Menu

 

A+ A A-

PAKSA ISTERI SOLAT

Soalan: Isteri saya sangat baik namun liat melakukan solat. Setiap kali masuk waktu solat, ada sahaja alasannya untuk berlambat-lambat melakukan solat. Pernah suatu hari ia sampai meninggalkan solat hingga waktu habis. Sekiranya saya memaksa bahkan memukul isteri agar ia solat, adakah dikira berdosa?

Jawapan:

Solat adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya, maka ia mendirikan agama dan sesiapa yang mensiasiakannya, maka ia telah meruntuhkan agama. Allah telah memerintahkan supaya mendirikan solat dalam al-Quran pada banyak tempat antaranya firman Allah: “Sesungguhnya solat itu merupakan kewajipan umat Islam yang mempunyai waktu-waktu tertentu.” (Surah al-Nisa’ : 103)

Rasulullah menjadikan solat pembeza antara Muslim dengan kafir. Baginda bersabda: “(Pembatas) antara seseorang dengan kemusyrikan adalah meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim)

Dalam mazhab Hanafi, orang yang meninggalkan solat secara sengaja disebabkan malas tetapi masih beriktikad kewajipannya, maka dia dikira fasiq. Sekiranya masih enggan untuk melakukan solat, maka walinya boleh memukulnya tanpa mencederakannya.

Sekiranya seseorang Muslim meninggal sebelum bertaubat atas kesalahan meninggalkan solat, maka ia akan bertemu Tuhannya dalam keadaan dimurkai dan terhalang dari mendapat pahala.

Dari sini kita dapat memahami bahawa suami yang memaksa isterinya solat tidaklah dikira berdosa kerana untuk faedah isterinya sendiri. Malah jika si suami membiarkan isterinya meninggalkan solat, ia dikira berdosa. Allah berfirman: Suruhlah keluargamu (mendirikan) solat dan sabarkanlah hatinya untuk mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu. Kami yang memberi rezeki kepadamu. Akibat yang baik (syurga) bagi orang yang bertakwa.” (Surah Taha: 132)

Keluarga Tidak Mahu Solat

Soalan: Berdosakah saya membiarkan keluarga saya tidak sembahyang walaupun telah beberapa kali saya menasihati mereka? Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini?

Jawapan :

Tanggungjawab anda telah sempurna apabila telah menasihati. Soal mereka tidak mahu terima, itu bukan tanggungjawab anda lagi. Anda telah terlepas dari dosa tersebut.

Walau bagaimanapun, anda hendaklah meneruskan ikhtiar mendakwahi mereka kerana usaha tersebut amat besar pahalanya. Gunakan pelbagai cara seperti nasihat dengan lembut, minta bantuan orang yang disegani untuk menasihati mereka dan lain sebagainya. Jangan lupa untuk terus mendoakan kebaikan bagi mereka. Insya-Allah suatu hari nanti hati mereka akan terbuka untuk menerima hidayah Allah.

Doa dalam Bahasa Malaysia

Soalan: Saya tidak boleh berdoa dalam bahasa Arab. Kalau selepas solat saya terus berdoa dengan menggunakan bahasa Malaysia, adakah dibolehkan?

Jawapan:

Berdoa dalam apa-apa Bahasa sekalipun akan diterima oleh Allah, asalkan betul dan mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak. Allah berfirman : “Berdoalah kepada-Ku nescaya aku perkenankan bagi kamu.” (Surah al-Mukminun: 60). Firman-Nya : “Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui isi hatimu.” (Surah al-Maidah: 7)

Tidak Beri Nafkah

Soalan: Apakah hukumnya jika suami tidak pernah memberi nafkah pakaian kepada isteri dan anak-anaknya?

Jawapan:

Suami itu berdosa. Memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak baik dari segi makanan, pakaian dan sebagainya adalah wajib.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Cukuplah dosa bagi seseorang apabila ia tidak memberi nafkah kepada orang yang wajib ia berikan.” (Riwayat Muslim)

Suami bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak yang telah diamanahkan kepadanya. Maka hendaklah ia memelihara mereka dengan cara yang baik sebagaimana firman Allah: “Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nisa’: 19)

Doa untuk Si Mati

paksa solat1Soalan: Sampaikah doa orang yang hidup kepada orang yang sudah mati? Saya keliru. Kawan saya cakap tak sampai.

Jawapan:

Orang yang telah meninggal dunia hendaklah kita doakan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda: “Apabila mati anak Adam putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang berpanjangan (yang dia wakafkan), ilmu bermanfaat yang diajarkannya dan anak yang soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Ahmad)

Jadi tidak akan putus amalan orang yang sudah meninggal dunia jika terdapat tiga amalan yang telah ditinggalkannya itu. Termasuk juga doa orang yang masih hidup dalam solat jenazah.

Doa yang diucapkan dalam sembahyang jenazah itu akan diperkenankan oleh Allah mengikut keikhlasan orang yang melakukannya.

Rezeki di Tangan Tuhan

Soalan: Rezeki, jodoh dan ajal maut di tangan Tuhan. Adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha kerana segala-galanya telah ditentukan Tuhan sejak azali?

Jawapan:

Rezeki, jodoh, ajal maut dan segala-galanya memang benar di tangan Allah. Tetapi ini tidak bererti kita disuruh berpeluk tubuh sahaja menunggu apa-apa yang telah ditentukan. Bahkan kita disuruh dan diwajibkan berusaha dan berikhtiar mengikut garis panduan yang telah ditentukan oleh Allah.

Sebenarnya tiada seorang pun di dunia ini mengetahui rezeki berapa banyak, di mana hendak dapat, siapa yang beri dan bagaimana cara mendapatkannya. Oleh sebab tidak tahu, maka wajiblah mencarinya. Kadang-kadang seseorang itu keluar pagi, balik petang tak jumpa rezeki. Tetapi apabila sampai di rumah, ada orang bawa rezeki untuknya. Inilah antara bentuk-bentuk takdir Allah. Justeru, kita wajib berusaha sambil berdoa mengharap yang terbaik dari Allah.

Mampu haji

Soalan: Saya ingin bertanya tentang rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan haji bagi yang mampu. Apakah yang dimaksudkan dengan “mampu”?

Jawapan:

Maksud mampu di sini ialah mempunyai tubuh badan yang sihat, kenderaan yang membolehkan sampai ke Baitullah seperti kapal terbang, wang dan bekalan yang mencukupi bagi perjalanan pergi dan balik.

Dia juga mestilah mempunyai harta yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan orang yang ditanggungnya sehingga dia pulang dari menunaikan ibadat haji. Wanita pula mestilah ditemani suami atau seorang mahram untuk bermusafir menunaikan haji dan umrah.

Hantar jenazah

Soalan: Adakah mendapat ganjaran pahala orang yang hadir ketika pengurusan jenazah sehingga pengebumian tetapi tidak turut serta solat jenazah? Bagaimana pula bagi orang yang turut dalam solat jenazah, tetapi tidak turut serta sehingga pengebumian?

paksa solat 2Jawapan:

Orang yang datang menyaksikan pengurusan jenazah, hendaklah turut serta mensolatkan jenazah, mengiringi ke kubur serta mengebumikannya jika mampu. Ini merupakan amalan sunnah yang dijanjikan ganjaran dua qirat. Sebagaimana sabda Rasulullah: “Sesiapa yang menyaksikan jenazah serta mensolatkannya, diberi ganjaran satu qirat. Sesiapa yang menyaksikannya sehingga dikebumikan, diberi ganjaran pahala sebanyak dua qirat.”

Para sahabat bertanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat?” Jawab Baginda: “Umpama dua buah gunung yang besar.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Orang yang hadir menyaksikan, kemudian pulang tanpa melakukan solat jenazah, maka ia tidak termasuk dalam hadis ini. Kerana yang dikehendaki dengan menyaksikan ialah melakukan solat jenazah atau mengebumikannya. Tetapi sekiranya menyembahyangkan sahaja, maka dia hanya memperoleh ganjaran satu qirat.

Terlebih lagi jika orang mati itu orang alim atau ulama. Ganjaran menghantar dan memikul jenazah ulama sangat besar di sisi Allah ke kubur serta mengebumikannya.

Rahsia Azab Kubur

Soalan: Dalam Islam kita wajib meyakini adanya azab kubur walaupun kita tidak dapat melihat ataupun mendengarnya. Apakah hikmah dirahsiakan azab kubur kepada manusia?

Jawapan:

Antara hikmah dirahsiakan azab kubur ialah:

1. Merupakan rahmat dari Allah kepada orang yang masih hidup. Bayangkan sekiranya manusia dapat melihat azab kubur, sudah tentu kehidupan manusia dipenuhi dukacita kerana melihat keluarga dan saudara mara mereka diseksa dalam kubur.

2. Merupakan rahmat Allah kepada orang yang sudah mati. Sekiranya azab kubur tidak dirahsiakan, sudah tentu segala dosa-dosa orang yang sudah mati akan terdedah dan ia merupakan keaiban yang besar kepada mereka.

3. Sukar untuk melakukan pengebumian. Manusia akan saling tolak menolak untuk mengebumikan mayat kerana melihat azab kubur. Rasulullah bersabda: “Sekiranya bukan kerana kamu perlu mengebumikan antara satu sama lain, sudah tentu aku memohon kepada Allah agar kamu boleh mendengar seksa dalam kubur.” (Riwayat Muslim)

4. Keimanan menjadi bukan sesuatu yang istimewa. Ini kerana apabila mereka telah menyaksikan sendiri jeritan dan teriakan, sudah tentu tiada siapa yang boleh mengingkarinya. Bahkan semua manusia akan beriman. Allah berfirman: “Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata, “Kami beriman kepada Allah semata-mata.” (Surah Ghafir : 84)

Oleh itu, apabila Allah merahsiakan azab kubur, ia merupakan ujian kepada manusia siapa yang beriman terhadap wahyu dan siapa yang mendustakannya.”

Wallahu a‘lam.

 

DATO’ HAJI ISMAIL KAMUS

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 13

 


 

Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas