Menu

 

A+ A A-

DAKWAH BUKAN MUDAH

SAYA bersetuju dengan huraian ustaz berkaitan persepsi masyarakat terhadap pendakwah yang kononnya membuat ‘kerja mudah’ dengan berceramah. Saya sendiri sering dipandang sinis oleh masyarakat sekeliling kononnya memilih ‘jalan orang penakut’ kerana tidak berjuang secara langsung di arus politik perdana. Mereka berhujah bahawa kalau dengan dakwah semata-mata tidak mungkin membawa kesan yang besar kepada masyarakat. Mohon komen ustaz.

Tidak benar sama sekali kononnya dakwah adalah jalan mudah pilihan golongan pengecut yang takut menghadapi risiko perjuangan. Peranan pendakwah dalam konteks negara ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang kecil, malah tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa merekalah yang sebenarnya telah jauh lebih awal menulangbelakangi perjuangan umat menebus maruah khayra ummah (umat terunggul).

Telah dibuktikan bahawa pendakwah silam dahulu – dengan izin Allah – telah mampu menciptakan keajaiban-keajaiban sejarah yang berjaya merubah rupa dan jiwa bangsa Melayu dan seterusnya menghantar sejarah rantau ini ke ambang zaman barunya. Tidak berlebihan juga untuk saya katakan bahawa sesungguhnya menerusi dakwahlah yang telah berupaya mengangkat darjat umat Melayu dari lembah kehinaan sistem kasta dan feudal Hindu lalu didudukkannya pada martabat terhormat manusia mulia.

Dari manusia animisme yang sentiasa dihantui oleh rasa takut kepada alam yang dianggapnya serba “sakral” dan penuh tabu, berkat dakwah yang penuh hikmah maka manusia Melayu – Muslim telah mengalami pembebasan dari lingkaran rasa takut dan rasa tidak selamat, mereka telah dapat mengecap “nikmat” kedamaian di bawah perlindungan Tuhan Yang Maha Penyayang, yang membekali mereka dengan segala keperluan dan melindungi mereka dari segala ketakutan.

Kesan Dakwah

Melalui dakwahlah, bangsa kita tidak lagi takut melulu kepada unsur-unsur alam, sebaliknya telah menyedari fungsi manusia sebagai pengurus dan pembangun alam yang ditundukkan kepada mereka selaku khalifah Allah di bumi. Dari manusia berjiwa hamba bermentaliti abdi yang tahunya hanya menyerah dan mengalah, siap untuk dikerah dan diperintah; menjunjung titah walau tanpa upah; dasar mentimun digolek luka menggolek luka, dengan hikmah sentuhan dakwah umat Melayu – Muslim segera menyedari hak dan tanggungjawabnya.

Dakwah yang berintikan kalimat tauhid ini telah menciptakan umat baru berjiwa merdeka, bebas dari sumpah pantang derhaka. Kini setia Melayu adalah setia berprinsip dan bersyarat – yang adil disembah, yang zalim disanggah. Dakwah jugalah yang telah menyembuhkan jiwa defeatist Melayu, lalu menampilkan bangsa ini ke pentas sejarah sebagai pelopor perjuangan berdarah menentang pencerobohan penjajah Kristian Barat.

Saya menoleh zaman silam bukan untuk tujuan nostalgik, tetapi untuk memantapkan keyakinan terhadap potensi dakwah dalam menentukan arah penjurusan seluruh dimensi pembangunan umat dan negara. Sesungguhnya seluruh revolusi besar tersebut telah terjadi dan terhasil dari dakwah. Ya! Dakwah penuh hikmah yang tidak pernah menumpahkan walau setitik darah. Dakwah bil hikmah yang daya serunya mampu menjemput jiwa.

Dakwah Jihad yang besar

Bagaimana mungkin dakwah dikatakan sebagai jalan mudah walhal al-Quran sendiri menyatakan bahawa penyaksian kebenaran – syahdatu’l-haq iaitu yang menjadi inti kepada dakwah adalah jihad itu sendiri. Bagaimana mungkin dakwah dianggap jalan mudah sedangkan Allah s.w.t. sendiri menyebut jihad dengan al-Quran (dakwah) itu sebagai suatu jihad yang besar sebagaimana di dalam firmannya yang bermaksud: “Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan al-Quran dengan jihad yang besar” (Surah al-Furqan : 52).

Bagaimana mungkin dakwah dianggap sebagai jalan mudah sedangkan Allah s.w.t sendiri telah memaklumkan kepada Rasul-Nya tentang tugas dakwah yang akan dipikulnya nanti dengan ungkapan qawlan thaqila (perintah yang berat). Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat” (Surah al-Muzzammil : 5).

Sebagai suatu jihad besar, pendakwah bakal berhadapan dengan pelbagai ragam gelagat dan telatah manusia termasuklah golongan yang bertuhankan nafsu yang sentiasa siap dengan segala kekuatan yang mereka miliki – kuasa, harta, pengaruh dan apa sahaja daya dan upaya untuk mengganyang para pendakwah– penggugat dan pengganggu keserakan nafsu.

Tugas Pendakwah

Pada waktu yang sama juga, pendakwah harus pula berhadapan dengan tugas berat sebagai penyelamat golongan yang telah jatuh dari martabat kemanusiaan atau telah hilang harapan untuk bangun semula. Kesemua golongan ini kita hadapi dengan penyampaian Islam seadanya – Islam dalam hakikat dan sifatnya yang sebenarnya dan semurninya. Adakah mudah tugas ini?

Semoga keyakinan kita terhadap kejituan strategi yang telah kita sepakati bersama ini akan terus bertambah kukuh dan tidak akan goncang sedikit pun dalam menghadapi segala ragam reaksi lawmata la’im – umpat keji orang-orang yang tidak mengerti betapa tinggi dan murninya martabat dakwah dalam neraca penilaian Ilahi.

Ayuh perhebatkan dakwah.

Ustaz Badli Shah bin Alauddin
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2


Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Artikel berkaitan: DUA JENIS ILMU »
Kembali ke atas