Menu

 

A+ A A-

HIPOKRIT, TULI, BISU DAN BUTA

Sirah Nabi s.a.w. mencatatkan ke peritan Baginda dan generasi awal Islam menghadapi tentangan dan tekanan daripada golongan kafir Makkah yang menolak sepenuhnya agama Islam. Namun kepedihan dan penderitaan lebih dirasakan ketika berhadapan dengan “musang berbulu ayam” yang mencarik perpaduan kerajaan pertama Islam Madinah.

 

hipokritDi Makkah generasi pertama Islam yang serba lemah dan naif menghadapi penindasan luar batas kemanusiaan daripada bangsawan musyrikin Makkah. Kedudukan penentang-penentang agama Allah yang sebahagian besarnya adalah pemuka, bangsawan dan pemimpin Makkah menyebabkan tentangan terhadap orang beriman berlaku secara terang-terangan.

Dengan petunjuk daripada Allah kepada Rasul-Nya, mereka akhirnya berhijrah ke Madinah demi mendapatkan kedudukan yang lebih baik agar agama Islam dapat diamalkan dengan selesa dan disebarkan. Namun setelah terlepas daripada golongan musyrikin, umat Islam berhadapan dengan musuh lebih bahaya yang tidak pernah mereka hadapi ketika di Makkah, iaitu golongan munafik.

Allah menggambarkan sifat hipokrit golongan ini dalam firmannya dalam ayat 8 dan 9 surah al-Baqarah. Mereka menyatakan kononnya mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mengaku bersaudara dengan orang Mukmin yang lain, tetapi sebenarnya tidak. Demikian juga keadaan yang menimpa kita kini.

Munafik moden kini menggambarkan kepada dunia melalui peranan media yang mereka kuasai, tentang keislaman dan keimanan mereka. Di mata masyarakat, mereka bercakap seolah-olah merekalah juara yang memperjuangkan Islam. Apabila timbul isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Islam, merekalah yang terlebih dahulu menonjolkan diri sebagai pembela Islam, walau pun tidak jelas apa yang dipertahankan, Islam atau kebangsaan atau kepentingan. Justeru sebagaimana sukarnya Baginda Rasulullah s.a.w. menghadapi keretakan dalaman yang ditimbulkan golongan munafik ini, demikian juga situasi yang terpaksa kita hadapi hari ini.

Duri yang ditusukkan ke dalam daging kita sangat menyakitkan dan sangat sukar untuk dicabut, namun sangat memudaratkan jika dibiarkan terus. Allah menggambarkan hipokrit seperti ini sebenarnya ‘sakit jiwa’ (Surah al- Baqarah ayat ke-10). Masakan tidak, mereka terpaksa berpura-pura menyukai sesuatu yang hati mereka benci. Terpaksa bersama dengan orang beriman mengerjakan tuntutan-tuntutan agama yang mereka sendiri tidak benar-benar yakini.

Bayangkan bagaimana seksanya seorang pemimpin hipokrit terpaksa bersolat Jemaah bersama orang beriman semata-mata untuk mempamerkan ‘keislaman’nya. Melakukan korban pada hari raya korban, sedangkan mereka mengamalkan rasuah. Merasmikan kempen kesedaran Islam dan nilai murni, sedangkan mereka atau keluarga mereka sendiri pengamal hedonisme.

Mereka mempromosikan kebaikan dan keislaman mereka sehingga masyarakat melihat mereka sebagai lebih Islam daripada orang Islam sendiri. Demikian Allah menjelaskan sikap “berlagak baik” golongan ini dalam surah al-Baqarah pada ayat ke-11 dan 12.

Namun Allah menjatuhkan air muka golongan munafik ini dengan perumpamaan yang sangat tepat dan menarik. Allah menggambarkan mereka sebagai golongan yang diberikan cahaya untuk dijadikan sebagai panduan ketika dalam gelap gelita. Al-Quran yang diberikan kepada umat manusia adalah cahaya penyuluh yang membimbing kita melalui perjalanan hidup kita dalam segala aspek kehidupan. Namun kerana kebongkakan golongan ini, mereka dengan angkuhnya meninggalkan cahaya yang diberi dan memilih untuk berjalan dalam gelap. Sebagaimana bodohnya seorang yang membuang lampu suluhnya ketika berada di malam yang gelap gelita, demikianlah mereka.

otak

Benarlah firman Allah dalam ayat ke-18 surah yang sama, apabila Dia menggambarkan golongan hipokrit ini seumpama orang yang tuli daripada mendengar kebenaran, buta untuk mencari jalan sebenar dan bisu daripada memperkatakan yang hak.

Malah mereka lebih teruk lagi, sebagaimana Allah mengumpamakan munafik ini tidak hanya berada dalam kegelapan malah berada pada suatu malam yang gelap gelita yang disertakan pula guruh dan kilat serta halilintar. Firman Allah lagi yang bermaksud:

Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan oleh-Nya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah 2: 20).

Cahaya yang sepatutnya menyuluh jalan dalam kegelapan, sebaliknya menjadi kilat yang membutakan mata. Demikian al-Quran dengan nurnya yang terang menjadi panduan berguna kepada yang beriman kepadanya. Namun bagi mereka yang berpura-pura menerima cahaya ini, al-Quran hanya akan membutakan dan menyesatkan mereka.

Rohidzir Rais
Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas