Menu

 

A+ A A-

DI SEBALIK TABIR PENURUNAN WAHYU

SOALAN: Bolehkah ustaz jelaskan tentang wahyu dan bagaimana Allah menurunkannya kepada Nabi Muhammad?

JAWAPAN

Wahyu adalah petunjuk daripada Allah yang diturunkan hanya kepada para nabi dan rasul. Dalam Islam, wahyu adalah pemberitahuan oleh Allah yang diturunkan kepada para nabi-Nya melalui perantaraan malaikat ataupun secara terus tanpa sebarang perantaraan.

Firman Allah:“Demikianlah Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana mewahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan rasul-rasul yang terdahulu sebelummu.” (Surah al-Syura: 3)

“Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutus utusan (malaikat), lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin-Nya apa Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Syura: 51)

Dalam kamus al-Wasit, perkataan “wahyu” adalah kata benda. Sementara bentuk kata kerjanya adalah awha - yuhi, yang merujuk kepada memberitahu dengan cara tersembunyi daripada orang lain.

Seterusnya, perkataan ini berkembang dalam pengertian yang lebih meluas meliputi beberapa makna, antaranya:

1. Perintah

Allah berfirman kepada hamba-Nya iaitu lebah: “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: ‘Buatlah sarangmu di gunung-ganang, pohon-pohon kayu, dan bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia’.” (Surah al-Nahl: 68)

disebalik-tabir-penurunan-wahyu-2

2. Isyarat

“Zakaria berkata: “Wahai Tuhanku, berilah aku suatu tanda.” Allah berfirman: “Tanda bagimu ialah engkau tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga malam, padahal kamu sihat. Maka dia keluar dari mihrab menuju kaumnya, lalu ia memberi isyarat (auha) kepada mereka; hendaklah kamu bertasbih pada waktu pagi dan petang.” (Surah Maryam: 10-11)

Muhammad Abduh pula mendefinisikan wahyu sebagai pengetahuan yang diperoleh seseorang nabi dengan disertai keyakinan bahawa pengetahuan itu datang daripada Allah melalui perantara ataupun tidak. Secara terperincinya, Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa proses penurunan wahyu melalui beberapa peringkat, iaitu:

1. Mimpi yang benar.

Seperti yang berlaku kepada Nabi dan disebutkan dalam hadis sahih. Aisyah berkata: “Sesungguhnya yang mula-mula terjadi kepada Rasulullah adalah mimpi yang benar ketika tidur. Beliau tidak melihat mimpi kecuali mimpi itu akan menjadi kenyataan bagaikan terangnya cahaya pagi hari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut keterangan daripada pelbagai rujukan, kita dapat memahami bahawa Rasulullah menerima wahyu dengan cara mimpi sebagai persiapan baginya untuk menerima wahyu dalam keadaan sedar.

2. Dimasukkan ke dalam hati Baginda tanpa dilihat olehnya.

Ini berdasarkan hadis sahih yang bermaksud: “Sesungguhnya Ruhul Qudus telah meniupkan ke dalam hatiku bahawasanya seseorang itu takkan mati sehingga rezekinya telah sempurna.” (Riwayat al-Tabarani)

3. Malaikat menyerupai seseorang lelaki.

Baginda akan berbicara dengannya sehingga dapat difahami oleh Baginda. Malaikat datang dalam rupa seorang lelaki yang sangat elok paras rupanya seperti rupa seorang sahabat yang bernama Dihyah al-Kalbi. Kedatangan wahyu seperti ini pernah disaksikan oleh para sahabat contohnya ketika Jibril datang dan bersoal jawab dengan Nabi tentang iman, Islam dan ihsan.

4. Wahyu datang kepada Nabi seperti dentingan loceng dan suara yang amat kuat.

Ini adalah kaedah yang paling berat bagi Nabi. Apabila wahyu turun kepada Rasulullah dengan cara ini, ia memerlukan segenap kekuatan Baginda untuk menerima, memahami dan menghafalnya. Bayangkan betapa beratnya penerimaan wahyu begini hinggakan tunggangan Nabi pun terduduk di atas tanah.

Ibn Hajar berpendapat kemungkinan suara loceng inilah yang ditafsirkan oleh Umar al-Khattab sebagai bunyi dengungan lebah. Ia juga mungkin merujuk kepada kibaran kepak sayap-sayap malaikat. Ia diisyaratkan dalam hadis: “Apabila Allah menghendaki suatu urusan di langit, maka para malaikat memukul-mukulkan sayapnya kerana tunduk kepada firman-Nya bagaikan gemerencing mata rantai di atas batu-batu yang licin.” (Riwayat al-Bukhari) Kata Ibn Hajar lagi, bunyi loceng ini hanyalah suatu tamsilan. Sudah pasti ia tidak sama dengan bunyi loceng yang menyebabkan jauhnya malaikat rahmat jika ia berada dalam sesebuah rumah.

5. Malaikat menyampaikan perintah Allah kepada Baginda dalam rupa bentuk asal.

Menurut apa yang dinyatakan oleh para ahli tafsir termasuk Ibn Kathir dalam tafsirnya, Aisyah berkata bahawa Nabi telah melihatnya sebanyak dua kali. Salah satunya semasa di Ajyad iaitu Baginda melihatnya mempunyai enam ratus sayap memenuhi ufuk. Dalam riwayat oleh Imam Ahmad pula, Nabi menyaksikan Jibril dengan keadaan yang sebenar semasa berada di Sidratul Muntaha dan sayapnya memenuhi timur dan barat.

6. Disampaikan oleh Allah terus kepada Baginda.

Menurut Ibn al-Qayyim, perkara ini berlaku semasa Baginda memohon keringanan daripada lima puluh waktu solat kepada lima waktu. Allah berbicara kepada Nabi secara langsung tanpa ada perantaraan.

Wallahu a‘lam.

DR. HJ. ZAHAZAN MOHAMED

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas