Menu

 

A+ A A-

KASIH SAYANG DAN KEMESRAAN DALAM RUMAH TANGGA

USTAZAH, usia perkahwinan kami sudah masuk 20 tahun. Semakin lama, hubungan kami terasa semakin hambar dan suram. Kami bercakap pada perkara-perkara yang perlu sahaja, itu pun selalu tegang. Selalunya saya yang kena mulakan dahulu perbualan dan cuba mencipta suasana ceria. Saya semakin bosan dengan keadaan ini! Mohon pandangan ustazah.

Semoga Allah memberkati rumah tangga kita semua. Dalam sebuah rumah tangga, peranan isteri untuk merangsang suasana yang ceria dan romantis sangat disanjung oleh Islam. Sesungguhnya Allah mencintai seorang isteri yang pemujuk, halus pekertinya terhadap suami dan pandai menjaga diri dengan orang lain.

Nabi s.a.w. berpesan kepada Aisyah dengan maksudnya: “Wahai Aisyah, hendaknya kamu berlemah lembut dan janganlah kamu bersikap bengis dan buruk.” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, kita fahami bahawa Allah memberikan pahala kepada wanita, meredainya dan memberikannya kedudukan yang istimewa di sisi-Nya apabila seorang isteri itu memelihara perasaan suami dengan sifat penyayangnya, romantis, memahami dan menghiaskan diri dengan keelokan zahir dan batin (kesucian hati) supaya suami merasa tenteram, nyaman dan dikasihi.

Maka kepada para isteri, jangan menyesal atas curahan kasih sayang, pengorbanan dan segala perhatian yang telah kita berikan kepada suami dan rumah tangga. Ini kerana apa yang kita lakukan itu sentiasa mendapat perhatian Allah, dan Allah menjanjikan kecintaan-Nya untuk kita. Amin.

Suami Ideal Idaman Isteri

Namun, Islam sangat menitikberatkan ketenteraman jiwa kedua-dua belah pihak suami dan juga isteri dalam pernikahan. Justeru, kita perlu melihat suri teladan yang telah dipamerkan oleh Rasulullah selaku seorang suami yang unggul seni pergaulannya dengan isteri-isteri Baginda.

Anas menceritakan: “Nabi seorang yang berperangai halus dan penyayang.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain: “Rasulullah ialah orang yang paling banyak bergurau dengan isteri-isteri Baginda.” (Riwayat al-Bazzar, al-Tabarani dan Ibn Abi Dunia)

Aisyah menceritakan: “Nabi pernah membaca al-Quran, sedang kepala Baginda berada si atas pangkuanku, padahal aku dalam keadaan haid.” (Riwayat al-Bukhari)

Anas pembantu setia menceritakan bahawa Rasulullah ada seorang jiran berketurunan Parsi. Satu hari, jiran itu menyiapkan masakan yang enak, khas untuk menjamu Baginda. Kemudian dia datang menjemput Baginda. Rasulullah bertanya: “Dengan dia sekali?” Baginda mengisyaratkan kepada Aisyah. “Tidak.”

“Jika begitu, tidak.” Baginda menolak untuk pergi bersendirian. Kemudian jirannya itu kembali lagi untuk mengundang Rasulullah. “Dan bagaimana dengannya (Aisyah)?” tanya Baginda. “Tidak.”

“Jika begitu, tidak.” Kemudian dia kembali lagi dan mengundang Baginda. “Dengan dia?”

“Ya, boleh.”

Kemudian Rasulullah pun berdiri, kedua-duanya (Rasulullah dan Aisyah) berjalan beriringan ke rumah jiran tersebut.” (Riwayat Muslim)

Hadis-hadis di atas menggambarkan kelunakan, kemesraan dan kehangatan kasih sayang Rasulullah terhadap isteri-isteri Baginda. Para suami wajar berazam untuk iltizam dengan akhlak Rasulullah dalam menggauli para isteri. Kasih sayang suami terhadap isteri mestilah berserta penghormatan, keikhlasan dan kesabaran. Ada sebahagian generasi salaf dahulu berpesan, “Ketahuilah, sekadar tidak menyakiti isteri sahaja belum boleh dikatakan berakhlak baik terhadap isteri. Akan tetapi dengan menahan diri atas kesusahan yang ditimbulkannya serta berlaku lemah lembut dan penyayang terhadap sifat keras dan amarahnya.

“Inilah yang dicontohi daripada Rasulullah. Baginda sendiri pernah diprotes oleh isteri-isteri Baginda. Bahkan ada salah seorang antara mereka pernah tidak mempedulikan Baginda selama seharian hingga ke malam.”

kasih-sayang-kemesraan-1

Luaskan Jaringan Kasih Sayang

Kasih sayang dalam rumah tangga bukan setakat pada hubungan suami isteri. Malah ia juga melibatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Sesungguhnya dengan kejadian pelbagai gejala sosial mutakhir ini, menjadi suatu yang amat mustahak untuk kita semua bermuhasabah sejauh mana rumah tangga kita subur dengan kehangatan kasih sayang.

Anak-anak yang rasa disayangi dan menyayangi ibu bapanya akan lebih prihatin untuk menjaga nama baik keluarga dan sentiasa rasa bermotivasi untuk berusaha meraih kecemerlangan hidup.

Abu Umamah berkata: “Rasulullah pernah melihat seorang ibu dengan dua orang puterinya, seorang didukung dan seorang lagi dipimpin tangannya. Lalu Rasulullah bersabda: ‘Kamu ibu yang tabah dan penyayang. Apabila mereka (ibu-ibu) tidak derhaka kepada suami, maka sesiapa antara mereka yang menjaga solat pasti akan masuk syurga.” (Riwayat Ibn Majah)

Ustazah titipkan satu puisi ringkas:

Ya Allah, jadikanlah aku alat kasih-Mu,
Di mana ada benci, biar aku tebarkan cinta,
Di mana ada hati-hati terluka, biar aku menjadi penghiburnya,
Di mana ada keraguan, biar aku menanam keyakinan,
Di mana ada putus asa, biarkan aku menyuntik harapan,
Di mana ada kegelapan, biarkan aku menyuluh cahaya.

Wallahu a‘lam.

Ustazah Norhafizah Hj. Musa

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustazah Norhafizah binti Hj. Musa

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Kelulusan Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Pengajian Islam University Yarmouk Jordan, Sarjana Usuluddin Universiti Malaya. Kini sedang menyambung pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya. Aktif dalam bidang dakwah, wanita dan kemasyarakatan. Panel slot Tanyalah Ustazah TV9, Halaqah TV9, al-Hidayah TV3 dan program TV al-Hijrah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas