Menu

 

A+ A A-

IMEJ DIRI MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA

Soalan: Seorang ayah yang panas baran takut sikapnya berjangkit kepada anak-anak. Bagaimana cara mengubah diri menjadi ayah yang baik dan soleh?

Itulah imej diri yang kita nampak dalam diri kita. Jika imej kita seorang pemenang, baik, soleh dan sebagainya, maka imej diri kita akan menjadi positif dan ia akan membentuk sikap kita. Perlu disedari bahawa setiap apa yang dilakukan oleh manusia berdasarkan “blue print” iaitu pelan atau rangka kehidupan yang wujud dalam diri mereka sendiri. Apabila imej diri seseorang itu baik, maka tindak balas tubuh badan akan cenderung ke arah melakukan kebaikan. “Blue print dalam diri kita, membentuk pemikiran di minda. Oleh itu, “blue print” yang baik menguatkan minda lebih daripada fizikal. Ini kerana tingkahlaku fizikal menjalankan apa yang disuruh oleh minda.

Faktor dalaman sangat penting pada diri seseorang kerana ia menentukan faktor luaran seseorang. Jika seseorang berfikiran positif seperti percakapan, perasaan dan emosi, semua tindak balas yang dilakukan oleh tubuh badan kita akan memberi kesan pada dunia luaran. Contohnya jika kita memberi senyuman, orang akan senyum kepada kita tetapi jika kita marah, orang akan memarahi kita pula.

Kebanyakan manusia yang tidak berjaya dalam kehidupan selalunya suka menyalahkan diri sendiri, merungut dan berfikiran negatif. Untuk mengatasai perkara ini, perlulah memperbetulkan imej diri, blue print, paradigm ke arah positif agar mendapat kejayaan untuk berubah dalam kehidupan. Selagi seseorang itu tidak mahu berubah, maka imej diri tidak akan berubah dan dunia mereka juga tidak akan berubah.

Setiap apa yang dilakukan perlulah kita yakin dengan Allah s.w.t. sebagai penentu segala-galanya. Yakinlah bahawa Allah s.w.t akan membantu setiap apa yang dilakukan jika kita bersangka baik kepada-Nya dan akan dipermudahkan segala urusan kita. Apabila kita merasa sesuatu perkara itu dibuat dengan mudah, maka emosi dan tindak balas fizikal akan bertindak dengan penuh keyakinan dan dengan mudah kita akan mencapai kejayaan dalam kehidupan.

imej-diri-membentuk-keluarga-bahagia-1

Untuk membentuk imej yang baik, perlulah dimulakan sejak usia kanak-kanak lagi iaitu dengan memastikan apa yang didengar, dilihat dan dialami pada masa kecil semuanya ialah perkara-perkara yang baik. Pada usia 0-6 tahun, minda segar kanak-kanak terbuka luas dan ia akan mengikut apa sahaja yang dilakukan oleh ibu bapanya. Oleh itu, jika ingin membentuk anak yang baik, maka tunjukkanlah imej diri yang baik di hadapan mereka sekaligus akan membentuk diri seorang insan yang penuh kebaikan apabila dewasa nanti.

Manusia tidak boleh berubah melainkan diri mereka sendiri melakukan perubahan. Oleh itu, ubahlah diri sendiri dengan menunjukkan sikap yang baik supaya orang di sekeliling kita terutamanya anak-anak akan nampak kita seorang yang baik dan patuh dengan perintah Allah, maka hidup kita akan diberkati seterusnya diberi rezeki yang melimpah ruah, hidup bahagia dan sebagainya oleh Allah s.w.t. Selain itu bertanyalah kepada diri sendiri adakah ramai orang menyayangi diri kita? Jika ramai orang yang tidak sayang atau tidak suka pada kita, maka kita perlu membetulkan diri kita dahulu.

Perubahan kepada minda amat penting untuk merubah kehidupan kita seluruhnya. Jika kita dapat merubah diri ke arah kebaikan, maka insya-Allah diri dan keluarga kita akan terbentuk dalam suasana yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan, seterusnya membentuk sebuah masyarakat dan ummah yang kuat.

Sebagai kesimpulan, ingin saya nyatakan bahawa imej diri amat penting dalam diri seseorang kerana ia membentuk sahsiah dalam diri mereka. Jika imej yang ditunjukkan baik, maka baiklah pembentukan akhlaknya, tetapi jika sebaliknya buruklah akhlaknya. Oleh itu jagalah sikap kita ke arah kebaikan agar disayangi Allah s.w.t. dan insya-Allah disayangi oleh manusia dan makhluk Allah yang lainnya. Wallahua’lam.

imej-diri-membentuk-keluarga-bahagia-2

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.1


Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas