Menu

 

A+ A A-

BAGAIMANA MENJADI PEMIMPIN GOLONGAN BERTAKWA

MOHON ustazah jelaskan tentang doa berikut, bagaimana kita boleh menghayati maksud “pimpinan kepada golongan yang bertakwa” sebagaimana doa yang disebut dalam al-Quran: “Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyyatina qurrata a‘yun, waj‘alna lilmuttaqina imama.” (Surah al-Furqan 25: 74)

Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran, menyatakan ciri-ciri hamba-Nya yang beriman (‘ibad al-rahman), antaranya ialah golongan yang sering berdoa: “Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyyatina qurrata a‘yun, waj‘alna lilmuttaqina imama.” Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kurniakan kami pasangan hidup dan zuriat yang menenangkan jiwa dan jadikan kami pemimpin orang yang bertakwa.”

Sama ada kita sedar ataupun tidak, antara tanda hamba Allah yang beriman itu ialah mereka yang menjadikan doa sebagai sendi kekuatan utama dalam hidup mereka. Mereka memohon keluarga yang sakinah, keluarga bahagia melalui pembentukan suami, isteri dan anak-anak yang memberi sepenuh ketaatan kepada Allah.

Sayyid Sabiq dalam kitabnya, Aqidah Islamiyyah menjelaskan apabila seseorang hamba benar-benar beriman kepada Allah dan segala yang diturunkan, maka Allah akan mengangkat darjat mereka menjadi pimpinan, contoh, suri teladan dalam kalangan orang bertakwa. Ia seperti doa yang dirakamkan oleh firman Allah di atas. Dengan kata lain itu beriman, soleh, bertakwa, maka dengan sendirinya dia akan menjadi contoh kepada manusia. Allah s.w.t., Dialah al-Fattah (Maha Membukakan) yang akan membuka selapang-lapangnya dada manusia kepada kita.

Bolehkah ustazah berikan contoh bagaimanakah yang disebut pemimpin bertakwa itu?

Suka saya menimbulkan beberapa soalan sebagai muhasabah untuk mengukur. Kita mulakan dari skop yang kecil terlebih dahulu:

1 Apakah kita telah menjadi pimpinan, ikutan, suri teladan dalam rumah tangga kita? Aura pemimpin ini, cukup dengan kehadirannya sahaja mampu memberi mesej kebaikan yang tersirat tanpa perlu menjerit, melaung ataupun mengarah itu dan ini.

Contoh 1

Anak dan isteri sedang bersantai di hadapan TV, apabila si ayah pulang, terdengar enjin kereta ayah pun, terlintas di fikiran anak dan isteri: “Tutup TV, abah dah balik, kita semua belum solat lagi”. Atau, “Abah balik, cepat panggil abah. Wrestling dah mula.” Mengapa? Sebab si ayah dan wrestling sudah ibarat irama dan lagu.

Contoh 2

Seorang ibu dengan aura imamal lilmuttaqin, renungan dan panggilannya sahaja sudah menggambarkan mesej yang tersirat. “Kak Long…Kak Long,” panggil si ibu. “Ok…mama…ok…Kak Long nak mengaji ni.” Pertalian antara ibu dengan al-Quran sudah erat. Ingat ibu, ingat mengaji. Ingat ibu, terbayang wajah ibu yang berseri. Ingat ibu, ingat kebersihan dan begitulah seterusnya, ibu sentiasa dikaitkan dengan nilai kebaikan.

Sebenarnya, sama ada sedar ataupun tidak, kita sedang membina dan membangunkan watak sepertimana seorang pelakon menghayati wataknya. Kalau watak imamallilmuttaqin yang dibangunkan dari dalam diri, maka nama kita akan sinonim dengan kebaikan. Ingat ayah, ingat solat. Ingat ayah, ingat baca Quran. Ingat ayah, ingat senyuman ayah. Ingat ayah, ingat sifat pemaaf ayah. Jauh sekali orang akan memperlekehkan kita.

Tetapi sekiranya, anak dan isteri sehingga menjuihkan bibir kepada si ayah, “Alah abah tu, cakap saja pandai.” Kalau begini senarionya, jangan terburu-buru menyalahkan orang lain, kerana kita sendiri yang membina watak itu. Apakan daya, watak kita sudah seperti ketua gengster bukan ketua orang bertakwa.

2 Bagaimana kita di tempat kerja atau dalam masyarakat setempat? Ia masih dalam sifir dan formula yang sama. Sekiranya kita benar-benar hamba Allah yang beriman, tanpa diangkat menjadi pengarah, tanpa menjadi CEO syarikat, tanpa menjadi ketua kampung pun, Allah telah terlebih dahulu mengangkat kedudukan kita sehingga menjadi penawar kepada orang yang memandang. Idea kita menjadi cetusan segala kebaikan dan produktiviti.

Kehadiran kita memberi suntikan semangat kepada masyarakat dan rakan sekerja. Nama dan peribadi kita telah terakam sebagai contoh ikutan dalam minda orang lain. Inilah imamal lilmuttaqin, pimpinan orang bertakwa.

pemimpin-golongan-bertakwa-1

Siapakah orang yang layak menerima pengiktirafan sebagai pemimpin yang bertakwa dan bagaimana cara memperolehinya?

Allah mengurniakan kehebatan ini kepada orang yang beriman, sedang manusia yang dangkal imannya berusaha keras untuk menakluki hati manusia dengan pelbagai cara, semata-mata untuk meyakinkan orang dan dirinya sendiri, bahawa dia seorang bos, seorang pemimpin, seorang ayah dan sebagainya.

Doa tanpa usaha adalah satu tanda kejahilan. Dalam masa kita berdoa agar menjadi orang yang soleh, isteri yang solehah, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta keluarga sakinah, maka kita hendaklah berusaha, bermujahadah, bersungguh-sungguh untuk kita memperhalusi hati, minda dan setiap amal perbuatan agar bertepatan dengan ciri-ciri orang beriman.

Jadilah seperti Imam Ahmad bin Hanbal, seperti yang diriwayatkan oleh sahabatnya, “Sesungguhnya aku telah bersahabat dengan Imam Ahmad Ibn Hanbal selama 20 tahun. Aku menemaninya sepanjang tempoh itu, menempuh musim panas dan sejuk, bersama-sama ketika panas dan dingin, malam dan siang. Maka tidak aku menjumpai padanya suatu hari pun, kecuali setiap hari yang mendatang aku melihat dia berusaha menjadi lebih baik, lebih baik dan lebih baik.”

Ustazah Norhafizah Binti Hj. Musa
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Ustazah Norhafizah binti Hj. Musa

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Kelulusan Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Pengajian Islam University Yarmouk Jordan, Sarjana Usuluddin Universiti Malaya. Kini sedang menyambung pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya. Aktif dalam bidang dakwah, wanita dan kemasyarakatan. Panel slot Tanyalah Ustazah TV9, Halaqah TV9, al-Hidayah TV3 dan program TV al-Hijrah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas