Menu

 

A+ A A-

TIDAK SELAMANYA MENTARI BERSINAR

SELAGI mentari masih meminjamkan sinarnya, Dirimu masih punya ruang untuk mendapatkan cinta-Nya.

Matahari adalah sebiji bintang yang besar. Ia kelihatan seperti bola yang sangat panas dengan api yang marak. Saiz matahari begitu besar sehingga mampu memuatkan 1.3 juta saiz planet bumi. Kepanasan dan cahaya daripada bola api yang besar ini mampu merentas jarak sejauh 149.6 juta kilometer untuk sampai ke bumi dan menjadi sokongon utama kepada kehidupan di bumi.

Bukan itu sahaja, matahari merupakan asas penting dalam pembentukan sistem suria dan bumi juga adalah salah satu planet dalam sistem suria tersebut. Mengikut jarak antara planet dari matahari, maka bumi berada di kedudukan ketiga. Ini menunjukkan kedudukan bumi yang begitu dekat dengan matahari. Jelaslah di sini, hubung kait yang begitu rapat antara matahari dan bumi.

Justeru, manusia semenjak wujud di atas muka bumi ini mempunyai pelbagai persepsi terhadap matahari antaranya, menganggapnya tuhan dan menjadikannya falsafah serta motivasi hidup. Tahukah anda? Di dalam al-Quran juga turut terdapat satu surah yang dinamakan dengan surah Matahari iaitu al-Syams, surah ke-91. Di dalam ayat pertama surah ini, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: “Demi matahari dan cahayanya di pagi hari.”

Dalam ayat ini Allah bersumpah dengan matahari dan cahaya matahari. Mengapakah Allah bersumpah dengan kejadian makhluk-Nya seperti matahari? Sebenarnya Allah bersumpah pada perkara yang mempunyai manfaat dan hikmah yang perlu difikirkan dan bersyukur dengannya kerana ia amat dekat di hati.

Tuntasnya, manfaat yang diberikan matahari cukup besar kepada sistem kehidupan flora dan fauna, juga memberikan kehidupan yang baik dengan mematikan bacteria dan pelbagai kebaikan sewajarnya mampu menjadikan manusia insane yang bersyukur dengan pemberian nikmat Allah yang cukup besar ini. Meneliti kejadian matahari dan hubung kaitnya seperti yang dinyatakan oleh ilmu sains maka akan tersemat dalam hati manusia yang memiliki fitrah kemanusiaan dan panduan akal yang tahu batasannya bahawa matahari merupakan kejadian yang cukup hebat dan penciptanya iaitu Allah adalah Maha Hebat. Inilah inti pati yang cuba disampaikan dalam ayat pertama surah al-Syams tadi.

Kehebatan itu terserlah pada dua perkara yang Allah bersumpah dengannya seperti berikut:

1 Mahatari – Kejadian matahari dilihat pada paksinya dalam sistem suria, saiznya, kepanasannya, bahagianbahagian gas yang ada, gravity dan sebagainya memperlihatkan kehebatan matahari ciptaan Allah.  

2 Cahaya matahari – Sungguhpun jarak antara matahari dan bumi begitu jauh namun cahayanya begitu mempengaruhi kehidupan kita seharian. Setelah semalaman penghuni dunia berada dalam kegelapan maka sinaran matahari membangkitkan mereka dan kehangatan matahari merangsang mereka untuk terus hidup dan melakukan aktiviti harian.

Bukan sekadar itu, cahaya matahari yang mula naik ketika di awal pagi juga merupakan cahaya yang cukup baik. Menurut kajian tanpa cahaya matahari akan menyebabkan perkara-perkara berikut:

i) Menyebabkan kekurangan vitamin D.

ii) Sistem pertahanan tubuh akan berkurang. Maka mereka yang jarang terkena sinar matahari juga akan mudah diserang penyakit seperti selsema.

iii) Depresi dan mempengaruhi ‘mood’. Sinar matahari mempengaruhi kerja otak. Akibat aliran darah yang kurang stimulasi maka depresi dan kemurungan kerap dialami oleh mereka yang jarang terkena sinar matahari.

Maka sewajarnya kita sebagai hamba-Nya menyedari hakikat ini dan membebaskan diri kita daripada rantai perhambaan kepada nafsu dan keseronokan dunia kepada melihat Sang Pencipta Yang Maha Hebat. Jika diperhatikan, surah al-Syams tidak hanya menyebutkan matahari tetapi juga bulan, siang, malam, langit, bumi dan juga manusia. Namun Allah mendahulukan bersumpah dengan matahari. Adakah terdapat hikmah yang tersirat?

mentari-bersinar-1 

Ustaz Amly Asenar
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Ustaz Amly Asenar

Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang perguruan. Terlibat dalam penulisan buku dan majalah. Selepas buku pertamanya Ayuh Bersahur, kini karya keduanya Ayuh Haji sedang berada di pasaran. Kini editor Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas