Menu

 

A+ A A-

INDAHNYA SEBUAH PEMBERIAN

ALLAH mengurniakan kita pelbagai pemberian yang tidak terhitung banyaknya. Andai Allah membuka bil bayaran untuk setiap pemberian-Nya, nescaya makhluk seisi alam tidak akan mampu melunaskannya. Hayatilah betapa pemurahnya Allah memberikan nikmat kepada kita tanpa sebarang syarat dan perjanjian.

Allah bersifat pemurah kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang Dia ingini. Ada antara kita yang diberikan kesenangan melimpah. Ada pula sebaliknya sehingga terpaksa mengikat perut dan meminta-minta. Semua ini terkandung rahmat Allah yang tidak ternilai. Allah mendidik kita agar sentiasa beringat dengan sifat yang agung bisa merenggut segala milik sementara yang dipinjamkan kepada kita. Namun hanya sedikit manusia yang bersyukur.

Kita tidak selama-lamanya berada di atas. Mungkin sahaja suatu ketika roda kehidupan kita akan menjunam menyembam ke bumi.

Pengiraan Manusiawi vs Pengiraan Ilahi

Sebab itulah kasihnya Allah sentiasa mengingatkan kita bahawa apa yang kita miliki ialah milik Allah. Kita diajar agar menjadi pemurah. Namun untuk menjadi tangan yang memberi ini bukannya mudah kerana jauh di lubuk hati, kita merasakan bahawa barang yang diberi itu mengurangkan nilai harta yang kita miliki. Memang benar kerana 1-1 = 0. Setelah memberi kita tidak punyai apa-apa. Sebab itu kita berat untuk memberi. Namun ini adalah kiraan kita insan yang lemah.

Sedarlah bahawa Allah menitipkan khabar gembira buat insan yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dengan perumpamaan yang sangat hebat. Ganjarannya seumpama sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai dan setiap tangkai terdiri daripada seratus biji. Maha Suci Allah yang berkuasa melipatgandakan ganjaran. Jika begitu pengiraannya, maka pemberian tadi bukanlah menjadi kosong, bahkan berganda-ganda banyaknya! Sebutir benih menghasilkan tujuh tangkai dan setiap tangkai mengandungi seratus biji.

Subhanallah! Allah Maha Luas Pengetahuan-Nya lagi Maha Mengetahui. Bergembiralah kita kerana mereka yang pemurah mendapat nikmat berganda daripada Allah. Ingatlah, Memberi bukan bererti kurang, Malah nilainya berlipat ganda, Dan ini adalah bukti, Allah kasihkan insan pemurah.

Noorjehan Baharudin

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Noorjehan binti Baharudin

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang kepimpinan dan perguruan. Pernah terlibat dalam penulisan majalah. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Nurul Iman di Selangor.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas