Menu

 

A+ A A-

DUA JENIS ILMU

Pada akhir kelas Tilawah dan Tafsir al-Quran tadi, seorang pelajar bertanya: “Ustaz, apa perlunya kita bermazhab?”

Saya jawab dengan sebuah analogi: “Andaikan ketika sedang bercucuk tanam di halaman rumah, tiba-tiba kita dapati minyak mentah keluar membuak-buak dari tanah yang dicangkul. Bolehkah kita terus masukkannya ke dalam tangki kereta?”

Pelajar membalas: “Sudah pasti kereta kita akan rosak!”

Lalu saya menambah: “Lebih tepat, kita akan minta syarikat minyak yang memiliki kepakaran seperti Petronas terlebih dahulu memproses minyak tersebut sebelum kita gunakan.

dua-jenis-ilmu-1

“Begitulah juga al-Quran dan sunnah yang kita boleh samakan seperti bahan mentah yang perlu diproses terlebih dahulu. Tanpa diproses, ubat dan panduan daripada al-Quran dan sunnah akan sukar difahami.

“Maka, para ulama yang memiliki kepakaran dengan ilmu-ilmu Islam mengambil langkah memproses bahan mentah Islam untuk membantu orang awam seperti kita mengenali Islam. Usaha memproses bahan mentah daripada sumber Islam itulah dinamakan mazhab.

“Sekiranya kita sudah memiliki segala kepakaran yang diperlukan untuk memahami dan memproses sumber-sumber Islam, maka kita tidak lagi memerlukan mazhab.

“Persoalannya, adakah kita benar-benar mampu?!”

dua-jenis-ilmu-2

Kesimpulan dan Pengajaran:

Para ulama membahagikan ilmu kepada dua jenis:

1. Ilmu kasbi (yang diusahakan dengan pembelajaran). Setiap manusia wajib menuntut ilmu kerana mereka dilahirkan jahil tanpa ilmu sebagaimana firman Allah: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl: 78)

2. Ilmu wahbi (ilmu anugerah setelah seseorang yang menuntut ilmu menguasai asas penting dalam agama). Dialog di atas adalah suatu contoh ilmu wahbi atau mawhub yang diilhamkan Allah untuk memudahkan orang awam memahami kepentingan mazhab. Ilmu wahbi bukanlah suatu ilmu baru kerana Islam sudah disempurnakan dengan penurunan ayat 3 surah al-Ma’idah. Asas kepada ilmu ini ialah firman Allah yang bermaksud: “Dan bertakwalah kepada Allah; maka Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 282)

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas