Menu

 

A+ A A-

RAMUAN BUAT PENDAKWAH

PEDOMAN daripada Nabi dan Rasul

SAYA selalu membayangkan diri saya sebagai seorang pendakwah dalam masyarakat. Jadi ada saja perancangan untuk saya lakukan. Namun membuat kerja dakwah tidak seindah yang dibayangkan. Sekali-sekala saya dirundung perasaan kecewa dan putus asa. Mohon nasihat daripada ustaz?

Tiadalah pedoman terbaik buat pendakwah selain daripada sirah dan dakwah para nabi dan mursalin (para rasul). Ia amat relevan sekali untuk ditelaah dalam rangka pemantapan dan haluan para pendakwah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan semua kisah-kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu. Dan telah datang kepadamu dalam kebenaran ini pengajaran serta peringatan bagi orang yang beriman.” (Surah Hud 11: 120)

Namun perlu diingatkan, siri perutusan para nabi dan rasul tidak seharusnya dilihat secara fragmented (terpisah, tidak berkaitan antara satu sama lain). Malah ia sepatutnya dilihat sebagai satu rangkaian yang mempunyai kesinambungan dan risalah Muhammad s.a.w. sebagai penutupnya. Kisah para rasul dalam al-Quran tidak disajikan sebagai antologi mitos atau legenda buat penglipur lara. Ia juga bukannya sekadar rakaman episod generasi silam yang sudah ditelan zaman dan sudah tidak relevan lagi. Bahkan ia khazanah pengajaran dan teladan, durus wa ‘ibar, hidayat dan nasihat, huda wa mau’izah. Atas dasar inilah Rasulullah s.a.w. sendiri telah diperintahkan oleh Allah agar meneladani perjalanan hidup para anbiya’ dan mursalin sebelum Baginda.

Firman Allah yang bermaksud: “Mereka itulah orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka.” (Surah al-An‘am 6: 90)

ramuan-buat-pendakwah-1

Menentukan Inti Pati Dakwah

Sebut tentang dakwah para rasul, apakah isi dakwah yang dibawa oleh mereka kepada masyarakat sebenarnya? Adakah isi bahan dakwah kita pada hari ini mesti sama dengan mereka?

Pendakwah sebagai orang yang meneruskan dakwah para nabi dan rasul, mesti beristiqamah membawa pesanan yang berteraskan akidah tauhid yang murni dan tulen. Sebenarnya seruan supaya mengesakan Allah itulah yang menjadi tunjang dakwah mereka. Risalah Islam tidak boleh sesuka hati diubah suai mengikuti selera dan kemahuan audien. Al-Haq ialah kebenaran yang diwahyukan Allah, bukan karya gubahan manusia.

Menyedari hakikat ini para pendakwah harus berusaha meningkatkan kualiti dan prestasinya, menguasai dan menghayati fiqah dakwah dengan segala kaedah, uslub, tatasusila dan kod etikanya. Ini kerana sebagai satu amal islami yang penting, dakwah ada fiqah tersendiri yang harus dipelajari dan dipatuhi oleh semua para pelaksananya. Bagaimanapun ini tidak pula bererti bahawa pendakwah harus mengabaikan persoalan-persoalan lain yang wujud dalam realiti zaman dan lingkungan kita. Sebenarnya jika diteliti, para nabi dan rasul secara umumnya bukan berjuang menegakkan akidah semata-mata. Bahkan mereka turut aktif menangani persoalan-persoalan khusus yang timbul dalam realiti zaman dan persekitaran masing-masing.

Para Nabi Menangani Isu Semasa

Boleh ustaz berikan perincian berkenaan kenyataan para nabi turut menangani isu-isu semasa umat mereka.

Contohnya Nabi Lut a.s. menangani masalah kerosakan moral kaumnya yang membudayakan hubungan seks sejenis. Firman Allah yang bermaksud: “Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka: ‘Mengapa kamu mengerjakan perbuatan fahisah itu yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu, bukan kepada wanita. Bahkan kamu kaum yang melampaui batas.’ Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: ‘Usirlah mereka (Lut dan pengikut-pengikutnya) dari kota kamu! Sesungguhnya mereka ialah orang yang berpura-pura menyucikan diri” (Surah al-A‘raf 7: 80-82)

Nabi Syuaib a.s. pula menangani masalah etika dalam perniagaan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan (Kami telah mengutus) kepada penduduk Madyan saudara mereka Syuaib. Ia berkata: ‘Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata daripada Tuhanmu. Maka sempurnakanlah takaran dan timbangan serta janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang takaran dan timbangannya. Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika betul-betul kamu orang yang beriman.” (Surah al-A‘raf 7: 85)

Manakala Nabi Yusuf a.s. menangani masalah kegawatan ekonomi negara. Firman Allah yang bermaksud: “Berkata Yusuf: ‘Jadikanlah aku bendahara negara (Mesir). Sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan.’” (Surah Yusuf 12: 55).

Nabi Musa a.s. pula menangani masalah penindasan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas 28: 4)

Demikianlah manhaj dakwah para nabi dan rasul yang menggabungkan dakwah ila tauhidillah dengan islah al-Mujtama’ -mentauhidkan Allah dan sekali gus membangunkan masyarakat. Selamat memperhebatkan dakwah!

Ustaz Badli Shah Alauddin
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas