Menu

 

A+ A A-

AGAMA NADI NEGARA

Agama dan Penguasa

BOLEHKAH ustaz gambarkan pengaruh agama Islam dalam pemerintahan kerajaan Islam silam?

Hubungan agama dan pihak berkuasa dalam sejarah Islam amat unik. Jika seseorang pemerintah itu mempunyai pegangan agama yang kuat, maka dia akan berlaku adil. Doktrin hari pembalasan dan syurga-neraka menjadikan seseorang pemerintah mempunyai sistem akauntabiliti diri yang akan mengawal dirinya daripada berlaku curang dan zalim. Begitu juga halnya dengan para penjawat awam dan gabenor-gabenor dalam Negara Islam. Surat-surat para khalifah kepada para gabenor dan penjawat awam sering menekankan isu pegangan agama dan akhlak.

Karya-karya ulama silam yang berkaitan politik juga sering menekankan persoalan tersebut. Sebagai contoh, karya-karya berupa nasihat kepada para pemerintah seperti Siyasat Nameh karangan Nizam al-Mulk, seorang ulama mazhab Shafi‘i yang juga negarawan terkenal, Nasihat al-Mulk karya Imam al-Ghazali, Adab al-Katib karangan Abdul Hamid al-Katib dan lain-lain lagi. Karya- karya seperti ini merupakan bukti penekanan terhadap peranan “jiwa beragama” dalam kalangan mereka yang terlibat dengan urusan pemerintahan.

malaysia

Para pemerintah juga sering diikatkan dengan doktrin agama oleh para ulama dalam pentadbiran mereka demi menjamin kestabilan dan mengekang nafsu mereka agar tidak menzalimi rakyat. Para ulama muncul dengan pelbagai tulisan yang berupa teori-teori mereka untuk diamalkan oleh para pemerintah demi mencapai tujuan berkenaan.

Pendek kata, agama telah dijadikan tema agar pihak pemerintah menggunakan mekanisme yang mereka syorkan demi keadilan akan tetap terpelihara. Kitab al Kharaj karangan Abu Yusuf, al-Amwal karangan Abu ‘Ubaid, al-Ahkam al-Sultaniyyah karangan al-Mawardi dan al-Farra, al-Ghiyathi karangan al-Juwayni dan al-Siyasat al-S ا ar‘iyyah karangan Ibn Taimiyah adalah antara karya-karya yang mempunyai tujuan seumpama ini.

agama nadi negara1

Sekalipun Zalim, Agama Tidak Diselewengkan

Daripada penjelasan ustaz, seolah-olahnya kesemua pemerintahan Islam silam semuanya adil. Namun sejarah merekodkan bahawa wujud juga kezaliman dan penindasan dalam pemerintah mereka. Apa komen ustaz?

Sejarah umat Islam bukanlah dipenuhi dengan wangian dan bunga-bungaan. Tiada hitam dan putih dalam sejarah umat Islam. Pemerintah yang adil dan zalim silih berganti. Bukan semua pemerintah Muslim itu adil dan beragama. Namun apa yang menjadi pokok perbincangan di sini ialah kehadiran para pemimpin yang zalim tidak sekali-kali merosakkan struktur agama.

Bukannya tidak ada para pemerintah yang cuba mempergunakan agama dan ulama untuk menghalalkan kezaliman mereka. Namun telah dijanjikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. bahawa pasti akan ada golongan yang bangkit membetulkan mereka. Agama tidak pernah diubah untuk memuaskan nafsu pemerintah.

Malah para pemerintah Muslim juga tidak berani mendakwa mereka sebagai pengganti Tuhan di dunia untuk disembah oleh rakyat. Sejarah menyaksikan golongan reformis dan pembangkang terdiri daripada kalangan ulama dan ahli agama atas nama Islam.

Agama Nadi Kebangkitan

Bagaimana pula peranan agama semasa era kejatuhan pemerintahan Islam dunia?

Sekali lagi ditegaskan bahawa pengalaman buruk Eropah dengan agama tidak selari dengan pengalaman relatif Muslim dengan agamanya. Hanya selepas penjajahan Barat ke atas negaranegara umat Islam dan juga selepas kelemahan Empayar Uthmaniyyah keadaan berubah. Di penghujung hayat empayar Uthmaniyyah, negara-negara umat Islam mula diperintah oleh para penguasa yang zalim dan korup termasuklah dalam kalangan pemimpin Uthmaniyyah sendiri.

Kebanyakan mereka mengabaikan agama dan mengecilkan skop keterlibatan golongan ulama kepada ruang undang-undang, penyebaran dan pengajaran agama sahaja. Hal ini telah mengundang kritikan daripada para reformis seperti al Kawakibi, al-Tahtawi, al-Jazairi, al-Afghani, Abduh dan Rashid Redha.

Di kawasan yang dijajah pula, agama telah menjadi nadi kebangkitan para pejuang kemerdekaan demi mendapatkan kedaulatan negara dan politik rakyat: Seperti gerakan Sanusiyah di utara Afrika, gerakan al-Mahdi di Sudan, gerakan Muhammad bin Abdul Wahab di semenanjung Arab, gerakan Shah Waliyyullah di India dan gerakan Don Fodeyo di Afrika. Tidak lupa juga perjuangan umat Islam yang diterajui oleh ulama dan agamawan di tanah Melayu, Indonesia, selatan Thailand dan Filipina adalah antara bukti agama menjadi tonggak perjuangan kemerdekaan.

Dr. Maszlee Malik
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.6


Dr. Maszlee Malik

Sarjana Fiqah dan Usul Fiqah, Universiti Al al-Bayt, Sarjana UM. PhD, Universiti Durham dan pernah menjadi pensyarah di universiti tersebut. Kepakaran dan tumpuan begitu terserlah dalam kajian tentang politik Islam semasa. Aktif menulis dan antara buku beliau Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin dan Road To Beirut.

Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam antarabangsa dan fiqh kontemporari. Sehingga kini, beberapa buah buku tulisan beliau sudah diterbitkan antaranya Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin, Aspek-Aspek Keislaman, Road To Beirut, Soal Jawab Remaja Islam, dan disertasi sarjananya yang bertajuk Hukum Talfiq Dalam Muamalat. Kini pensyarah UIAM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas