Menu

 

A+ A A-

JUTAWAN GILA ATAU KITA YANG MABUK

Are you mad? Itu yang dikatakan oleh akauntan jutawan Brian Burnie, apabila majikannya menyatakan hasrat untuk menderma hotel mewahnya bernilai £20 juta. Perasaan saya  bercampur-campur setiap kali membaca berita sebegini. Minda pula sedikit berkecamuk memikirkan rasional dan dorongan yang memberikan mereka kemampuan untuk menderma sebegitu banyak.

Tidak dinafikan, ramai yang merasa amat kagum dengan sikap dermawan mereka. Mari kita  cuba cari sebab-sebab luaran sikap dermawan mereka dalam tulisan ini.

Sumbangan Bill Gates

Pada Jun 2008, Bill Gates, yang berumur 52 tahun, telah membuat pengumuman akan  meninggalkan sejumlah hartanya yang bernilai US$58 bilion untuk tujuan kebajikan dalam surat wasiatnya. Wang itu akan diletakkan dalam Yayasan Bill and Melinda Gates, untuk membiayai kajian kesihatan dan perubatan serta pendidikan di seluruh dunia. Apa yang mengagumkan saya ialah kata-katanya: “We want to give it back to society in the way that it will have the most positive impact, I want to make a positive contribution to the world.”

Mungkin akan ada yang bermonolog dalam hati menafikan sikap dermawan Gates:“Tentulah dia boleh, dia sudah punyai berbilion, hanya sesudah itu barulah mampu  menderma, adapun kita, masih di peringkat awal kejayaan, masih belum punyai apa-apa jaminan akan boleh terus berjaya, kerana itu kita tidak menderma.”

Ya, mungkin inilah detik hati kecil jutawan dan usahawan baru. Sedarilah itulah detikan hati dari syaitan yang membujuk dan menakutkan manusia dengan kefakiran. Ingatlah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah 2: 268)

Jangan sesekali tewas dengan ancaman jiwa nafsu dan hati kecil yang bersumber daripada syaitan. Oleh sebab syurga itu perlukan ujian dan cubaan, inilah cubaan Allah s.w.t. bagi memastikan adakah kita sudah terjebak dalam virus cinta harta atau hati dan iman kita masih boleh diselamatkan dari “ikatan dan rantaian” cinta harta dengan melazimkan sedekah dan sumbangan. Apa yang penting ialah ikhlas dan jumlahnya tertakluk kepada sejauh mana keinginan kepada akhirat dan kesediaan kita.

Sayidina Umar al-Khattab pernah mendermakan sebahagian hartanya dengan azam “menewaskan” Sayidina Abu Bakar al-Siddiq. Namun hasratnya gagal apabila dilihatnya Abu Bakar mendermakan keseluruhan harta boleh alihnya untuk Islam. Mereka sewajarnya menjadi motivasi kita, jika tidak mampu mengikuti jumlah harta yang disedekahkan mereka, cukuplah sebahagian kecil sebagai permulaan.

Warren Bufet dan Dermanya

Pada Jun 2006 yang lalu, saya agak terkejut membaca berita billionaire bernama Warren Buffet, 75, yang melakukan derma amal kepada Yayasan Gates untuk tujuan yang sama. Jumlah yang didermakan bukan kecil, berjumlah US$44 bilion.

Lebih menarik dari biasa, Buffet juga mahukan setiap sumbangannya yang dibuat secara tahunan itu, digunakan pada tahun tersebut juga dan tidak mahu ditangguhkan lagi.

Pada 14 Mei 2009 pula, saya ada membaca kisah seorang jutawan Britain yang mendermakan hotel mewahnya, hotel yang asalnya sebuah rumah besar lama berusia beratus tahun, diubah suai dengan kos sebanyak £16 juta. Pada asalnya dia ingin menggunakan seluruh keuntungan daripada hotel mewah itu untuk tujuan kebajikan, namun ditukar ideanya. Kini dengan rasminya hotel mewah itu akan dijual dan seluruh hasilnya akan didermakan kepada suatu persatuan kanser. Kos jualannya sudah tentu melebihi £20 juta (RM110 juta). Berikut adalah tiga kata-kata beliau yang menarik hati saya: “While owning property and making money is important, it is not as important as people.” “The biggest thing with most people is money, but with me it is not. I want to give it up and do something more for others.” “We can all do something by leaving money to charity when we die, but why don’twe do something while we are still living?”

Apa yang disebut pertama tadi bertepatan dengan tanggungjawab sosial dalam Islam. Malah di dalam Islam pembangunan jati diri individu rakyat sememangnya jauh lebih penting daripada pembangunan material seperti bangunan pencakar langit dan lainnya. Yang kedua pula bertepatan dengan ajaran Islam agar tidak bersikap selfish dan sentiasa memikirkan manfaat yang diperoleh untuk dikongsi dengan orang ramai, dan yang ketiga pula bertepatan dengan sabda Nabi yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bertangguh-tangguh (dalam bersedekah) sehingga sampai (nyawamu) di kerongkong (hampir mati).” (Riwayat al-Bukhari, no. 1353)

sshot-1

Apa Motif Mereka?

Saya suka untuk memikirkan motif positif dan sihat berbanding agenda terselindung antara ketiga-tiga mereka. Mereka mengambil keputusan menderma kerana tidak mahu meninggalkan harta yang terlalu banyak kepada anak-anak, malahan meninggalkan kesemua harta harta yang melimpah ruah itu juga dianggap tidak rasional. Falsafah mereka; tinggalkan secukupnya sahaja dan anak-anak masih perlu terus berusaha.

Buffet pernah berkata dalam majalah Fortune: “Giving your children too much money is a burden, not a gift, and is not a rational thing to do with all that wealth.” “A very rich person would leave his kids enough to do anything, but not enough to do nothing.”

Saya mengira falsafah itu ada benarnya, masakan tidak, si anak pasti tidak akan dapat berkongsi rasa sukar, cabaran dan jerih perih yang dilalui para ayahnya; malah si anak akan ditinggalkan lemas dalam kekayaan mega tanpa sebarang usaha. Buffet juga pernah memberitahu ABCNews, Nightline, bahawa dilahirkan dalam kemewahan tidak melayakkan anak-anaknya untuk menikmati keseluruhan harta itu. Tidak dinafikan, ramai yang memuji tindakan mereka berdua dan tidak kurang juga yang mencela dengan pelbagai anggapan.

Jutawan dan Hartawan Muslim

Apa pun kritikan terhadap hartawan bukan Islam, bagi jutawan Muslim, Islam menganjurkan pendekatan yang sedikit berbeza, namun banyak pula yang sama. Yang paling berbeza adalah keperluan jutawan Muslim untuk menyembunyikan sumbangan dan sedekahnya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan sekiranya kamu menyembunyikannya (sedekahmu) dan memberikannya kepada fakir miskin, demikian adalah lebih baik bagimu” (Surah al-Baqarah 2: 271)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sedekah yang dilakukan secara sembunyi memadamkan kemurkaan Allah s.w.t.” (Riwayat al-Tabrani)

Memang benar, jutawan Muslim yang bersifat dermawan memang ramai, banyak juga sumbangan yang telah dihulurkan kepada pelbagai pihak sama ada secara senyap atau terbuka. Tan Sri Mokhtar al-Bukhari adalah satu ikon utama yang pasti terlintas di minda kita apabila sahaja membuka cerita sebegini. Saya secara peribadi juga mengenali beberapa individu dermawan seperti Dato’ Hj. Rameli Musa, Pengasas Ingress Corporation Berhad, dan ramai lagi.

Tatkala berbual-bual dengan seorang rakan ustaz di syarikatnya, beliau ada menyebut berkenaan kejayaan seorang usahawan Muslim bernama Ali Hassan bin Mohd Hassan, pengasas al-Ikhsan Sport Sdn. Bhd. Jualan syarikat ini dikatakan telah mencecah RM100 juta setahun, dengan 58 buah cawangan. Apabila ditanya rahsia kejayaannya beliau menjawab:

Amalkan tiga perkara:

Pertama: Penuhi hak Allah tanpa berkira-kira (iaitu zakat, sehingga syarikat ini dikatakan penyumbang zakat terbesar di Johor).

Kedua: Jalankan tanggungjawab pada manusia.

Ketiga: Penuhi hajat ibu, walaupun anda terpaksa mengorbankan banyak kepentingan. Segala puji bagi Allah dan tahniah di atas sumbangan dan sedekah mereka. Namun demikian, ramai lagi hartawan dan jutawan Muslim yang masih belum dan terlalu berkira-kira untuk menyumbang. Kita sewajarnya lebih laju daripada hartawan bukan Islam yang disebutkan di atas.

Kita sewajarnya lebih sedar bahawa menyumbang sama ada melalui zakat yang wajib atau sedekah yang sunat akan menambah berkat dan rezeki dari Allah s.w.t. Menambah rezeki yang bersifat spiritual. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tiadalah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim)

Kini, sudah ramai yang merasakan kesan sumbangan yang dikeluarkan adalah pertambahan, bukan berkurang. Malah ia turut dirasakan oleh hartawan bukan Islam seperti Bill Gates, lantaran beliau pernah menyebutnya dalam satu majalah antarabangsa satu ketika dahulu.

Para Ribuan, Jangan Beralasan

Jika mereka sudah merasakan nikmat kebahagiaan hasil pemberian itu, bilakah kita pula? Jangan ditunggu kita bergelar jutawan atau billionaire baru untuk memulakan tindakan, mulakan dari sekarang secara kecil-kecilan sesuai dengan kemampuan kita.

Juga ingatlah, derma daripada seorang yang sedikit hartanya lebih besar ganjarannya berbanding derma individu yang banyak harta. Sebuah hadis menyebut: “Sedekah yang paling utama ialah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta.” (Riwayat Ahmad 5/178; Tafsir Ibn Kathir, 1/701).

Ikhlaskan niat dan jangan pula mencela apabila sedekah yang diberi kelihatan tidak menambah keuntungan duniawi dalam jangka masa yang segera. Kita bimbang, ada pula yang menderma dengan niat yang satu, iaitu untuk mengharapkan untung berganda.

Ingatlah firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. “Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah 2: 262)

Lihat dan fahamilah dalam-dalam erti yang tersurat pada ayat ini, setiap pemberian sedekah mestilah diiringi oleh rasa puas, gembira, tiada khuatir, tiada sedih dan sesal. Bukankah Allah s.w.t. yang menggerakkan hati-hati dan minda manusia lain sama ada untuk memberi kita kontrak dan tender, mengambil kita bekerja, menaikkan pangkat, melantik kita untuk jawatan itu dan ini, memberi kepercayaan untuk tugasan baru yang lumayan dan lain-lain.

Lalu yakinilah dan bersangka baiklah dengan Allah s.w.t., nescaya Allah akan menunaikan sangkaan baik kita.

Nah, jika benar-benar kita langsung tidak mampu walaupun 10 sen, ada sedekah lain yang mampu kita tunaikan dengan cemerlang tanpa memerlukan wang, iaitu ajaklah orang kepada kebaikan dan laranglah mereka dari kemungkaran. Nabi s.a.w. berdialog dengan para sahabat yang antara lain bermaksud:

Nabi berkata: Setiap Muslim dituntut supaya bersedekah Sahabat bertanya: Bagaimana jika tidak mampu?

Nabi: Usahalah dengan kedua tanganmu untuk hasilkan perkara yang bermanfaat dan bersedekahlah.

Sahabat: Jika masih tidak mampu? Nabi: Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau tunjukkan kepada yang mampu).

Sahabat: Jika masih tidak mampu?

Nabi: Ajaklah orang melakukan kebaikan dan larang mereka dari kemungkaran.

Sahabat: Jika masih tidak mampu?

Nabi: Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Kesimpulan

Terlalu ramai orang yang sentiasa sibuk memikirkan cara untuk mendapatkan wang dan harta untuk dirinya. Ya, mencari wang, menambah wang, mengumpul wang. Siang, malam, pagi dan petang berhempas pulas minda dan tenaga mencari jalan. Sehingga ingin sahaja dirempuh jalan yang dilihat berpotensi memberi pulangan keuntungan, tanpa mengambil endah sama ada ia adalah haram atau syubhat. Yang penting di mindanya, adalah poketnya boleh semakin “menebal”, sedangkan dia lupa pengumpulan itu sekadar di dunia yang pendek ini.

Malangnya, sangat kurang yang berhempas pulas memikirkan untuk menyumbang wang, memberi wang, dan sedekah wang. Walhal “memberi” ini adalah demi kehidupan selepas kematian, yang kekal abadi? Mulakan berfikir untuknya, kerana ia sebenarnya adalah untuk kita juga.

Brian Burnie, seorang jutawan bukan Islam warga Britain boleh berkata dan bertindak berdasarkan kata-katanya ini: “We live in a ‘me, me, me’ society and it has always been important to me to think of others.”  Lalu, sebagai Muslim, apa lagi alas an kita? Bersedekahlah selagi masih ada lagi usia. Adakah si kaya itu “gila” kerana mendermakan wang yang begitu banyak? Atau kita sebenarnya yang mabuk dalam mencari wang secara tamak dan penting diri sehingga alpa tanpa sebarang pemberian?

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.10


Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas