LAHIRKAN ULAMA PENYATU UMMAH
- Ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
- Kategori Ibadah
- Read 6775 times
SOALAN : Saya tertarik dengan perbincangan ustaz dalam isu 7 yang lepas berhubung realiti sikap para ustaz dan ustazah yang berlainan aliran dan pengajian saling merendah-rendahkan antara satu sama lain. Sebagai usaha mengatasi masalah ini, mungkin ustaz ada wawasan untuk melahirkan ulama hebat yang tidak tenggelam dengan arus pertikaian tersebut sebaliknya fokus pada pengislahan ummah?
JAWAPAN :
Mungkin dari sekarang NGO-NGO Islam dan ibu bapa perlu merancang pelan strategik melahirkan ulama ulung negara yang insaf, adil, lunak dan mampu meredakan ketegangan dan perpecahan yang berlaku kesan daripada proses pengajian yang pelbagai. Pelan strategik tersebut sekurang-kurangnya mencakupi perkara-perkara berikut:
- Rangka asas pengajian terpilih yang menggariskan objektif sasaran, proses pemantauan dan semakan yang komprehensif.
- Ada mekanisme saringan pelajar pintar pada peringkat rendah atau menengah rendah, antaranya berdasarkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
- Pelan penajaan dan penghantaran pelajar terpilih untuk mengikuti sistem pengajian yang disusun yang melalui tahap pengajian seperti berikut:
1.Diploma Tahfiz
Antaranya di Darul Quran atau mana-mana pusat tahfiz terbaik. Lebih baik jika aspek hafalan ini boleh dipenuhi dengan lebih awal.
2.Sarjana Muda
Cadangan saya, mana-mana universiti di Jordan. Bagi saya,kelulusan pensyarah-pensyarah universiti-universiti di Jordan biasanya adalah gabungan PhD dari al-Azhar, Ummu al-Qura, Iraq, Jordan, Madinah, Syria dan lain-lain dengan majoritinya dari al-Azhar.
Kepelbagaian latar belakang pensyarah ini banyak membantu melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran. Ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa Arab fushah (baku) yang sederhana.
Selain pengajian di universiti, perlu ada mentor yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian-pengajian talaqqi dengan syeikh-syeikh teralim di Jordan khususnya di Amman.
Selain itu, elok juga menaja mereka supaya menghabiskan cuti semester dengan pengajian talaqqi di Syria di hadapan guru-guru hebat di sana.
Hasil yang diharapkan agar mereka memperoleh kekuatan bahasa Arab dan asas kukuh dalam ilmu-ilmu syariah sama ada Fiqah atau Usuluddin.
3.Sarjana
Cadangan saya, sama ada di Universiti al-Azhar atau Universiti Kaherah. Ini perlu bagi pelajar terpilih ini memperolehi kelebihan pengajian di Mesir yang merupakan pusat ilmu Islam yang amat berpengaruh.
Pada masa yang sama, usahakan agar pelajar ini dapat menghadiri juga pengajian di Dar al-Ifta, Mesir. Letakkan sasaran kepada pelajar terpilih ini supaya dapat menyempurnakan pengajian sarjana di al-Azhar dan Dar al-Ifta’dalam masa lima tahun.
4.Ijazah Kedoktoran
Cadangan saya, di Universiti Islam Madinah atau Ummu al-Qura, Arab Saudi.
Setakat ini, kedua-dua universitiitu sukar menerima graduan daripada universiti lain. Namun, sesuatu perlu diusahakan untukmembolehkan pelajar terpilih ini memasuki universiti tersebut. Harapannya, kekuatan pengajiannya di Jordan, Syiria dan Mesir sebelum ini dapat disempurnakan lagi di Tanah Suci.
Di samping, gesa mereka supaya menuntut ilmu ke Yaman pada cuti-cuti semester agar dapat mengutip luahan ilmu guru-guru di sana pula.
Daripada pelan strategik ini, tidak mustahil akan lahirnya seorang ilmuwan berwibawa, lunak,hikmah dan dihormati oleh majoriti aliran yang terdapat di Malaysia.
5.Pelengkap Pengajian
Bagi melengkapkan lagi pusingan pengajiannya selepas mendapat PhD, mungkin pelajar terpilih ini boleh menuntut sekurang-kurangnya enam bulan di Darul Ulum, Pakistan untuk mendalami pengajian hadis. Kemudiannya, dihantar ke United Kingdom untuk pengajian sarjana untuk tempoh setahun sahaja.
Ini bagi membolehkan beliau melihat dunia dan masyarakatyang berbeza dengan sebelum ini, menggarap metodologi pengajian dan pemikiran Barat dan membolehkannya berbahasa Inggeris. Dengan semua ini, dia mampu berhadapan dengan pelbagai pihak kelak.
Bayangkan jika kita mampu melahirkan ilmuwan yang melalui proses ini, saya positif bahawa individu tersebut mampu untuk meredakan perselisihan antara aliran kerana dia bakal dihormati oleh kebanyakan aliran pengajian.
Bakal Ustaz
SOALAN :Ustaz begitu mengimpikan bahawa pelajar yang memasuki pengajian Islam ialah pelajar-pelajar yang berpotensi dan rajin. Namun realitinya, masih ramai ibubapa yang meletakkan anak-anaknya di sekolah-sekolah agama setelah anak-anak mereka tidak diterima di sekolah-sekolah lain disebabkan masalah prestasi atau akhlak. Bagaimana ustaz melihat hal ini?
JAWAPAN :
Kita sudah letih menyaksikan pengajian Islam sering menjadi pilihan terakhir ibu bapa. Akhirnya, agak ramai ustaz dan ustazah yang kekurangan kualiti ilmu. Tidak hairanlah, memandangkan pada asalnya pun mereka bukanlah jenis yang cintakan ilmu, cerdas dan rajin.
Saya teringat tentang satu perbincangan dengan seorang sahabat. Pokok perbincangannya: Bagaimana seorang ustaz dan ustazah itu ingin muhasabah diri dan mengukur sejauh manakah tepatnya pandangan mereka dalam isu agama?
Perbincangan itu panjang. Namun rumusan saya adalah mereka boleh muhasabah diri dengan melihat kembali markah-markah peperiksaan merekadi IPT.
Benar, ia terlalu subjektif dan sukar untuk menjadi kayu ukuran. Tentunya markah peperiksaan semata-mata tidak mampu mencerminkan penilaian keilmuan seseorang dengan cara yang paling tepat. Namun, sekurang-kurangnya ia boleh memberi sedikit ukuran tahap kecerdasan fikiran, kekuatan ingatan, pemahaman dan kerajinan seseorang individu itu semasa menjadi pelajar.
Maknanya, sekiranya seseorang itu menamatkan pengajiannya dengan markah 50%, mungkin itulah kadar peratusan kebenaran pandangan-pandangan fiqah dan agama yang kepada masyarakat. Jika 80%, maka demikian juga tahap hampirnya dia kepada tepat.
Jika hanya 46%, maka besar jualah kemungkinan tersilapnya dia memberikan ilmu kepada masyarakat. Sama-sama kita muhasabah diri wahai para graduan agama agar ilmu yang kita berikan kepada masyarakat bukannya yang bermarkah lulus tetapi cemerlang.
Kemungkinan atas asas ini,majoriti institusi pengajian tinggi di seluruh dunia Islam meletakkan markah 75% sebagai markah lulus bagi subjek-subjek bagi pengajian di peringkat tinggi MA dan PhD. Pendekatan ini memang wajar agar lulusan agama bukanlah mereka yang hanya “cukup makan” lulus sahaja.
Tiada yang Mustahil
SOALAN :Ada pihak yang skeptikal tentang gagasan untuk melahirkan ulama Negara terulung yang ustaz bawakan ini. Apa komen ustaz?
JAWAPAN :
Sekali lagi saya tegaskan bahawa kita amat memerlukan pelajar cerdas dan rajin sebagai bakal ustaz dan ustazah pada masa hadapan.
Hasilnya akan lahir ulama yang sangat tinggi kualitinya seperti Syeikh Abu Hasan Ali al-Nadawi, Syeikh Abu al- A‘la al-Mawdudi, Syeikh Mufti Taqi Uthmani dan ramai lagi.
Mereka bukanlah orang Arab. Namun keilmuan mereka menembusi sempadan daerah kesarjanaan ulama Islam sehingga dihormati oleh ulama Arab sendiri. Sesungguhnya itu suatu pencapaian yang amat sukar dicapai, namun mampu dicapai jika kita ada perancangan yang jitu.
Akhir sekali, saya tidak berniat untuk menyindir sesiapa mahupun aliran tertentu. Saya hanya mengangkat realiti sebenar yang sama-sama perlu kita insafi. Jika ada mana-mana aliran, kumpulan atau ustaz ustazah yang terasa dengan tulisan ini, maafkan saya.
Tentunya ia hasil kelemahan saya sendiri dalam usaha menyampaikan maksud yang diingini. Saya hanya mengharapkan kita sama-sama mampu melahirkan yang terbaik buat umat ini, sambil menyedari diri ini mungkin tiada kemampuan mencapainya.
Sekali lagi, jika ada mana-mana NGO dan ibu bapa yang inginkan tenaga saya untuk membantu perancangan ini, setelah mereka mempunyai pelajar terpilih yang menepati kriteria, saya amat bersedia membantu setakat yang termampu. Semua ini demi kebaikan ummah dan amal jariah diri untuk ke alam yang kekal abadi. Kegagalan kita merancang untuk melahirkan ulama ulung seperti al-Qaradawi akan sentiasa menjadikan kita ketiadaan insan sepertinya.
Dr. Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.