Menu

 

A+ A A-

HUKUM MEMASAK SEMASA BERHADAS

Soalan : Apa hukumnya seorang isteri memasak makanan untuk tetamu suami dan anak-anaknya sedangkan dia berada dalam hadas besar?

Jawapan :Tidak ada larangan bagi seorang isteri untuk memasak semasa dia berada dalam hadas besar. Hal ini kerana tidak ada nas atau hadis mahupun pendapat ulama yang melarang perbuatan sedemikian.

Al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj menjelaskan bahawa tidak makruh masakan yang disediakan oleh perempuan yang haid atau berhadas besar dan begitu juga menggunakan apa-apa yang disentuh oleh mereka.

Hal ini berbeza dengan zaman jahiliah. Sahabat Nabi, Anas r.a menceritakan bahawa orang Yahudi tidak akan makan dan minum bersama isteri mereka yang sedang haid. Bahkan mereka juga tidak tinggal serumah dalam tempoh itu. Menurut mereka, semua benda yang disentuh oleh wanita haid dikira najis.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk tafsir al-Quran yang menyentuh tentang sebab turun ayat 222 surah al- Baqarah.

Gelas Arak

masak2Soalan:Apakah hukum menggunakan gelas yang pernah digunakan untuk arak? Jiran non- Muslim saya ada menghadiahkan beberapa set gelas yang mahal sebelum mereka berpindah rumah dengan memaklumkan bahawa ia pernah digunakan untuk meminum arak. Mestikah saya menyertunya untuk menggunakannya semula?

Jawapan :Memadai saudara membasuhnya sahaja hingga suci seperti membasuh najis darah, muntah, kencing dan sebagainya. Bekas minuman keras itu tidak perlu disertu. Arak ialah najis mutawassitah dan bukan najis berat seperti anjing dan babi.

Mangsa Rogol Tidak Berdosa

Soalan:Seorang gadis telah menjadi mangsa rogol. Keadaannya sekarang selain daripada trauma, dia juga sedang resah dan bingung. Dia tidak henti-henti memikirkan status dirinya pada pandangan Allah. Adakah dia seorang yang “kotor” dan amalannya dapat diterima? Apabila hendak berkahwin kelak, adakah dia wajib berterus terang dengan bakal suaminya perihal dirinya?

Jawapan:

Masalah perkosaan ini tidak sepatutnya dirunsingkan sangat kerana gadis yang diperkosa itu tidak berdosa. Perbuatan itu dilakukan oleh seorang pemuda yang tidak bertanggungjawab secara paksaan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Diangkat catatan (tidak direkodkan) daripada umatku sesiapa yang tersalah, terlupa dan dipaksa.” (Riwayat Ibn Majah)

Peristiwa itu juga tidak harus diceritakan kepada sesiapa pun hatta kepada bakal suaminya sendiri. Dia juga tidak perlu runsing tentang dara. Dara itu boleh hilang bukan sahaja atas sebab diperkosa malah disebabkan faktor lain seperti bersukan dan sebagainya.

Sesuatu peristiwa pahit dan maksiat yang menimpa diri tidak perlu disebarkan. Nabi bersabda, maksudnya: “Sesiapa menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya didunia dan di akhirat.” (Riwayat Muslim)

Jika untuk menutup keaiban orang lain kita digalakkan, maka keaiban sendiri adalah lebih patut untuk ditutupi. Oleh sebab itu, perkara itu tidak perlu dirunsingkan walau sesaat pun. Serahkan sahaja kepada takdir Allah yang menentukan segala-galanya.

Sedekah Atau Wasiat

Soalan:Antara sedekah semasa hidup dan sedekah selepas mati iaitu wasiat, mana yang lebih afdal? Saya melihat orang lebih cenderung untuk berwasiat. Apa pandangan ustaz?

Jawapan:Sedekah yang terbaik dan paling berkualiti iaitu sedekah yang diberikan sewaktu sihat. Abu Hurairah menceritakan bahawa ada seseorang datang bertanya Rasulullah: “Wahai Rasulullah, apakah sedekah yang lebih besar pahalanya?”

Baginda menjawab, maksudnya: “Iaitu apabila kamu bersedekah sewaktu kamu masih sihat dan bakhil, bimbang kemiskinan dan mengharap kekayaan. Jangan menangguhkannya sehingga sampai waktu ajal kamu dan kamu akan berkata: ‘Berilah ini kepada si fulan dan si fulan. Berilah ini kepada si fulan dan si fulan. Dan ingatlah, sesungguhnya harta itu memang untuk si fulan.’” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Hadis ini menunjukkan bahawa melangsaikan hutang dan bersedekah sewaktu hidup dan sihat lebih baik berbanding selepas kematian ataupun sewaktu sakit.”

Ini kerana sewaktu seseorang dalam keadaan sihat, dia biasanya lebih sukar untuk mendermakan wangnya. Syaitan akan menggoda supaya dia berasa bimbang akan kemiskinan dan menjadikannya tertarik dengan idea yang dia akan hidup lama serta memerlukan wang.

Allah s.w.t. berfirman mafhumnya: “Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan.” (Surah al-Baqarah: 268)

Cara Nabi Makan

masak3Soalan:Boleh ustaz terangkan pemakanan Rasulullah dan apakah makanan yang Baginda selalu makan?

Jawapan:

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Rasulullah dan keluarganya pernah selama sebulan atau dua bulan hanya makan kurma dan air. Meskipun hidangan yang Baginda makan sangat sederhana dan sedikit, namun Baginda tidak pernah lupa mensyukuri nikmat Allah.

Begitu juga Baginda tidak lupa untuk berterima kasih kepada orang yang menghidangkannya serta tidak mencela apabila ada hal yang kurang Baginda berkenan. Ini kerana meskipun orang yang memasaknya telah berusaha sebaik mungkin, kekurangan itu pasti selalu ada. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w tidak pernah mencela makanan dan orang yang memasaknya.

Baginda juga tidak akan menolak makanan yang disajikan dan tidak meminta-minta makanan yang tidak tersaji. Baginda Nabi umat ini. Perhatian Baginda tidaklah tertumpu pada masalah perut dan makanan.

Jika disajikan roti dan daging, Baginda akan memakannya. Jika dihidangkan buah-buahan, Baginda akan memakannya juga. Jika dihidangkan kurma sahaja atau roti sahaja, Baginda pun memakannya juga. Apabila dihidangkan dua jenis makanan, Baginda tidak berkata: “Aku tidak mahu menyantap dua jenis makanan!” Baginda tidak pernah menolak makanan yang lazat dan manis.

Doa Hilang Kesunyian

Soalan:Saya seorang ibu yang tidak bekerja. Saya selalu berasa sunyi kerana anak-anak tidak ada di rumah. Semuanya tinggal di asrama. Mohon ustaz ajarkan sekiranya ada doa yang boleh menghilangkan kesunyian.

Jawapan:Sekiranya puan berasa kesunyian, saya sarankan agar puan menyibukkan diri dengan kegiatan positif. Bukan hanya dengan solat dan zikir, puan boleh membaca buku-buku yang bermanfaat, beriadah, bersilaturahim, dan mengadakan diskusi ilmu dan lain-lain.

Ada sebuah doa yang diajar oleh Rasulullah yang elok puan amalkan:

masak1

Bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada keresahan dan kesedihan, kelemahan dan kemalasan, rasa takut dan bakhil serta cengkaman hutang dan penindasan manusia.” (Riwayat Abu Daud)

 

Datuk Haji Ismail Kamus

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas