Menu

 

A+ A A-

ISTIQAMAH MEMELIHARA AMANAH

SEBUAH hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tiga petanda orang munafik; apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkirinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.”

Di sini jelas dan tidak diragui lagi akan sikap seorang munafik yang digambarkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. itu. Munafik – hipokrit (hypocrite: who are outwardly Muslims but inwardly unbelievers), membawa simbol ketidakjujuran seseorang terhadap agama Islam yang dianutinya. Percayalah, tiada tempat untuk orang munafik di syurga kelak. Begitulah, jika seseorang itu tidak jujur, ‘lari’ daripada tanggungjawab, terlalu banyak alasan, bercakap di mulut lain dengan di hati, maka tiada syak lagi bahawa jiwanya mesti dicuci dengan pencuci hipokrasi yang berjenama… iman.

Bagi kita yang memegang amanah Islam, andainya mempunyai kenalan sama ada saudara mara, atau sahabat handai yang mempunyai sifat itu dengan jelas, maka kewajipan untuk kita melunaskan amanah dengan memperingatinya akan seruan amal kebaikan. Jika kita gagal melakukannya, maka kita juga telah mengkhianati dan memungkiri amanah yang diberi sebagai seorang Muslim.

Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban, daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tiada keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji.”

Ingatlah, sebanyak mana pun ibadah yang ditunaikan, sebanyak mana pun ilmu yang dituntut, dan sebanyak mana pun kebaikan yang dicurahkan, andainya semuanya itu dengan nyatanya untuk menunjuk-nunjuk maka amanah sebagai seorang Muslim hanya tinggal harapan. Nauzubillahi.

Perolehlah sifat yang baik serta dengan niat suci agar kita berikhtiar bersama menyampaikan hanya yang baik-baik (bermanfaat di dunia dan berbekal di akhirat) dengan saling memperingati. Dengan izin Allah s.w.t. kita mengharap rahmat atas ilmu yang dikurniakan sehingga dapat merealisasikan amanah yang diberi. Amin.   Q


Azzam Supardi
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2

 


 

Azzam Supardi

Pernah mengikuti pengajian di Maahad Buhuth di Kaherah, Mesir. Kini bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. sebagai editor majalah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas