Menu

 

A+ A A-

MENGAPA HAMDALAH SELEPAS BERSIN?

Ditulis oleh 

SOALAN: Saya baru memeluk Islam. Saya ingin tahu, mengapa Muslim perlu mengucap Alhamdulillah (hamdalah) ketika bersin?

 

 

JAWAPAN

Bersin membawa rahmat. Ia boleh melegakan dan membebaskan gas yang terperangkap dalam kepala yang boleh menyebabkan penyakit. Oleh itu, Islam memerintahkan orang yang bersin supaya memuji Allah.

Rasulullah bersabda: “Allah menyukai perbuatan bersin dan tidak menyukai perbuatan menguap. Sekiranya salah seorang kamu bersin dan memuji Allah, sesiapa yang mendengarnya, perlulah mendoakannya dengan menyebut: “Yarhamukallah” (semoga Allah merahmati kamu). Manakala menguap pula adalah perbuatan syaitan. Tahanlah ia seboleh-bolehnya kerana syaitan akan mentertawakannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Apabila seseorang menyebut dan memuji Allah, ia boleh membangkitkan kemarahan syaitan selain mengeratkan hubungan persaudaraan sesame Muslim. Perlu kita tahu juga, apabila seseorang bersin, jantungnya berhenti berdegup sejenak, dan kemudian kembali berdegup seperti biasa. Subhanallah, memang wajarlah kita mengucapkan Alhamdulillah selepas bersin.

Kebumikan Waktu Malam

SOALAN: Bolehkah kita mengebumikan jenazah pada waktu malam?

JAWAPAN

Hukumnya harus. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas: “Ada seorang lelaki meninggal dunia dan Rasulullah pernah menziarahinya. Lalu para sahabatnya mengebumikannya pada waktu malam. Pada keesokan harinya mereka pun memberitahu Baginda. Lalu Baginda bersabda: “Apakah yang menghalang kamu memberitahu aku?” Para sahabat menjawab: “Waktu itu sudah malam dan gelap. Kami tidak mahu menyusahkan tuan.” Lalu Baginda pergi ke kuburnya dan bersolat ke atasnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis ini, Baginda tidak menyalahkan sahabat yang mengebumikan jenazah pada waktu malam. Baginda cuma mempersoalkan tindakan para sahabat yang hanya memberitahu Baginda tentang perkara itu selepas Subuh. Namun setelah diberitahu alasan mereka, barulah Baginda menerimanya.

Berjalan Berdua

SOALAN: Kawan saya akan bertunang dengan lelaki pilihannya. Dia dan bakal tunangnya selalu berjalan berdua-duaan tanpa sebarang mahram seperti pasangan sudah berkahwin. Sebelum bertunang lagi mereka sudah begitu rapat. Saya khuatir mereka akan menjadi lebih intim selepas bertunang nanti. Apa pandangan ustaz?

JAWAPAN

Islam mengharuskan untuk seorang lelaki yang hendak bertunang untuk melihat bakal tunangnya. Ini merupakan panduan daripada Baginda melalui hadis: “Apabila salah seorang kamu hendak meminang seorang perempuan, sekiranya ia boleh melihatnya hingga membawa keinginan berkahwin, maka lakukanlah.” Perempuan juga dibolehkan untuk melihat lelaki yang mahu meminangnya.

Namun secara prinsipnya, bertunang dan berkahwin adalah dua ikatan yang berbeza. Pasangan yang telah bertunang hakikatnya tiada ikatan yang sah. Perkara yang dibolehkan kepada pasangan yang telah berkahwin tidak dibolehkan bagi pasangan yang bertunang. Tunangnya masih lagi bukan mahramnya. Oleh itu, batas pergaulan masih tetap perlu dijaga.

Nafkah dan Derma

SOALAN: Saya percaya kepada keberkatan rezeki hasil daripada derma untuk Islam. Setiap bulan, ada peruntukan sebahagian gaji saya untuk itu. Tetapi antara nafkah terhadap ahli keluarga dan derma ini, yang mana mesti saya dahulukan?

JAWAPAN

Hendaklah didahulukan nafkah isteri dan anak-anak, kemudian derma di jalan Allah. Sabda Rasulullah: “Satu dinar yang engkah nafkahkan di jalan Allah, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk membebaskan hamba, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan bagi keluargamu. Maka yang lebih besar pahalanya ialah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.” (Riwayat Muslim)

Suami perlu ingat bahawa menafkahi isteri adalah kewajipan dan tanggungjawabnya. Maka, dia mesti mendahulukan nafkah sebelum perbelanjaan lain. Inilah yang disebut dalam al-Quran, hadis, ijmak ulama dan selari dengan akal.

Suami tetap wajib memberi nafkah walaupun isteri bekerja dan berpendapatan sendiri. Dia sama sekali tidak boleh menggunakan gaji isteri untuk perbelanjaan rumah melainkan dengan keizinan daripadanya. Jika dia enggan memberi nafkah, maka dia menanggung dosa yang sangat besar.

mengapa-hamdalah-selepas-bersin-2

Sabda Rasulullah: “Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan isteri. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan kepercayaan Allah dan halal bagimu mencampuri mereka dengan kalimah Allah. Diwajibkan ke atas kamu (suami) memberi nafkah dan pakaian kepada mereka (isteri) dengan cara sebaik-baiknya.” (Riwayat Muslim)

Zakat Hapus Dosa?

SOALAN: Seorang lelaki mempunyai banyak harta tetapi didapati melalui cara haram seperti mengedar dadah, menjual arak, rasuah dan sebagainya. Sekiranya ia membayar zakat dengan harta itu, adakah dosa-dosanya boleh dihapuskan?

JAWAPAN

Allah hanya menerima harta yang bersih sahaja. Harta yang haram dan kotor tidak diterima sebagai amalan ibadah sama ada zakat, sedekah, hadiah ataupun yang lainnya. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah Maha Suci. Dan Allah tidak menerima melainkan yang suci sahaja.” (Riwayat Muslim)

Zakat adalah penyucian harta yang dimiliki seseorang. Allah berfirman: “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka. Dengan zakat itu kamu boleh membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka.” (Surah al-Tawbah: 103)

Zakat tidak sah dilaksanakan dengan harta yang haram kerana harta tersebut bukan miliknya. Harta haram seperti harta curi, rampasan, rasuah atau riba sebenarnya bukan harta miliknya.

Harta yang haram hendaklah dipulangkan kepada pemiliknya sekiranya ditemui. Jika tidak, semua harta itu hendaklah diserahkan kepada baitulmal atau disedekahkan kepada orang yang berhak dan diniatkan kepada pemiliknya.

Lihat Nabi

SOALAN: Ada satu kumpulan mendakwa kita boleh melihat Nabi Muhammad dalam keadaan jaga. Apa pendapat ustaz?

JAWAPAN

Ini tidak benar sama sekali. Pada zaman sahabat dahulu pernah berlaku peristiwa yang amat dahsyat selepas kewafatan Baginda dan umat Islam ketika itu amat memerlukan Baginda. Persoalannya, mengapa Baginda tidak muncul? Tiada seorang pun daripada kalangan sahabat yang dapat melihat Baginda selepas kewafatannya. Sedangkan Baginda amat mengasihi mereka dan mereka amat mengasihi Baginda.

Nabi menyatakan: “Sesiapa yang melihat aku dalam tidur (mimpi), dia akan dapat melihat aku dalam keadaan sedar.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini tidak bermakna kita boleh berjumpa Baginda dalam keadaan jaga. Sebaliknya, ia merupakan berita baik buat mereka yang pernah bermimpikan Baginda. Dia akan dapat melihat Baginda di syurga secara bersemuka, bukannya ketika di dunia ini dalam keadaan jaga.

Sai

SOALAN: Mengapa perbuatan berjalan kaki di antara bukit Safa dan Marwah dalam ibadat haji dinamakan sai?

JAWAPAN

Secara mudahnya, sai bermakna mencari. Ia mengingatkan kita kepada peristiwa Siti Hajar yang mencari air untuk anaknya yang masih kecil dan menderita kehausan di lembah padang pasir.

Siti Hajar berlari-lari di antara bukit Safa dan Marwah dengan harapan ada pedagang yang lalu atau bertemu dengan air. Beliau tidak pernah berputus asa kerana beliau yakin bahawa Allah yang Maha Pemurah tidak akan menghampakan hamba-Nya yang mengharap kepada-Nya. Setelah berbagai-bagai ikhtiar dilakukan, akhirnya Allah mengurniakan Siti Hajar air yang keluar dari bawah kaki anaknya, Ismail.

mengapa-hamdalah-selepas-bersin-4

Peristiwa ini memberi pengajaran kepada orang beriman supaya tidak sekali-kali berputus asa dan hendaklah sentiasa mengharapkan kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Pemurah. Berbeza dengan orang-orang yang tidak beriman apabila ditimpa penderitaan, ia terus berputus asa. Allah berfirman: “Bukankah Dia (Allah) yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya dan yang menghapuskan kesusahan?” (Surah al-Naml: 62)

mengapa-hamdalah-selepas-bersin-3

Yasin atau al-Kahfi?

SOALAN: Saya keliru. Biasanya pada malam Jumaat saya membaca surah Yasin sebagaimana kebiasaan orang Melayu. Tetapi saya ada mendengar bahawa yang disunatkan pada malam Jumaat adalah bacaan surah al-Kahfi. Benarkah dakwaan ini ustaz?

JAWAPAN

Membaca surah Yasin, al-Kahfi atau surah lainnya pada malam Jumaat adalah amalan yang sangat baik. Sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala dan kebaikan, insya-Allah.

Tentang surah al-Kahfi, memang terdapat beberapa hadis yang menunjukkan kelebihan membacanya pada malam Jumaat atau siangnya. Antaranya: “Siapa membaca surah al- Kahfi pada malam Jumaat, dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dengan Baitul ‘Atiq (Makkah).” (Riwayat an-Nasa’i)

Begitu juga hadis lain: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” (Riwayat al-Hakim)

Maka usahakanlah agar surah ini dibaca pada siang atau malam Jumaat. Waktunya bermula selepas terbenamnya matahari pada hari Khamis hingga terbenamnya matahari pada hari Jumaat.

Nabi pernah bersabda: “Yasin ialah hati al-Quran.” Maka, kita digalakkan membaca surah Yasin dan niatkan untuk mendapat apa-apa yang kita hajati.

Wallahu a‘lam.

DATO’ HJ. ISMAIL KAMUS

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


 

Read 2617 times
Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.