Menu

 

A+ A A-

HIKMAH MUALAF BERHAK ZAKAT

Siapa Mualaf

Soalan: Sebelum ini saya ada mendengar orang mengatakan bahawa orang kafir boleh diberikan zakat kerana mereka dikira mualaf. Bukankah mualaf itu orang yang baru memeluk Islam?

Jawapan : Firman Allah mafhumnya: “Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang fakir, miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Tawbah: 60)

Secara istilahnya, mualaf ialah mereka yang dijinakkan hatinya atau yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang telah memeluk Islam tetapi belum kukuh Islamnya.

Secara umumnya asnaf mualaf ini terbahagi kepada dua golongan utama iaitu orang yang sudah memeluk Islam dan orang yang bukan beragama Islam.

1.Mualaf yang baru memeluk agama Islam

Mereka boleh terdiri daripada kelompok-kelompok berikut:

i.Ketua-ketua masyarakat, kaum atau kumpulan baru orang Islam yang ada hubungan baik dengan ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya. Golongan ini pernah diberikan zakat oleh Sayidina Abu Bakar seperti ‘Adi bin Hatim dan al-Zubarqan bin Badr.

ii. Ketua-ketua masyarakat, kaum atau kumpulan baru orang Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh pengikutnya. Harapannya agar kuat iman mereka dengan zakat. Nabi s.a.w. pernah memberikan kepada mereka sejumlah besar harta ghanimah bani Hawazin.

iii. Orang Islam yang tinggal di sempadan yang berhampiran dengan negara musuh Islam yang diharapkan untuk membantu orang Islam tatkala diserang musuh.

2. Mualaf yang bukan beragama Islam

i. Mereka yang sekiranya diberikan zakat, boleh dipujuk supaya masuk Islam dan diharapkan keislaman mereka atau pengikut mereka

Nabi pernah memberikan zakat sejumlah besar unta kepada Safwan bin Umaiyyah sehinggakan beliau sendiri berkata: “Demi Allah, Nabi telah memberikan (zakat) kepadaku sedangkan Baginda ialah lelaki yang aku paling benci. Keadaan ini berterusan sehinggalah Baginda menjadi insan yang paling aku kasihi.”(Riwayat Muslim)

ii. Golongan yang boleh dipujuk dengan zakat supaya tidak berbahaya kepada orang Islam dan lain-lain.

Tidak Semestinya Miskin

Soalan : Jadi jika mualaf itu orang kaya sekalipun, dia boleh diberikan zakat?

Jawapan: Ya. Golongan mualaf berhak menerima zakat bukan kerana status kemiskinan atau kefakiran. Mereka berhak menerima wang zakat walaupun mereka orang yang kaya. Namun, perkara ini tertakluk kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menilai selama mana mereka berhak dibantu dengan dana zakat setelah memeluk Islam.

Zakat Bukan Sekadar Ibadah

Soalan : Bukankah zakat itu suatu ibadah? Rasa agak janggal apabila zakat turut boleh diberikan kepada orang bukan Islam.

SenyumJawapan : Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan hal ini: “Pembahagian zakat kepada asnaf ini menjadi dalil bahawasanya zakat bukanlah semata-mata ibadah ihsan secara individu ataupun diwakilkan perlaksanaannya kepada seseorang.

“Namun ibadah ini merupakan urusan kenegaraan atau perkara yang dilakukan pengawasannya dan tindakan pengurusannya oleh ahl-al-hall wa al-a’qd kerana merekalah yang berupaya mengetahui dan menentukan sama ada sesuatu golongan itu boleh dijinakkan hatinya atau mempunyai kecenderungan terhadap Islam atau tidak.”

Zakat Sebagai Tarikan

Soalan : Mengapa golongan ini perlu dijinakkan hatinya dengan duit? Bukankah sewajarnya mereka tertarik kepada Islam kerana ajaran dan inti patinya, bukan kerana duitnya?

Jawapan : Pensyariatan pemberian zakat kepada golongan mualaf ini ialah bukti bahawasanya Islam itu agama rahmat dan terbina atas dasar ihsan dan cintakan kebajikan serta mahukan semua manusia mendapat hidayah Tuhan.

Mungkin ada segelintir yang memeluk Islam namun masih belum berpuas hati dengan agama Islam itu sendiri. Hatinya masih lagi goyah dan iktikadnya lemah. Golongan ini sukar membezakan antara Islam dengan agama-agama lain di dunia.

Maka pemberian bahagian zakat ini akan menjernihkan pandangan mereka terhadap Islam. Mereka akan berasakan pembelaan daripada saudara seagama, ketulusan dan kerahmatan yang dibawa oleh Islam.

Islam bukan mengejar ramainya bilangan penganut atau kepingin individu tertentu. Islam mengharapkan agar hidayah Allah sampai kepada setiap individu dengan apa saja cara.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10


 

 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas