan mereka sama ada dalam bentuk model pemerintahan, sistem yang dijalankan dan juga hukum-hakam fiqah berkaitan dengan pengamalan mereka yang dikeluarkan oleh para fuqaha zaman tersebut hanyalah merupakan ijtihad mereka untuk menjaga kepentingan umum masyarakat dan juga Islam pada zaman tersebut.

Jadi pengalaman mereka itu perlulah dinilai sebagai percubaan umat Islam zaman tersebut untuk menyesuaikan konteks kehidupan dengan syariat Islam yang bersifat dinamik. Maka sejarah mereka hendaklah dijadikan pengajaran, bukannya model terulung yang muktamad.

Dr. Maszlee Malik

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Dr. Maszlee Malik

Sarjana Fiqah dan Usul Fiqah, Universiti Al al-Bayt, Sarjana UM. PhD, Universiti Durham dan pernah menjadi pensyarah di universiti tersebut. Kepakaran dan tumpuan begitu terserlah dalam kajian tentang politik Islam semasa. Aktif menulis dan antara buku beliau Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin dan Road To Beirut.

Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam antarabangsa dan fiqh kontemporari. Sehingga kini, beberapa buah buku tulisan beliau sudah diterbitkan antaranya Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin, Aspek-Aspek Keislaman, Road To Beirut, Soal Jawab Remaja Islam, dan disertasi sarjananya yang bertajuk Hukum Talfiq Dalam Muamalat. Kini pensyarah UIAM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas