Menu

 

A+ A A-

TANDA KIAMAT KECIL DAN BESAR

SYEIKH Khalid bin Nasir bin Sa‘id al-Ghamidi dalam kitab Ashrat al-Sa‘ah menyebut bahawa makna tanda-tanda kiamat ialah tanda atau petunjuk yang berlaku sebelum terjadinya kiamat dan ia juga menunjukkan kiamat sudah dekat. Perkataan kiamat digunakan dengan tiga makna:

1. Setelah berlalunya kurun para sahabat Rasulullah. Daripada Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan, yang bermaksud: “Suatu malam Rasulullah s.a.w. bersembahyang Isyak pada akhir hayatnya. Setelah memberi salam, Baginda s.a.w. berdiri dan bersabda: ‘Tahukah kamu akan malam ini? Sesungguhnya seratus tahun akan datang tidak akan ada lagi seorang pun manusia di atas muka bumi ini.’ Ibn Umar berkata: ‘Orang ramai salah faham mengenai sabda Rasulullah s.a.w. itu, mereka bercakap-cakap tentang Hadis tersebut terutamanya mengenai Kiamat seratus tahun akan datang. Sedangkan maksud Rasulullah s.a.w. ialah; ‘Tidak ada seorang pun manusia yang hidup sekarang ini (zaman Rasulullah) akan hidup pada seratus tahun yang akan datang’, dengan kata lain kurun itu sudah berlalu.’” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2.    Kematian seseorang manusia. Sesungguhnya kematiannya itu merupakan kiamat atas dirinya. Ia memasuki alam akhirat iaitu kehidupan di alam barzakh dan alam seterusnya.

3.  Kiamat besar iaitu apabila dunia digoncang dengan sekuat-kuatnya dan kematian seluruh makhluk, kecuali yang Allah s.w.t. kehendaki. Sebagaimana Allah s.w.t. berfirman pada ayat 1 dan 2 surah al-Haj yang bermaksud: “Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu yang menyusukan akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan menggugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, (mengerikan).”

Kesimpulannya, kiamat itu terbahagi kepada 3 bahagian:

1.      Kiamat kecil; kematian seseorang manusia.

2.      Kiamat sederhana; dengan kematian mereka yang hidup pada kurun yang pertama.

3.      Kiamat besar; Hari kiamat yang sebenarnya. (Ashrat al- Sa‘ah, jil. 1 hlm. 30-31)

Saya juga ada mendengar bahawa tanda kiamat terbahagi kepada dua iaitu tanda kecil dan besar. Saya ingin mengetahui apakah pembahagian ini berdasarkan al-quran dan hadis atau ijtihad para ulama?

Benar, tanda kiamat dibahagikan kepada dua iaitu tanda kecil dan tanda besar. Adapun penisbahan pembahagian dan susunan kejadian ini, ia bukanlah satu ketentuan daripada al-Quran dan hadis, malah ia merupakan usaha ijtihad para ulama terdahulu dan kontemporari. Mereka membahagikannya kepada tanda-tanda kecil dan besar kiamat. Para ulama juga berbeza pandangan dalam menentukan tanda kecil dan tanda besar kiamat. Ada yang meletakkan sebahagian tanda besar kiamat dalam kumpulan tanda kecil kiamat dan sebaliknya. Namun ijmak ulama menyatakan terdapat 10 tanda besar kiamat, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Baihaqi, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan al-Qurtubi. Dan selainnya khilaf. Sepuluh perkara tersebut diriwayatkan oleh Huzaifah bin Usaid al-Ghifari r.a., iaitu:

1.      Keluarnya asap.

2.      Munculnya Dajjal.

3.      Keluarnya dabbah (sejenis binatang ganjil dan besar).

4.      Terbitnya matahari di sebelah barat.

5.      Turunnya Nabi Isa a.s. bin Maryam.

6.      Keluarnya Yakjuj dan Makjuj.

7.      Berlaku tiga kali gerhana iaitu:

-          Di sebelah timur,

-          Di sebelah barat

-          Di semenanjung Arab

8.      Keluarnya api yang muncul dari Yaman yang menghalau manusia ke tempat berkumpul mereka (mahsyar). (Riwayat Muslim)

Secara ringkasnya, Syeikh Khalid bin Nasir menyebut: Tanda kecil kiamat sebahagiannya telah berlaku dan berakhir, sebahagiannya telah terjadi namun ia tidak jelas dan sebahagiannya tidak berlaku secara keseluruhannya. Sesungguhnya tanda kecil ini pada kebiasaannya berlaku dan ia tidak begitu asing. Tiada terdapat hadis yang membatasi dan menerangkan masa terjadinya tanda ini. Bahkan ia merupakan satu perkara yang dipetik dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan dan musnad. Kebiasaannya, lafaz hadis yang menunjukkan ia tanda kecil kiamat seperti hadis Jibrail, seperti perkataan: “enam perkara yang dikira akan sampainya kiamat…”, “tidak akan terjadi kiamat…” atau “tidak akan hilang dunia…” atau “tidak akan pergi hari dan malamnya…”, “pada akhir zaman…” dan seumpamanya. Semua tanda-tanda kiamat ini sebahagian daripada tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad s.a.w.

Sesungguhnya tanda besar kiamat ada 10, sepertimana yang terkandung dalam hadis Huzaifah bin Usid. Ia bukanlah sesuatu yang kebiasaan berlaku. Apabila berlaku pada kali pertamanya, maka kiamat mengiringinya dengan segera seperti titisan air akibat kebocoran atap. Tanda besar kiamat yang pertama ialah keluarnya dajal, dan akhirnya keluarnya api dari sebelah ‘Ad yang menghalau manusia ke mahsyar. (Ashrat al- Sa‘ah, jil. 1 hlm. 37-38).

 

Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 1

 


 

Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

wasiat 280 x 393 TBBK1275  TBBK1259

TBBK1283

Kembali ke atas