Menu

 

A+ A A-

ALAM SEMESTA BERTAWAF

Bagi sesiapa yang meminati dunia astronomi pasti mendapati bahawa semua objek di cakerawala seperti planet, meteoroid, bulan dan matahari beredar atau bergerak dalam paten tertentu yang sama. Adakah hal ini ada penjelasannya dalam al-Quran?

Jawapan :

bumiKajian saintifik telah membuktikan bahawa semua kehidupan di alam semesta ini bergantung kepada konsep revolusi ataupun peredaran. Bumi beredar mengelilingi matahari. Bulan pula beredar mengelilingi bumi. Sistem solar juga beredar mengelilingi pusat galaksi dan galaksi beredar mengelilingi sesuatu tetapi tiada dalam pengetahuan kita lagi.

Sebenarnya konsep ini bukan sahaja wujud di angkasa lepas tetapi juga dalam kehidupan di bumi termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan, cecair, pepejal dan sebagainya. Bahkan sel-sel di dalam badan kita juga beredar seperti sel sitoplasma yang beredar mengelilingi nukleus.

Menurut para ahli astronomi, konsep ini dikira sebagai hukum alam semesta atau disebut dengan istilah undang-undang kosmik (law of cosmic). Hukum ini menetapkan bahawa semua perkara yang berputar dan beredar di bumi dan angkasa lepas melawan arah jam (counter clockwise). Sebenarnya konsep ini sama dengan konsep tawaf.

Allah berfirman mafhumnya: “Dan Dialah yang telah menjadikan malam dan siang serta matahari dan bulan. Tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing.” (Surah al- Anbiya’: 33)

Berdasarkan ayat di atas, Allah menceritakan bahawa objek-objek di cakerawala ini beredar di tempat edaran masing-masing Objek-objek di angkasa lepas ini sama seperti para jemaah haji yang beredar mengelilingi Kaabah.

Di sini dapat kita lihat satu keajaiban dalam ibadat dan undang-undang semula jadi alam yang membuktikan bahawa Allah yang mencipta dunia ini, bukannya dunia ini terjadi dengan sendirinya.

Kuasa Lawan Arah Jam

Soalan :

bumi 1Jika begitu hukum alam yang Allah tetapkan, saya terfikir mesti ada kebaikan jika mengaplikasikan konsep pergerakan lawan arah jam dalam kehidupan. Apa pandangan ustaz?

Jawapan :

Ya. Namun pada zaman ini, pergerakan melawan arah jam boleh dianggap sebagai perkara pelik. Kebanyakan manusia hari ini mengaplikasikan pergerakan mengikut arah jam.

Padahal hakikatnya pergerakan melawan arah jam itu ialah fitrah dan undang-undang semula jadi alam. Dari sebesar-besar objek seperti galaksi kepada sekecil-kecil objek seperti elektron di dalam atom juga bergerak melawan arah jam.

Gerakan melawan arah jam ini memberikan banyak kebaikan daripada pelbagai segi. Mengapakah Kaabah dianggap pusat spiritual orang yang beriman? Mengapakah pusingan tawaf itu sebanyak tujuh kali?

Kaabah dianggap sebegitu kerana aktiviti tawaf itu sendiri. Hal ini kerana gerakan tawaf yang melawan arah jam itu menghasilkan satu gelombang elektro magnetik yang sangat kuat dan menjadikan Kaabah sebagi pusat tenaga yang sangat besar.

Setiap orang Islam di dunia ini akan menghadap ke kiblat iaitu Kaabah ketika menunaikan solat dan solat memancarkan tenaga yang positif. Tenaga-tenaga yang dipancarkan ini semuanya akan berpusat di Kaabah.

Pusingan tawaf yang berjumlah tujuh kali itu pula sebenarnya menandakan sesuatu yang tidak terhad. Profesor Thomas Djamaluddin, seorang professor lulusan Department of Astronomy, Universit Kyoto, Jepun menyatakan bahawa simbol tujuh bererti alam semesta ini bergerak secara terus menerus.

Oleh sebab itu, Islam menggalakkan kita memulakan sesuatu perkara dengan bahagian kanan. Ini kerana terbukti bahawa memulakan sesuatu dengan bahagian kanan dan melawan arah jam sangat baik bukan dari segi luaran sahaja bahkan dalaman badan kita. Di samping itu ia merupakan satu sunnah Rasulullah.

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Fauzi Abdul Hamid

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid

Lulusan B.A dalam Usuluddin dan M.A dalam Ulum Hadis di Universiti Faisalabad, Pakistan. Kini bertugas sebagai editor syariah di jabatan penerbitan Telaga Biru Sdn.Bhd. Aktif dalam berdakwah di masjid dan surau. Antara guru beliau Syeikh Tariq Jamil iaitu ulama besar Pakistan dan Syeikh Ubaidillah (mufti). 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas