Menu

 

A+ A A-

APABILA ULAMA CABAR MENCABAR

Jika orang awam gagal ‘menguruskan perbezaan’, masih tidak mengapa. Itu masih boleh diterima. Ini kerana orang awam kebanyakannya masih kurang ilmu. Selain kurang cerdik, orang awam juga kurang terdidik. Maka, emosi yang panas acap kali mendahului fikiran yang bernas dalam menghadapi perbezaan pendapat atau pandangan. Namun, apabila para ulama yang sewajarnya sudah cerdik dan terdidik juga terjebak dalam pertelingkahan yang tidak berkesudahan, ini sesungguhnya satu tragedi yang sangat menyedihkan.

Sungguh, inilah salah satu cabaran untuk ahli-ahli agama kini. Cabaran yang boleh merobek kewibawaan ilmu dan ketinggian peribadi mereka. Betapa sekarang kita dapat melihat ulama sesama ulama telah tega bertelagah dan bertikam lidah. Yang dijadikan senjata bukan ilmu dan fakta, tetapi sindiran dan tempelakan yang sangat menjelikkan.

Tidak salah untuk berbeza, tetapi biarlah dalam nada dan nuansa berkasih sayang dan silaturahim. Apa gunanya kelulusan yang berjela-jela, gelaran yang beraneka rupa, tetapi adab dan akhlak tidak terjaga. Seorang ulama silam, Ibn Mubarak berkata: “Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu.”

Akarnya Dengki?

Jika benar yang dicari adalah kebenaran, masakan ada sikap sombong yang menonjol. Keangkuhan yang boleh dibaca melalui sikap, tulisan dan kata-kata. Cabar sana, perleceh sini. Pelbagai label dilontarkan. Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, si polan ‘sufi menyeleweng’ dan si polan ‘salafi tegar’.

Subhanallah. Lupakah pesan Ibn Umar: “Tidaklah seseorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak hasad dengki kepada orang yang lebih alim daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya serta tidak mencari dengan ilmunya upahan kebendaan.” (al-Darimi)

apabila-ulama-cabar-mencabar-2

Timbul pertanyaan, apakah pergeseran ini disebabkan oleh perbezaan ilmu, hujah dan prinsip? Atau hasad dengki semata? Berbeza bukan kerana ilmu atau amalan, tetapi kerana tidak senang melihat yang di sebelah ‘sana’ lebih ramai pengikutnya, lebih banyak hartanya dan lebih tersohor namanya. Alasan perbezaan ilmu Cuma mainan bibir. Yang berkecamuk di dalam hati hanyalah sifat hasad dengki.

Broker kuasa dan harta akan tertawa apabila ulama merelakan diri mereka digunakan sebagai batang kayu pada kapak untuk menebang kayu. Bukankah ulama ialah pewaris para nabi? Maka kepada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sendiri pun sudah diperalatkan oleh yang punya harta dan kuasa? Tidak hairanlah jika ada pihak secara sinis menyindir, satu fatwa berapa harganya?

Perbezaan Yang Merugikan

Pergeseran ulama kini bukan sahaja mengelirukan, bahkan merugikan. Bayangkan seseorang yang baru berjinak-jinak dengan berzikir, tibatiba diterjah oleh ulama dengan kata: “Zikir semacam itu bidaah.” Bagaimana pula reaksi seorang pelajar yang sekian lama belajar ilmu tauhid di sekolahnya menerusi pendekatan tauhid rububiyah dan uluhiyah dianggap sesat oleh ulama A? Pelajar yang belajar tauhid mengikut pendekatan “Sifat Dua Puluh” pula dianggap sesat oleh ulama B.

Jika diteliti, semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah. Masih beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Alangkah baiknya jika pergeseran ini mampu didamaikan. Berbeza tidak semestinya menimbulkan sengketa.

Teladanilah sifat lapang dada Imam Syafii yang pernah berkata: “Pandanganku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga.” Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak tanpa menafikan keyakinan terhadap diri sendiri.

Ikhtilaf Rahmat

Sekalipun ada masanya para ulama zaman dahulu berbeza pendapat, namun masyarakat banyak mendapat manfaat hasil perbezaan ilmu dan hujah dalam kalangan mereka. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. Pertarungan ilmu dalam gelanggang adab ini sangat bermanfaat dalam tradisi budaya ilmu. Pada zaman itu, jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarakat.

Bagi yang sangat menyayangi Imam Syafii, mendakwa sangat berpegang teguh dengan mazhabnya, lihatlah adab Imam yang hebat ini ketika beliau berbeza pandangan dengan gurunya, Imam Malik. Dengan penuh rasa sayang, beliau berkata: “Apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.” Apa kurangnya dengan keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Syafii, yang walaupun mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan gurunya namun masih mengakui: “Demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Syafii.”

Perbezaan para ulama silam benar-benar bersumber daripada hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu dan rasa yang tulus ikhlas kerana Allah semata. Lalu Allah menjaga hati mereka, dan tetap punya rasa cinta walaupun berbeza.

Ayam Sabung

Harapan kita, para ulama janganlah sekali-kali merelakan diri dijadikan ‘ayam sabung’ oleh pihak berkepentingan. Akibatnya, hokum agama akan dijadikan modal untuk mengaut keuntungan duniawi. Ulama menyerang ulama umpama dua ekor gajah yang berjuang. Akibatnya umat menjadi seperti pelanduk yang mati di tengah-tengah.

Sesungguhnya, umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan ulama yang luas ilmunya, tetapi juga jujur lagi amanah sikapnya. Ulama yang bukan hanya petah berhujah dengan al-Quran dan hadis, tetapi juga mempunyai adab dan akhlak. Ulama yang punya kelulusan dan juga ketulusan. Yang hebat dalam pengajian dan pergaulan. Ulama yang tidak hanya mewarisi ilmu, malah akhlak para nabi.

Ulama perlu bebas daripada gamitan harta dan belitan kuasa. Jika ada perbezaan antara mereka, apa salahnya bertemu empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan penuh tenang dan dalam keadaan tertutup. Kata bijak pandai, “people don’t care how much you know until they know how much you care – “manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Lalu, seorang ulama sudah semestinya bersikap prihatin, simpati dan empati ketika menghadapi perbezaan dengan ulama lain!

Wallahu a‘lam.

PAHROL MOHAMAD JUOI

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas