Menu

 

A+ A A-

NASIHAT UNTUK KEBAIKAN UMUM

Jarir bin Abdillah al-Bajali (wafat 51H) seorang sahabat Nabi s.a.w. yang sangat elok paras rupanya. Malah Umar bin al-Khattab pernah menyebutnya  sebagai “Nabi Yusuf” umat ini. 

Jarir masuk Islam pada tahun 10H di Madinah dan mengucap baiah (sumpah setia) kepada Rasulullah s.a.w. dan beliau berkata,  Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w. untuk selalu mendirikan solat, membayar zakat dan memberi nasihat terhadap setiap Muslim.” Alhamdulillah, sampai akhir hayatnya, Jarir tetap berpegang teguh dengan tiga janji yang diucapkannya itu. 

Imam al-Tabarani dalam Mu’jam al-Kabir meriwayatkan bahawa pada suatu hari Jarir pergi ke pasar dengan pembantunya untuk membeli seekor kuda. Setelah melihat kuda yang diingininya, Jarir memerintahkan supaya membelinya. Pembantunya dan pemilik kuda sepakat dengan harga tiga ratus dirham, lalu mereka mendatangi Jarir untuk mengambil wang yang disepakati.

Jarir bertanya, “Berapa harganya?” Pemilik kuda berkata, “Tiga ratus dirham.” Jarir ber kata, “Kuda ini bernilai lebih daripada itu.” Orang itu bertanya, “Berapa harganya menurutmu?” Jarir berkata, “Kamu harus men jualnya antara 500 hingga 800 dirham.” Lalu ia memberikan jumlah itu kepada pemilik kuda tersebut. Ketika ditanya mengapa beliau melakukan hal itu, Jarir menjawab, “Saya berjanji kepada Rasulullah s.a.w. untuk selalu menasihati kaum Muslimin.”

Agama adalah Nasihat 

nasihatLazimnya kita selalu memahami nasihat hanya sebagai kata-kata saranan, usulan atau kritikan pedas yang disampaikan kepada orang lain. Bahkan sebahagian daripada kita sukar membezakan antara nasihat dan celaan. Padahal sebenarnya, nasihat berasal daripada perkataan bahasa Arab al-nush yang bermakna “ketulusan, keikhlasan dan bersih daripada kekotoran.” 

Dari sudut bahasa, madu yang “nasih” ialah madu yang telah benar-benar bersih dari campuran benda lain. Ibn Manzur dalam Lisanul ‘Arab berkata, “Setiap sesuatu yang terlepas (daripada kotoran) bererti ia telah beroleh nasihat.” 

Jika kita temui kata “nasihat” dalam teks-teks al-Quran dan hadis, maka maknanya adalah menghendaki kebaikan untuk pihak lain. Al-Khattabi dan Ibn al-Atsir berkata, “Nasihat adalah sebuah kata yang mengungkapkan keinginan agar orang lain mendapat kebaikan.” 

Jadi, nasihat itu lebih luas daripada sekadar ata-kata usul, bahkan meliputi segala perlakuan dan perbuatan yang bertujuan memberi kebaikan untuk orang lain. 

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Tamim al-Dari, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Agama ini nasihat.” Para sahabat bertanya, “Nasihat untuk siapa, ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Untuk Allah, rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin dan orang-orang awam dalam kalangan mereka.” 

Dengan tafsiran nasihat di atas, kita dapat memahami bahawa hadis ini menjelaskan hakikat agama Islam. Inti pati agama ini ialah memberikan ketulusan hati kepada Allah, Rasulullah dan seluruh kaum Muslimin, juga menginginkan kebaikan bagi mereka semua. 

Merujuk kepada “nasihat untuk Allah dan Rasul-Nya” bererti meletakkan kedua-duanya pada  kedudukan yang sentiasa ditaati dan segala perintah-Nya tidak dilanggar. Sebab ketaatan merupakan kebaikan yang Allah dan Rasul-Nya sukai, sementara kemaksiatan merupakan perkara yang dibenci. 

Dalam hal ini, orang yang memberi nasihat kepada Allah dan Rasul-Nya adalah untuk memastikan hukum Allah diterapkan dengan baik di dunia ini. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Umamah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Allah berfirman: Ibadah yang paling utama yang dilakukan hamba-Ku ialah memberi nasihat untuk-Ku.” 

Memberi nasihat untuk para pemimpin Muslim bererti memberi perhatian agar mereka dalam reda Allah, ditaati oleh rakyat dan membantu mereka mewujudkan keadilan di masyarakat. Para ulama seharusnya berdiri di hadapan seorang pemimpin negara dan mengungkapkan kebenaran atas dorongan sikap nasihat itu. 

Imam Ahmad bercerita tentang seorang ulama Madinah, Ibn Abi Dzi’b (wafat 157H): Beliau lebih warak dan lebih berani menegakkan kebenaran daripada Imam Malik. Beliau pernah ke istana Khalifah Abu Ja’far al-Mansur, lalu tanpa takut beliau berkata: “Kezaliman telah bermaharajalela di depan pintumu. Padahal Abu Ja’far adalah Abu Ja’far.” Ungkapan itu memberi maksud, meski pun Abu Ja’far raja yang sangat keras dan kuat, namun  dia takut dalam membanteras kezaliman.

Nasihat untuk Kaum Muslimin 

Berlainan pula nasihat untuk orang awam dalam kalangan kaum Muslimin, kerana ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara, salah satunya seperti perbuatan Jarir di atas. Perbuatan seperti ini pernah dilakukan juga oleh seorang imam tabiin di Basrah yang bernama Yunus bin ‘Ubaid al-‘Abdi (wafat 139H). Selain seorang ulama, Yunus juga terkenal sebagai saudagar sutera. Dalam pekerjaannya membeli sutera dari seseorang, dan kemudian menjualnya untuk manfaat orang lain. 

Suatu hari seorang perempuan datang kepadanya sambil membawa sepotong baju sutera. Yunus bertanya, “Engkau hendak menjual berapa harga baju ini kepadaku?”  perempuan itu menjawab, “Enam ratus.” Yunus berkata, “Harga baju ini lebih daripadaitu.” Perempuan itu berkata lagi, “Tujuh ratus?” Yunus berkata, “Sepatutnya harga lebih daripada itu.” Mendengar itu dia terus meningkatkan harganya hingga mencapai seribu. Lalu Yunus memberikan wang tersebut kepadanya. 

Imam Ali bin al-Husein bin Ali bin Abi Talib yang terkenal dengan gelaran Zain al-‘Abidin (wafat 94 H) memberi nasihat kepada orang awam dengan cara yang lain. Setiap malam beliau memikul makanan di atas belakangnya, lalu diagihkan ke pintu-pintu rumah para fakir miskin dan janda-janda tua. Tiada siapa yang mengetahui mengenai hal itu, selain dirinya dan Allah s.w.t. Ibn Ishaq berkata, “Sekelompok orang di Madinah dapat hidup senang tanpa mengetahui sumber rezeki yang mereka peroleh setiap hari. Tetapi setelah Ali bin al-Husein meninggal dunia, mereka tidak lagi mendapati makanan setiap malam di hadapan rumah mereka.” 

Sufyan bin ‘Uyainah (wafat 198H) pernah berkata, “Berilah nasihat untuk kebaikan makhluk Allah. Kamu tidak akan bertemu Allah  dengan amal ibadah yang lebih baik daripada perbuatan itu. Namun andainya malaikat turun dari langit dan memberitahuku bahawa semua orang akan masuk syurga kecuali diriku, aku akan reda dengan hal itu.”

Manakala Imam al-Syafii (wafat 204H), salah seorang muridnya, Ibn ‘Uyainah, berkata,  “Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang melainkan dia sertai dengan nasihat.” Dia berkata lagi, “Setiap kali aku berdebat dengan seseorang, aku selalu berharap agar Allah membantunya dan memberinya taufik.” Berbeza dengan kita yang selalu berharap agar lawan kita alpa dan keliru, supaya kita dapat mengalahkannya dengan mudah.

Selain itu, termasuk juga nasihat ialah perbuatan menunjukkan kepada seseorang kesalahan dan kekurangan dirinya agar ia tergerak untuk memperbaiki diri. Namun nasihat yang satu ini memerlukan adab kesopanan yang tinggi sehingga tujuannya benar-benar tercapai. Nasihat yang disampaikan tanpa adab yang benar hanya akan menimbulkan salah faham bahkan perlawanan yang diikuti perpecahan.

Salah satu adabnya ialah tidak menyampaikan nasihat itu di hadapan orang lain atau orang ramai, sebab perbuatan itu hanya akan membuatnya malu. Sehingga dia bukan sahaja tidak menerima nasihat itu, malah membencinya.

nasihat1Fudhail bin ‘Iyadh (wafat 187H) berkata, “Seorang Mukmin menutupi kesalahan seseorang lalu menasihatinya. Tetapi seorang pembuat dosa mengisytiharkan lalu mencelanya.” 

Imam al-Syafii berkata, “Barang siapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka dia benar-benar menasihatimu. Dan sesiapa yang menasihatimu di depan umum, maka sebenarnya dia sedang menghinamu...” 

Adab ini sangat dianjurkan terutama ketika menasihati pihak yang lebih tinggi dan berkuasa. Kerana orang yang dibiasakan dengan dihormati, agak sukar untuk menerima nasihat, apalagi jika disampaikan dengan cara yang tidak sopan. 

Ibn Abbas ketika ditanya tentang melakukan amar makruf nahi munkar kepada penguasa, ia menjawab, “Jika kamu hendak melakukannya juga, maka lakukanlah (yakni ketika tidak ada orang lain selain) kamu berdua.”

Satu hal yang harus diingat, seorang pemberi nasihat sebaiknya terlebih dahulu memeriksa dirinya sebelum memberi nasihat; apakah dia menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati itu atau mengharapkan kebaikan untuk dirinya sendiri? 

Jika seseorang itu rasa berbangga ketika nasihat diterima atau marah ketika ditolak nasihatnya, maka itu petanda ia tidak ikhlas. Sesungguhnya orang yang ikhlas kerana Allah tidak akan marah jika kata-katanya tidak didengari. Mungkin dia Cuma melahirkan rasa sedih, namun tidak ada alasan untuk marah..

 

 

Umar M Noor

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas