Menu

 

A+ A A-

RASULULLAH S.A.W PEMIMPIN BERWIBAWA

Rasulullah s.a.w. dibangkitkan oleh Allah untuk memimpin umat manusia ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan akhirat. Baginda merupakan seorang pemimpin ulung dalam sejarah dunia.

Selain pakar dalam ilmu kepimpinan, Baginda juga merupakan seorang yang hebat dalam undang-undang dan tatanegara, ilmu politik, hubungan interpersonal, psikologi, kekeluargaan, penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Kepimpinan Baginda yang agung ini membawa umat Islam ke arah perpaduan, kesejahteraan dan keamanan dunia.

Berikut antara ciri-ciri kepimpinan berwibawa Rasulullah s.a.w. dalam memimpin umat Islam:

I-PODS - RASULULLAH S.A.W PEMIMPIN BERWIBAWA Mohd Azrul Azlen Abd Hamid - SOLUSI 6

1. Menjayakan Visi dan Misi

Rasulullah s.a.w. merupakan seorang pemimpin yang memahami dan menghayati misi dan visi hidup. Ketika memimpin, Baginda memotivasi, memahamkan dan mendidik umat Islam ke arah mencapai hala tuju yang telah ditetapkan.

Visi dan misi yang jelas

Ketika memimpin organisasi, Rasulullah s.a.w. mempunyai visi dan misi yang jelas yang disuluh oleh wahyu Allah. Tidak ada sesiapa pun yang mampu menghalang Baginda daripada mencapai visi dan misi tersebut.

Perkongsian visi dan misi

Kejelasan visi dan misi ini bukan hanya ada pada diri Baginda, tetapi perlu difahami juga oleh pengikut Baginda. Ini dapat dilihat melalui penjelasan yang dilakukan oleh Ja’far bin Abi Talib kepada Najasyi, pemerintah Habsyah dalam peristiwa penghijrahan pertama umat Islam ke Habsyah, katanya:

“Wahai Raja! Kami sebelum ini adalah jahil, yang menyembah berhala, kami pernah makan bangkai binatang, membuat perkara yang buruk dan menyakiti juran-jiran kami. Yang kuat antara kami menindas yang lemah, sehingga akhirnya Allah mendatangkan Rasul untuk menyelamatkan kami. Kelakuannya, akhlaknya, kebenarannya, amanahnya amat diketahui oleh kami.

“Dia mengajak kami menyembah Allah, dan menyuruh kami meninggalkan kekufuran dan menyembah berhala. Dia mengajar kami bercakap benar, menyempurnakan amanah, menghormati kaum kerabat dan berbuat baik kepada jiran. Dia mengajar kami supaya menjauhi pertumpahan darah. Dia melarang kami daripada melakukan perkara keji seperti bercakap bohong, menuduh perempuan baik melakukan maksiat. Oleh itu kami percayakannya, mengikutnya dan melaksanakan segala ajarannya.” (Al-Mawdudi, 1984)

2. Kepimpinan Fleksibel, Terbuka dan Kreatif

Baginda s.a.w. mempunyai keterampilan dan daya kepimpinan yang fleksibel serta tidak berfikiran sempit.

Fleksibel dan berfikiran terbuka

Walaupun Rasulullah s.a.w. merupakan seorang Nabi dan pemimpin yang hebat dan pakar dalam pelbagai bidang, namun Baginda tidak pernah meminggirkan orang di sekelilingnya. Baginda merupakan seorang pemimpin yang terbuka. Terbuka merujuk kepada sifat Baginda yang tidak mengamalkan pendekatan diktator dalam bertindak. Ini dapat dilihat melalui amalan Baginda yang begitu kerap mengamalkan perbincangan dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil.

Ketika perbincangan juga Rasulullah s.a.w. tidak menggunakan kuasa veto, walaupun Baginda berhak untuk membuat keputusan. Sebaliknya keputusan dibuat secara kolektif. Contohnya ketika membuat keputusan mengenai peperangan Uhud. Baginda secara peribadi bercadang berperang di dalam kota, tetapi majoriti kaum Muslimin, terutama golongan muda, ingin berperang di luar Madinah. Baginda akur dengan kehendak ramai tersebut.

Baginda juga begitu terbuka dalam menerima pandangan dan idea baru yang tidak bercanggah dengan prinsip, yang bersifat teknikal dan ijtihadi. Misalnya Baginda menerima pandangan Salman al-Farisi yang mencadangkan agar umat Islam membina parit dalam Peperangan Khandaq.

Kreatif

Baginda memanfaatkan kepakaran dan kreativiti, termasuk daripada mereka yang bukan Islam. Ini dapat dilihat dalam peristiwa Hijrah, Baginda memanfaatkan Abdullah bin Uraiqat, pakar dalam menunjuk jalan yang paling selamat untuk sampai ke Madinah, sedangkan Abdullah bin Uraiqat bukanlah seorang Islam.

3. Berdiplomasi

Sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, Baginda s.a.w. mengamalkan prinsip diplomasi dalam pemerintahan. Antara contoh amalan prinsip ini ialah:

  • Perjanjian Hudaibiyah antara pemimpin Quraisy Makkah dengan organisasi yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w.
  • Pengutusan wakil Baginda menjalin hubungan dengan negara-negara luar. Selain itu juga, Rasulullah s.a.w. akan memastikan setiap utusan yang membawa surat Baginda:
  • Menguasai bahasa pertuturan raja-raja yang akan ditemui.
  • Berpersonaliti menarik, iman yang teguh dan memiliki keberanian yang luar biasa.

Nyatalah Baginda begitu terbuka, dinamik dalam tindak-tanduk Baginda dalam mem perjuangkan Islam. Baginda bertindak sebagai pemimpin partisipasi, kreatif serta terbuka.

Dengan sifat itu, kepimpinan Baginda berkesan, dihormati dan dikasihi.

4. Memimpin melalui Teladan

Baginda juga seorang pemimpin yang dinamik, yang bersifat bertenaga dan turut serta dalam kerja-kerja yang penting. Baginda sebagai pemimpin tidak hanya mengarah, tetapi turun padang. Baginda bersama umat merasai susah payah umat dalam melayari kehidupan dan perjuangan.

Dalam Perang Khandaq, Baginda s.a.w. turut sama menggali parit bersama para sahabat yang lain. Dalam Sahih al-Bukhari terdapat riwayat dari al-Barra’ bin Azib: ”Aku melihat Rasulullah s.a.w. mengangkut tanah parit itu sehingga banyak debu yang melekat pada kulit perutnya...”

Abu Talhah juga berkata: ”Kami mengadu kepada Rasulullah s.a.w. akibat kelaparan. Kemudian kami melapik perut kami dengan batu. Rasulullah sendiri melapik perutnya dengan dua biji batu.” (Riwayat al-Tirmizi dalam Mishkah al-Masbih jil. 2, hlm. 488)

Selain itu juga, Baginda akan berada di barisan depan dalam peperangan dan sebab itulah Baginda mendapat kecederaan dalam Peperangan Uhud.

5. Profesionalisme dan Disiplin Profesionalisme

Rasulullah s.a.w. merupakan seorang pemimpin yang mengamalkan prinsip profesionalisme. Perkara ini dapat dilihat apabila Baginda s.a.w. tidak menggunakan kedudukan tertinggi yang dimilikinya untuk kepentingan peribadi.

Kedudukan yang Baginda miliki tidak digunakan bagi “memilih bulu”. Sebaliknya, mereka yang dipilih melaksanakan sesuatu tugas perlu berlandaskan merit keupayaan dan kelayakan. Sikap profesionalisme Baginda ini telah menjadikan Baginda sebagai seorang pemimpin yang dikagumi dan dihormati oleh seluruh umat Islam.

Disiplin dan Pengorbanan

Selain itu juga, Baginda s.a.w amat menekankan disiplin dan pengorbanan. Pengorbanan merupakan perkara yang sinomim dengan Islam. Pengorbanan itu pula berkait langsung dengan disiplin yang tinggi. Maka tepatlah kata-kata Sayidina Ali: “Kebatilan yang tersusun rapi akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun rapi.”

Semangat berkorban ini memang dihayati oleh Baginda dalam kehidupan Baginda. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas mengenai kisah Sayidina Umar yang memasuki bilik Nabi Muhammad s.a.w. semasa menziarahinya. Umar berkata: “Aku pun duduk dan aku melihat tanda tikar pada badan Nabi s.a.w. Aku ternampak segenggam gandum dan sekeping kulit tergantung... aku pun terus menangis.”

Kemudian Nabi s.a.w. bertanya: “Wahai Ibn Khattab, mengapa kamu menangis?” Aku menjawab: “Mengapa tidak ya Rasulullah. Aku lihat bekas tikar kasar di badanmu dan aku melihat hartamu hanyalah sekadar apa yang aku lihat sekarang. Bayangkan maharaja Rom dan Parsi hidup dalam kemewahan dan kesenangan, sedangkan engkau Nabi (hidup seperti ini).” Nabi bersabda, maksudnya:

“Wahai Ibn Khattab, apakah kamu tidak reda bahawa bagi kita akhirat dan bagi mereka dunia?”

Di samping menekankan pengorbanan perjuangan, Baginda juga bertunjangkan disiplin yang tinggi. Asas disiplin tinggi yang ditekankan ialah ketaatan dan kepatuhan terhadap arahan yang diberikan.

Disiplin dan ketaatan merupakan asas kekuatan kepada umat Islam. Misalnya dengan semangat itulah Sayidina Ali bin Abi Talib sanggup menggantikan Baginda dan tidur di tempat Baginda pada malam hijrahnya Baginda ke Madinah, walaupun ia penuh dengan risiko.

Tanpa ketaatan, umat Islam mengalami masalah malah kekalahan. Ini dapat dilihat dalam Peperangan Uhud yang mana pada peringkat awalnya umat Islam telah menang, tetapi akhirnya kalah kerana ada dalam kalangan umat Islam yang tidak taat dan mengingkari arahan Rasulullah s.a.w. agar umat Islam jangan maninggalkan posisi masing-masing walau apa yang berlaku.

6. Belajar daripada Kesilapan

Dalam Peperangan Uhud, sebahagian besar anggota pemanah yang dipilih oleh Rasulullah s.a.w. untuk berada di atas Bukit Uhud telah melakukan kesilapan besar. Mereka melanggar arahan Rasulullah s.a.w. supaya terus bertahan di atas bukit walau apa pun yang terjadi, sama ada mereka menang atau kalah. Sebahagian anggota pemanah tersebut bertindak turun

dari Bukit Uhud tatkala melihat tentera Islam yang lain sedang sibuk mengaut harta rampasan pihak musuh. Akibatnya, umat Islam mengalami kekalahan yang teruk dan ramai dalam kalangan para sahabat yang tercedera dan gugur syahid mempertahankan ajaran suci. 

Kekalahan ini memberi pengajaran yang besar kepada umat Islam, antaranya:

  • Setiap ahli dalam organisasi perlu mentaati arahan yang diberikan oleh seorang pemimpin.
  • Setiap perancangan yang telah dirancang perlu dilaksanakan dengan teliti dan tidak bertindak dengan sesuka hati.

7. Memberi Dorongan

Rasulullah s.a.w. mendidik para sahabat untuk membina ketabahan dan sentiasa memberi dorongan melalui bimbingan wahyu daripada Allah s.w.t. agar meneruskan usaha dakwah. Rasulullah sering menceritakan tentang perjuangan para anbia sebelumnya dan menggambarkan wawasan masa depan Islam yang gemilang. Ramai daripada para sahabat yang gugur syahid di medan peperangan tanpa berpeluang untuk menyaksikan kejayaan Islam. Namun titisan darah dan peluh para syuhada telah menjadi dorongan kepada generasi Islam selanjutnya untuk meneruskan perjuangan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis qudsi:

“Allah s.w.t. berfirman: ‘Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hamba-Ku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang disayangi oleh seseorang) daripada kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripada-Ku (dengan bersabar).” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kesimpulannya, Rasulullah s.a.w. merupakan seorang pemimpin yang perlu dicontohi oleh semua pemimpin yang lain. Ciri-ciri seperti menjayakan visi dan misi organisasi, mempunyai gaya kepimpinan yang fleksibel, terbuka dan kreatif, berdiplomasi, memimpin melalui teladan, profesionalisme dan disiplin, belajar daripada kesilapan serta member dorongan membuktikan bahawa Baginda merupakan seorang pemimpin yang agung, hebat dan berwibawa.

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6

 


 

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Dilahirkan di Kedah dan mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana (MA) dalam bahasa Arab juga di UIAM, dan menyambung pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Kini menjawat jawatan pensyarah di UIAM. Berpengalaman dalam bidang motivasi dan kepimpinan dan aktif dalam penerbitan buku ilmiah dan artikel majalah. Merupakan penulis Indahnya Hidup Bersyariat. Layari blog beliau di http://mohdazrul.blogspot.com. Beliau juga boleh dihubungi di mohdazrulazlan@gmail.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

tbbk1297

 

Kembali ke atas