MATI SUATU KEPASTIAN
- Ditulis oleh Ustaz Harun Sundoko
- Kategori Fardhu Ain
- Read 6451 times
PERKARA yang pasti, tetapi manusia sering lupa adalah kematian. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, pasti akan menemui kamu. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia akan memberitakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Jum‘uah 62: 8)
Sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Ibn Umar r. huma., ia telah berkata: “‘Jadilah kamu di dunia seperti seorang yang asing, atau (bahkan) seperti seorang pengembara.’ Ibn Umar r.huma. berkata: ‘Apabila kamu berada pada petang, janganlah kamu menunggu sampai tiba waktu pagi hari, dan apabila kamu berada pada pagi hari, janganlah kamu menunggu sampai tiba waktu petang.’” Baginda s.a.w. telah menjelaskan melalui hadis ini bahawa: “Jadilah kamu seperti seorang asing pada ketika kamu tinggal di dunia, atau bermakna janganlah kamu bergantung kepadanya, jangan berasa tenang di dalamnya, jangan bergantung dengannya, kerana sesungguhnya kamu sebenarnya sedang dalam perjalanan menuju ke tempat tinggalmu yang sebenarnya iaitu akhirat.
Seperti orang asing yang biasanya tidak akan menetap di tempat yang asing dan tidak akan tinggal di sana. Ia sentiasa merindukan negerinya dan berkeinginan untuk pulang ke negerinya. Atau bahkan jadilah seperti seorang pengembara iaitu orang yang sedang melalui sebuah jalan. Sesungguhnya seseorang yang asing kadang-kadang boleh jadi dia akan tinggal di tempat yang asing dan menetap di sana, berbeza halnya dengan seseorang pengembara iaitu orang yang sedang melalui sebuah jalan, maka sesungguhnya ia tidak akan menetap dan tinggal.
Jadilah seperti orang yang asing
“Jadilah kamu di dunia seperti seorang yang asing bahkan seperti seorang pengembara. Selain itu, keadaan itu adalah satu gesaan untuk menghinakan dunia, dan berlapang-lapang dengannya, dan zuhud dalamnya, dan meringkaskan untuk mengambil dunia sekadar keperluan sahaja yang bermanfaat untuk akhirat.
Bagi orang yang berakal sepatutnya dia bersikap qana‘ah dengan berasa cukup sekadar hajat. Kerana sesungguhnya dunia ialah tempat laluan dan jambatan untuk menyeberang. Nabi Isa a.s. telah berkata: ‘Dunia adalah jambatan, maka jadikan ia sebagai alat untuk menyeberang dan janganlah kamu memakmurkannya.’” Salman al-Farisi r.a. berkata: “Kekasihku; Baginda s.a.w. telah menyuruhku agar aku tidak mengambil sesuatu dari dunia kecuali seperti bekalan seorang yang sedang menaiki kenderaan.” Sebuah Syair berbunyi:
“Sesungguhnya Allah mempunyai hamba yang cerdas, mereka telah menceraikan dunia kerana takut akan pelbagai fitnah yang telah mereka lihat di dalamnya. Maka ketika mereka tahu sesungguhnya dunia itu bukan tempat untuk hidup sebenarnya, Mereka telah menganggapnya seperti lautan dan mengambil amal soleh sebagai perahu.
Jangan bertangguh dalam beramal
Ibn Umar r.huma. berkata dalam sebahagian nasihatnya: “Apabila kamu telah memasuki waktu petang, maka janganlah kamu menangguhkan dalam berbuat amal-amal kebajikan, bahkan hendaklah kamu bersegera dalam berbuat amal kebajikan dan kamu mesti yakin bahawa kamu akan mati sebelum datangnya waktu pagi. Dan apabila kamu telah memasuki waktu pagi, maka janganlah kamu melengah-lengahkan dan bermalas-malas untuk membuat amal-amal kebajikan, bahkan bersegeralah beramal semampu kamu daripada pelbagai bentuk ketaatan, dan janganlah menunggu waktu petang, kerana sesungguhnya mungkin dengan mengakhirkannya menjadi sebab kehilangan peluang untuk beramal dan tidak mendapatkannya.
Kesimpulannya hendaklah seseorang memendekkan angan-angannya, dan sentiasa menjadikan kematian ada di hadapannya kerana kematian itu sentiasa menunggunya setiap waktu. Dan hendaklah dia meninggalkan kecenderungan pada tipu daya dunia, dan menyiapkan amal ketaatan kerana khawatir akan datang penghancur segala kelazatan dengan tiba-tiba. Demikianlah (Rujuk: Al-Jawahir al-Lu’lu’iyah fi Sharh al-Arba‘in al-Nawawiyh)
Ustaz Harun Sundoko
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 1
Ustaz Harun Sundoko
Beliau Seorang guru dan pendakwah bebas. Kini mentadbir sebuah pusat pengajian pondok di Indonesia. Antara guru beliau ialah Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.