Menu

 

A+ A A-

SUAMI IMPOTENS

DALAM pemahaman masyarakat Melayu, lelaki dewasa yang tidak mampu mencapai ketegangan zakar atau ereksi dengan rangsangan seksual dikatakan mengalami mati pucuk.

Mereka yang mengalaminya pada peringkat awal dikenali sebagai penderita lemah tenaga batin. Istilah perubatan moden menyebut mati pucuk sebagai impotens (impotency), manakala istilah disfungsi erektil pula untuk lemah tenaga batin (erectile dysfunction).

Namun secara umum, kesemua istilah tersebut merujuk kepada permasalahan yang berkaitan dengan ketidakupayaan yang berterusan seseorang lelaki itu untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan yang secukupnya bagi menghasilkan satu aktiviti seks yang memuaskan. Dalam masalah impotens ini, kebiasaannya lelaki tersebut tidak berupaya untuk melakukan persetubuhan.

Untuk mengetahui dan mengenal pasti bahawa seseorang suami itu menderita impotens atau tidak, maka si isteri perlulah memberi tempoh sekurang-kurangnya dalam jangka waktu satu tahun.

Ini kerana ketidaksanggupan bersetubuh daripada pihak suami itu ada kalanya disebabkan oleh suasana seperti cuaca panas yang berkemungkinan akan kembali bersemarak libidonya pada musim dingin. Ada kalanya pula disebabkan oleh ketidakselesaan pada cuaca sejuk atau dingin, maka berkemungkinan kembali normal pada musim yang agak panas. Dan terkadang pula disebabkan oleh musim kemarau, maka boleh jadi ia akan lenyap pada musim tengkujuh. Dan boleh juga terjadi kerana musim tengkujuh, maka dapat disembuhkan pada musim kemarau.

Maka apabila seseorang suami yang telah melalui empat musim ini (iaitu dalam masa setahun) namun masih tidak dapat melakukan persetubuhan, barulah boleh dikenal pasti bahawa si suami itu mempunyai masalah impotens yang dalam bahasa Arab disebut ‘Unnah (lelaki yang impotens disebut ‘innien).

Al-Bajuri ada mengutarakan pengalaman serta pendapat para ulama tentang impotens, dalam Hashiyahnya atas Fath al-Qarib, jil. 2, hlm. 117, seperti berikut: “Dan sebahagian daripada apa yang pernah dijelaskan oleh para ulama, bahawa seorang lelaki terkadang mati pucuk terhadap seorang wanita dan tidak mati pucuk terhadap wanita lain.”

Dalam kes ini, perceraian fasakh (pembubaran perkahwinan atas arahan mahkamah) ialah penyelesaian yang boleh dipohon oleh puan atas alasan kegagalan suami memberikan nafkah batin tersebut.

Dalam peruntukan Seksyen 52 Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam (Negeri Perlis) 1999, menyatakan bahawa seorang perempuan yang telah berkahwin mengikut hukum syarak berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut:

  1. Bahawa suami tidak diketahui tempat tinggalnya selama lebih daripada setahun.
  2. Bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh lebih daripada tiga bulan.
  3. Bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
  4. Bahawa suami telah tidak menunaikan kewajipan perkahwinan (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.
  5. Bahawa suami telah mati pucuk sejak masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk.
  6. Bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit.
  7. Bahawa apabila isteri dikahwinkan, dia belum mencapai umur 16 tahun dan dia menolak perkahwinan tersebut sebelum dia berumur 18 tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya.
  8. Bahawa suami telah menganiaya isteri.

Dalam hal suami menganiaya isteri, boleh bermaksud bahawa:

  1. Suami telah sentiasa lazim menyakiti atau telah menjadikan kehidupan isteri menderita; atau
  2. Suami telah berkawan dengan wanita yang tidak baik mengikut hukum syarak; atau
  3. Suami telah memaksa isteri hidup secara lucah; atau
  4. Suami telah melupuskan harta isteri atau melarang isteri daripada menggunakan haknya ke atas harta tersebut; atau
  5. Suami menghalang isteri daripada menjalankan kewajipan atau amalan agama; atau
  6. Bagi suami yang berpoligami, dia telah tidak melayani isteri secara adil menurut hukum syarak.
  7. Bahawa walaupun belum empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi kerana suami telah enggan bersetubuh dengan isteri.
  8. Isteri tidak merestui perkahwinan antara mereka, sama ada kerana isteri telah dipaksa untuk berkahwin, suami tidak sempurna akal atau perkara lain yang diakui hukum syarak.
  9. Isteri menghadapi penyakit kurang siuman.
  10. Apa-apa alasan yang diiktiraf sah bagi membubarkan perkahwinan di bawah hukum syarak.

Puan boleh memfasakhkan perkahwinan puan sebagaimana termaktub dalam Seksyen 52 tersebut dengan sebab suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk.

Walaupun syarak memberikan hak khiyar atau hak memilih untuk minta difasakh pernikahannya daripada seorang suami yang ternyata ‘innien (seorang yang impotens), tetapi perlu meneliti beberapa syarat:

1. Memberi tempoh satu tahun kepada suami puan sambil mengikhtiarkan pengubatan.

2. Suami puan belum pernah sekalipun bersetubuh dengan puan.

Jika sejak awal pernikahan si suami sudah pernah sekali (atau lebih) melakukan persetubuhan dengan kemampuannya, kemudian setelah tempoh tertentu sesudah itu barulah datang kelemahannya, maka tidaklah ada lagi khiyar atau hak memilih si isteri itu untuk minta difasakhkan.

Jika seorang isteri ingin fasakh nikahnya (setelah cukup syarat di atas), maka hendaklah diuruskan dengan pihak Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah dengan kadar segera, kerana khiyar ini ialah khiyar ‘aib. Tersebut dalam Hashiyah al-Bajuri jil. 2, hlm. 117, seperti berikut:

“Dan tidak dapat tidak bahawa  impotens itu sebelum jimak. Maka tidak ada khiyar dengan impotens sesudah jimak, walaupun sekali. Kerana wanita itu pernah sampai kepada yang dituntutnya dan telah diketahuinya dengan demikian itu akan pernah mampunya atas jimak serta dapat diharapkan hasil kesembuhan dengan hilangnya impotens dan kembali daya rangsang untuk bersedap-sedap kembali.”

Dalam konteks situasi puan yang bertanya, maka solusi ringkasnya adalah seperti berikut:

Hendaklah puan membantu dan cuba berkongsi penderitaan suami terlebih dahulu dan janganlah sekali-kali bercita-cita untuk mencari kepuasan sendiri atau mengadakan sebarang hubungan gelap dengan lelaki lain. Isteri yang solehah akan sentiasa berusaha membantu
suaminya dalam mengikhtiarkan penyembuhan daripada deritanya itu.

Apabila telah sampai kepada tempoh setahun, maka buatlah pengaduan atau boleh terus dapatkan borang permohonan fasakh yang boleh didapati dari kaunter pendaftaran mahkamah syariah. ¤

LELAKI2

Oleh Ustaz Badli Shah Alauddin
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 


 

Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas